Arkib Kategori: EV

Daihatsu Midget X: konsep LCV kecil dengan unit pacuan elektrik

Daihatsu bakal mempamerkan beberapa model konsep pada acara pameran Japan Mobility Show 2025 yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Salah satu model yang akan dipamerkan ialah Midget X, sebuah konsep kenderaan elektrik kecil untuk kegunaan komersial.

Rekaan luaran Midget X merupakan satu rujukan dan penghormatan kepada dua generasi Midget terdahulu.

Ia menampilkan unit lampu LED berbentuk bulat, cermin hadapan yang melengkung, serta rekaan roda yang terdedah.

Bahagian sisi pula menampilkan lampu indikasi pengecasan bateri.

Sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah kuda kerja, bahagian belakang Midget X ini boleh dipadankan dengan bermacam-macam aksesori seperti kotak storan, flatbed, ruang kargo terbuka gaya pikap, atau ruang khas untuk bekerja.

Berdasarkan video acah, Midget X juga boleh dijadikan sebagai kereta litar hujung minggu!

Buat masa ini, Daihatsu Midget X kekal sebagai sebuah kereta konsep, namun tidak mustahil jika ia juga bakal menjadi model produksi sebenar.

Ekstra: Daihatsu Midget II beraksi di Litar Tsukuba

iCaur Malaysia rasmi buka pusat pameran terbesar, lengkap kemudahan baik pulih & cat

iCaur Malaysia hari ini merasmikan pembukaan pusat pengedar terbesarnya yang terletak di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur.

Pusat pengedar iCaur Damansara yang dikendalikan oleh Carramax Luxe Sdn Bhd ini mempunyai keluasan kira-kira 40,000 kaki persegi dan kelebihan dari segi lokasi yang strategik.

Ia menampilkan ruang pameran luas yang mampu memuatkan sehingga lapan kenderaan pada satu-satu masa, ruang penyerahan khas, serta lima petak pengecas EV eksklusif untuk pelanggan.

Ruang rehat pelanggan turut diserikan dengan dua konsol Nintendo, sambungan Wi-Fi percuma, serta makanan dan minuman ringan.

Dari segi perkhidmatan selepas jualan, terdapat sehingga lapan petak servis, fasiliti pembaikan badan & cat (B&P), serta perkhidmatan pemasangan aksesori, balutan kenderaan (wrapping) dan filem perlindungan cat (PPF).

Dengan kekuatan pekerja terdiri daripada 12 perunding jualan, 11 juruteknik servis, serta 10 pakar badan dan cat, iCaur Damansara mampu menyelenggara sehingga 520 buah kenderaan dalam tempoh sebulan.

iCaur Damansara terletak di Lot 2814, Jalan Damansara, Kampung Sungai Penchala, 68000 Kuala Lumpur, dan beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang (Isnin-Sabtu), dan 10.00 pagi hingga 5.00 petang (Ahad dan Cuti Umum).

Pusat servis pula beroperasi dari jam 8.15 pagi hingga 5.15 petang (Isnin-Sabtu) dan tutup pada Ahad dan Cuti Umum.

 

Proton e.MAS 5 catat 1,607 tempahan dalam tempoh 24 jam

Dalam tempoh 24 jam selepas tempahan dibuka secara rasmi, Pro-Net mengumumkan sebanyak 1,607 tempahan telah diterima untuk model e.MAS 5 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Menurut Zhang Qiang selaku Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, “Kami betul-betul terharu dengan sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia terhadap Proton e.MAS 5.

“Sejak dari awal, misi kami jelas. Kami mahu semua orang mampu memiliki sebuah EV. Dengan e.MAS 5, impian itu kini jadi kenyataan. Inilah EV paling mampu milik pertama di Malaysia, direka khas untuk rakyat.

Proton e.MAS 5 merupakan sebuah kereta elektrik segmen B dengan harga anggaran bermula dari RM60,000 hingga RM80,000.

Biarpun saiz kompak, e.MAS 5 menawarkan ruang dalaman setara model segmen C, selain ciri seperti pusingan radius terbaik dalam kelasnya, pacuan roda belakang, serta paparan status pengecasan langsung.

Rakyat Malaysia boleh mendaftar minat untuk Proton e.MAS 5 menerusi laman web, atau melalui mana-mana 43 wakil pengedar di seluruh negara.

Dengan yuran tempahan serendah RM99, pembeli akan menerima keistimewaan eksklusif seperti kad Touch ‘n Go edisi terhad dengan isian kredit RM100 serta rebat RM500, sah untuk 5,000 orang pelanggan pertama.

BYD Malaysia serah lebih 100 unit Seal 6 dalam tempoh seminggu

Hanya dalam masa seminggu selepas pelancaran rasmi, BYD Sime Motors selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia telah menyerahkan lebih 100 unit sedan elektrik Seal 6.

Selain penghantaran ke bilik pameran di seluruh Semenanjung dan Malaysia Timur, kumpulan pertama pelanggan juga telah mula menerima kenderaan masing-masing.

Untuk makluman, Malaysia merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menyambut kehadiran BYD Seal 6.

Dengan selesainya penghantaran di seluruh negara, rakyat Malaysia berpeluang untuk melihat, memandu dan merasai sendiri pengalaman pemanduan sedan elektrik segmen C ini.

Menurut Adeline Lew selaku Pengarah Urusan BYD Sime Motors, “Kami menghargai penyelarasan lancar oleh pasukan kami yang memastikan BYD SEAL 6 berjaya dihantar ke seluruh negara tanpa sebarang kelewatan.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membina kepercayaan pelanggan sambil memperluaskan akses terhadap mobiliti elektrik dalam kalangan rakyat Malaysia.”

Dengan harga jualan bermula dari RM100,000 hingga RM115,800, BYD Seal 6 dipacu oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang dengan kuasa mencecah 215 hp/330 Nm dan jarak gerak sejauh 485 km untuk sekali cas penuh.

Menjelang tahun 2026, BYD Sime Motors akan memperluas rangkaiannya dari 37 kepada 50 cawangan untuk meningkatkan akses terhadap kemudahan jualan, servis dan pengecasan di Malaysia.

Rainer Zietlow dan VW ID.Buzz kini singgah di Malaysia setelah rentas 46 negara

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan Giti Tire Malaysia mengalu-alukan ketibaan pemegang rekod dunia terkenal Rainer Zietlow ke Malaysia di bilik pameran Volkswagen Glenmarie (F.A. Wagen) baru-baru ini.

Beliau yang memandu sebuah Volkswagen ID.Buzz itu kini dalam usaha untuk mencatatkan rekod dunia dalam kategori “negara paling banyak dilawati dengan sebuah kenderaan elektrik”.

Sejak memulakan perjalanan, Zietlow telah merentas 46 buah negara dalam tempoh 84 hari, meliputi jarak lebih 46,400 kilometer.

Ini merupakan kali kedua Zietlow singgah di Malaysia. Beliau sebelum ini pernah mencatat rekod dengan memandu Volkswagen Touareg pada tahun 2012.

Untuk perjalanan kali ini, Zietlow menggunakan sebuah van elektrik ID.Buzz yang dilengkapi dengan tayar GitiSynergy H2.

Dengan sebatuan bunga tayar termaju dan rintangan golekan yang rendah, tayar GitiSynergy H2 ini direka untuk menampung beban pek bateri yang berat, mengawal kuasa tork serta-merta dan memaksimumkan jarak perjalanan.

Ia juga cemerlang di atas permukaan basah untuk memastikan kestabilan dan keselamatan terutama ketika menempuh laluan negara yang kerap dilanda hujan dan jalan licin.

Menurut Renate Noessler selaku Pengarah urusan VPCM, “Misi Rainer mengingatkan kita bahawa pemanduan bukan sekadar rutin harian, tetapi boleh menjadi satu pengembaraan. Volkswagen Minibus sudah lama menjadi ikon dan kegemaran ramai sejak bergenerasi lamanya.

“ID. Buzz pula merupakan kemunculan semula lagenda itu, membawa semangat yang sama tetapi telah diolah semula untuk generasi muda. Kehadiran Rainer sebagai pemandu benar-benar menyerlahkan prestasi, ketahanan dan semangat penerokaan yang dihargai serta dikagumi oleh para peminat di seluruh dunia.”

Timbalan Pengurus Besar, Pemasaran Antarabangsa Giti Tire Group, Shiroo Chia menambah, “Jarak perjalanan Reiner yang sangat jauh ini adalah bukti dunia sebenar terhadap teknologi terkini dan prestasi tayar GitiSynergy H2 yang boleh dipercayai.

“Kami bangga kerana Volkswagen dan pemandu bergantung kepada kemampuan Giti untuk merentasi perjalanan sejauh 80,000km yang melibatkan 70 buah negara.”

Bagi Zietlow, kerjasama di antara Volkswagen dan Giti menjadi kunci kejayaan perjalanannya setakat ini. “Saya sangat gembira kerana Volkswagen dan Giti bersama-sama saya dalam misi ini – prestasi ID. Buzz dan tayar Giti benar-benar menepati jangkaan saya,” katanya.

“Pengalaman pemanduan dan keupayaan secara keseluruhan memang sangat baik. Saya yakin mampu untuk menamatkan percubaan mencatat rekod dunia perjalanan tanpa emisi ini. Saya juga menikmati kunjungan kali kedua ke Malaysia dan pastinya ini bukan kali yang terakhir.”

Tesla Model 3 2025 kini serendah RM169k, hadir dengan kamera & tuil isyarat membelok fizikal!

Tesla Malaysia mengumumkan kemas kini penawaran sedan elektrik Model 3 2025 dengan harga jualan yang jauh lebih rendah berbanding sebelum ini.

Pembeli di Malaysia kini boleh mendapatkan varian baharu Long Range RWD yang menawarkan jarak gerak sehingga 750 km pada harga RM185,000.

Selain itu, harga jualan varian asas RWD telah disemak semula, kini bermula serendah RM169,000 berbanding RM181,000 ketika debut beberapa tahun lepas.

Varian Long Range AWD pula kini serendah RM199,000 (turun RM11 ribu) sementara varian Performance AWD pula berharga RM229,000 (turun RM13,000).

Selain perubahan harga, Tesla turut mengumumkan perubahan spesifikasi seperti berikut:

  • penambahan kamera hadapan
  • tuil isyarat membelok tradisional
  • logo Tesla hitam kusam

Menjelang akhir 2025, difahamkan lebih banyak stesen pengecasan yang akan didirikan oleh Tesla seperti di Pavilion
Damansara Heights, Nexus Bangsar South, dan The Mall, Mid Valley Southkey.

Sehingga kini, sebanyak 15 stesen Supercharger (68 unit pengecas) dan 16 stesen pengecasan destinasi (73 unit pengecas destinasi) telah beroperasi di seluruh Malaysia.

 

Pro-Net buka tempahan e.MAS 5, harga anggaran dari RM60k-RM80k

Pro-Net baru-baru ini mengumumkan pembukaan tempahan bagi model SUV elektrik Proton e.MAS 5.

Dalam sesi siaran langsung yang dibuat, Pro-Net turut mendedahkan harga jualan anggaran bermula dari RM60,000 hingga RM80,000.

Ini sekali gus meletakkan e.MAS 5 sebagai salah sebuah kereta elektrik yang paling mampu milik di Malaysia.

Dengan yuran tempahan serendah RM99, 5,000 orang pelanggan pertama juga berpeluang untuk menerima kad Touch ‘n Go NFC edisi terhad dengan isian kredit RM100 serta rebat tambahan RM500.

Proton e.MAS 5 dibekalkan dengan unit pacuan 11-dalam-1 yang dibantu dengan tetapan suspensi topang MacPherson dan multi-link selain menawarkan jarak gerak sehingga 325 km.

Ia turut hadir dengan ciri seperti ruang simpanan inovatif, tombol gear kristal, arahan suara dwi-bahasa (Inggeris & Melayu), lampu LED, sistem keselamatan ADAS, kamera 360 darjah serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Lima perkara anda perlu tahu pasal Proton e.MAS 5

Xpeng G6 2025 facelift rasmi dilancarkan di Malaysia – harga dari RM178,888

Bermaz Xpeng selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Xpeng di Malaysia mengumumkan ketibaan SUV G6 yang dipertingkatkan untuk pasaran tempatan.

Tempahan bagi model Xpeng G6 2025 facelift kini dibuka dengan harga jualan dari RM178,888.

Berikut merupakan perincian ringkas tentang SUV elektrik Xpeng G6 ini:

 

1. Luaran

Terdapat beberapa perubahan kecil yang dibuat seperti lampu Starlight Wing LED yang lengkap dengan lampu isyarat membelok, logo Xpeng yang diposisikan semula, serta kemasan gerbang roda mengikut warna badan.

Di bahagian belakang pula menampilkan rekaan ekor itik yang turut menyumbang kepada kestabilan di atas jalan.

 

2. Dalaman

Untuk ruang kabin, G6 kini menampilkan susun atur papan pemuka yang lebih malar segar, dengan kehadiran skrin kluster digital 10.25 inci dan skrin tengah sebesar 15.6 inci yang menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta arahan suara ‘Hey Xpeng’.

Terdapat dua pilihan warna tema iaitu Dark Gray dan juga Light Gray.

Selain itu, terdapat bumbung kaca panorama, tempat duduk hadapan dengan fungsi urut, sokongan tulang belakang, fungsi pemanas dan pengudaraan, diikuti tempat duduk larasan 12 tahap untuk penumpang belakang.

 

3. Varian

Untuk pasaran Malaysia, terdapat dua varian Xpeng G6 yang ditawarkan, perinciannya seperti berikut:

RWD Long Range

  • motor elektrik tunggal, pacuan roda belakang
  • 292 hp, 440 Nm
  • 0-100 km/j dalam 6.7 saat

AWD Performance

  • motor elektrik berkembar, pacuan semua roda
  • 480 hp, 660 Nm
  • 0-100 km/j dalam 4.13 saat

Kelajuan tertinggi dihadkan kepada 202 km/j.

Terdapat enam mod pemanduan disediakan seperti Eco, Comfort, Sport, Individual, Launch dan Escape.

 

4. Bateri

Secara standard, kedua-dua varian G6 dilengkapi dengan pek bateri 80.8 kWh, membenarkan jarak gerak sejauh 525 km mengikut data WLTP (510 km untuk versi AWD).

G6 turut menyokong pengecasan AC 11 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 451 kW – terima kasih kepada penggunaan platform 800V yang membolehkan bateri dicas sepantas 12 minit (10-80 peratus SoC).

Turut tersedia fungsi vehicle-to-load (V2L).

 

5. Keselamatan

Ciri keselamatan standard yang dibekalkan pada Xpeng G6 termasuklah XPilot Assist Driving yang merangkumi kawalan jelajah adaptif (ACC), kawalan pemusatan lorong (LCC) serta penukaran lorong automatik (ALC).

Turut disediakan Xpilot Assist Safety seperti brek kecemasan autonomi (AEB), pemantauan keadaan pemandu (DSM), amaran pelanggaran hadapan (FCW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), serta bantuan parkir Xpilot Assist Parking.

Diimport sepenuhnya dari China, Xpeng G6 2025 facelift ini boleh didapati dalam lima pilihan warna iaitu:

  • Arctic White
  • Graphite Gray
  • Midnight Black
  • Silver Frost
  • Stellar Purple

Terdapat juga model edisi khas Black Edition yang ditawarkan dengan beberapa ciri unik seperti logo Xpeng hitam, rim aloi 20 inci kemasan hitam berkilat, serta angkup brek hitam yang dikhususkan untuk varian AWD Performance.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Xpeng G6 RWD Long Range Pro – RM178,888
  • Xpeng G6 AWD Performance – RM189,888
  • Xpeng G6 AWD Black Edition – RM193,888

Xpeng Malaysia menawarkan jaminan pengeluar lima tahun (atau had perbatuan 120,000 km yang mana tiba dahulu), pakej servis dan penyelenggaraan percuma lima tahun (atau 100,000 km), serta jaminan bateri bervoltan tinggi selama 8 tahun dengan had perbatuan 160,000 km.

Xiaomi SU7 Ultra buat kemunculan kali pertama di Jepun

Gergasi elektronik China Xiaomi buat pertama kalinya mempamerkan sedan elektrik berprestasi tinggi SU7 Ultra di Akihabara, Jepun.

Acara pameran yang berlangsung pada 26 hingga 28 September yang lepas itu turut mendedahkan perancangan Xiaomi pada masa akan datang.

Menurut laporan Kyodo News, Xiaomi akan mengembangkan jaringan runcit yang menjual peranti pintar, perkakasan rumah dan telefon bimbit di beberapa bandar besar Jepun untuk mengukuhkan kehadirannya.

Gambar hiasan. Xiaomi Store @ Shanghai.

Sama seperti pendekatan yang diguna pakai di China, Xiaomi juga akan menjual kereta elektrik (EV) menerusi kedai Xiaomi Store tanpa menyebut tarikh sebenar pelancaran model tersebut.

Buat masa ini, Xiaomi sudah membuka dua cawangan di Wilayah Saitama, dan bakal menambah tiga lagi outlet di Tokyo termasuklah Chiba menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, Xiaomi juga melancarkan model die-cast skala 1:18 untuk siri SU7, dengan harga jualan 14,800 yen (RM420) untuk versi standard, dan 16,800 yen (RM477) untuk versi SU7 Ultra.

Malaysia negara pertama terima kehadiran BYD Seal 6 2025, harga dari RM100k

BYD Malaysia baru sahaja melancarkan sebuah lagi model sedan elektrik untuk pasaran tempatan, iaitu BYD Seal 6 2025.

Dengan pelancaran ini, Malaysia merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menerima kehadiran Seal 6 selepas China.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Platform

BYD Seal 6 dibina berdasarkan pelantar e-Platform 3.0 yang sama digunakan pada model Sealion 7.

Ia menampilkan tetapan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang, dan nisbah agihan berat badan 48:52 yang menyumbang kepada pengendalian yang lebih sporti.

Tidak cukup dengan itu, Seal 6 dilengkapi dengan tetapan topang MacPherson dibantu dengan sistem multi-link di belakang.

 

2. Dimensi

Seal 6 dikategorikan sebagai sebuah sedan segmen C, berukuran sepanjang 4,720 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,495 mm dan jarak antara roda 2,820 mm.

Kapasiti kargo pula adalah sebesar 525 liter, terdiri daripada 460 liter di bahagian belakang dan frunk sebesar 65 liter.

Tidak cukup dengan itu, terdapat sehingga 24 ruang storan tersedia di dalam ruang kabin sedan ini.

 

3. Luaran

Dari segi rekaan, Seal 6 membawakan penampilan yang lebih elegan berbanding Seal yang lebih sporti.

Antara kelengkapan yang diberikan termasuklah unit lampu LED, pemegang pintu separa tersembunyi, lampu belakang LED, serta rim bersaiz 17 hingga 18 inci.

Rekaan badan yang aerodinamik menyumbang kepada angka pekali seretan serendah 0.28 Cd.

 

4. Dalaman

Ruang kabin Seal 6 turut menerapkan elemen yang lebih ringkas dan minimalis berbanding Seal sedia ada.

Terdapat skrin kluster digital 8.8 inci, skrin tengah sebesar 12.8 inci, sokongan arahan suara dalam empat bahasa (Inggeris, Melayu, Mandarin, Kantonis), sistem pendingin hawa automatik, penapis udara kabin CN95 dan PM2.5.

Konsol tengah pula menempatkan slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 15W.

 

5. Varian

Untuk pasaran tempatan, terdapat dua varian utama, iaitu Seal 6 Dynamic dan Seal 6 Premium.

Seal 6 Dynamic (RM100,000)

  • 127 hp, 220 Nm
  • 0-100 km/j dalam 10.9 saat
  • Kelajuan tertinggi 160 km/j
  • Tempat duduk pemandu boleh laras enam tahap
  • Tempat duduk penumpang depan larasan manual
  • Sistem audio enam pembesar suara

Seal 6 Premium (RM115,800)

  • 215 hp, 330 Nm
  • 0-100 km/j dalam 7.5 saat
  • Kelajuan tertinggi 180 km/j
  • Tempat duduk pemandu boleh laras lapan tahap
  • Tempat duduk penumpang depan boleh laras empat tahap
  • Fungsi pengudaraan kerusi baris hadapan
  • Bumbung panorama
  • Sistem audio lapan pembesar suara

 

6. Pengecasan

BYD Seal 6 hadir dengan pek bateri 56.64 kWh, membolehkan jarak gerak sejauh 485 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).

Ia juga boleh menyokong pengecasan AC 7 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 100 kW.

Kedua-dua varian turut menyokong fungsi vehicle-to-load (V2L) sehingga 6 kW.

 

7. Keselamatan

Secara standard, Seal 6 dilengkapi dengan enam beg udara, sistem peringatan tali pinggang keledar, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), fungsi Auto Hold, sistem pemantauan keliling 360 darjah, serta bantuan mula mendaki.

Ciri keselamatan aktif pula termasuklah brek kecemasan automatik (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW), amaran keluar lorong (LDW) dan bantuan suluhan tinggi (AHB).

 

8. Promosi pelancaran

Sempena pelancaran Seal 6, BYD Malaysia menawarkan pakej jaminan seperti berikut:

  • Jaminan pengeluar enam tahun atau 150,000 km
  • Jaminan unit pacuan selama lapan tahun atau 160,000 km
  • Jaminan bateri bervoltan tinggi lapan tahun atau 160,000 km.

Selain itu, aksesori penyesuai V2L dan kabel pengecasan Type-2 turut ditawarkan secara percuma.

Pembeli varian Dynamic akan mendapat pakej pengecas dinding bernilai RM3,288, manakala pembeli varian Premium pula diberikan pilihan berikut:

  • Pengecas dinding percuma bernilai RM3,288 dan rebat eksklusif RM3,000, atau
  • Pakej pengecasan Sime Platinum 4+ selama 12 bulan bernilai RM5,000 dan rebat eksklusif RM1,000

FedEx Malaysia tambah 41 van elektrik Maxus e-Deliver 3

Federal Express Corporation (FedEx) mengumumkan penambahan sebanyak 41 unit van elektrik Maxus e-Deliver 3 baharu ke dalam armada sedia ada sebagai langkah untuk menggiatkan komitmen terhadap logistik mampan di Malaysia.

Setiap van elektrik tersebut boleh bergerak sejauh 228 km untuk sekali cas penuh, dan mempunyai kapasiti kargo seberat 920 kg.

Dengan penambahan van elektrik itu tadi mampu mengurangkan pelepasan CO₂ sehingga 305 tan metrik setahun berbanding van berkuasa diesel yang digantikannya.

Kesemua EV akan dikerahkan untuk perkhidmatan pengambilan dan penghantaran bungkusan di beberapa bandar utama termasuklah Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang dan Lembah Klang.

FedEx turut memasang sehingga 41 stesen pengecas arus ulang alik (AC) dan arus terus (DC) di beberapa lokasi strategik untuk menyokong armada EV itu tadi.

Menurut Tien Long Woon selaku Pengarah Urusan FedEx Malaysia berkata, “Kejayaan penghantaran EV rentas-sempadan antara Malaysia dan Singapura tahun lalu mengukuhkan lagi keyakinan kami terhadap peranan kenderaan elektrik yang boleh dimainkan dalam sektor logistik.

“Perluasan armada EV terbaharu ini merupakan satu langkah bermakna ke hadapan untuk menggabungkan kelestarian ke dalam operasi harian kami.

Proton lancar e.MAS 7 di Singapura, harga dari RM576 ribu

Proton baru-baru ini mengumumkan kemunculan semula jenama itu di negara jiran menerusi pelancaran model EV e.MAS 7.

Spesifikasi e.MAS 7 untuk pasaran Singapura adalah mirip kepada apa yang ditawarkan di Malaysia.

e.MAS 7 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 215 hp dan daya kilas 320 Nm.

Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam tempoh 6.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 175 km/j.

Proton e.MAS 7 tersedia dalam dua varian, iaitu Prime dan Premium.

Varian Prime dilengkapi dengan pek bateri LFP 49.52 kWh dengan jarak gerak sejauh 345 km untuk sekali cas penuh (data WLTP), sementara varian Premium pula dengan pek bateri 60.22 kWh yang membenarkan jarak pandu sejauh 410 km.

Terdapat enam pilihan warna iaitu Platinum Silver, Lithium White, Turquoise Green, Slate Grey, Quartz Rose dan Obsidian Black dengan dua pilihan warna dalaman iaitu Indigo Blue dan Alabaster White.

Harga jualan e.MAS 7 bermula dari S$175,988 (RM576 ribu) untuk varian Prime, dan S$179,988 (RM590 ribu) untuk varian Premium termasuk COE, khas untuk 99 orang pemilik pertama.

Setiap pembelian akan disertakan dengan pakej berikut:

  • jaminan bateri 10 tahun tanpa had perbatuan
  • data perayauan percuma lima tahun di Malaysia dan Singapura
  • bantuan tepi jalan rentas sempadan Semenanjung Malaysia dan Singapura

Honda WN7 debut di Eropah, jarak gerak lebih 130 km

Kira-kira setahun selepas model “EV Fun Concept” diperlihatkan di EICMA 2024, Honda akhirnya secara rasmi mengumumkan model produksi sebenar WN7 untuk pasaran Eropah.

Honda WN7 merupakan sebuah motosikal berkuasa elektrik yang dibangun berdasarkan pengalaman dan kepakaran Honda dalam arena motosikal selama 75 tahun.

Jentera naked berkuasa elektrik ini dinamakan bersempena dengan tema konsep “Be the Wind”, N untuk “Naked” dan 7 yang menandakan kelas output.

Tanpa mendedahkan spesifikasi rasmi, Honda mendakwa WN7 mampu menghamburkan prestasi kuasa kuda yang menyamai model bersesaran 600 cc, serta daya kilas menyamai model bersesaran 1,000 cc.

Dengan bateri lithium-ion, WN7 mampu menawarkan jarak tunggangan sejauh lebih 130 km untuk sekali cas penuh.

Selain itu, WN7 turut hadir dengan port CCS2 yang membolehkan pengecasan pantas 20-80 peratus dalam masa 30 minit.

Sayang sekali, unit bateri yang dibekalkan ini adalah jenis kekal, dan tidak boleh digantikan seperti pek bateri mudah alih Honda Mobile Power Pack e: yang digunakan pada beberapa model skuter elektrik.

Dari segi penampilan, WN7 banyak mengekalkan elemen rekaan yang wujud pada model EV Fun Concept.

Namun, terdapat beberapa perubahan seperti kehadiran pelana yang tampak lebih selesa, padanan lampu isyarat membelok dan tempat meletak nombor pendaftaran di belakang.

Dengan adanya skrin TFT lima inci, pemilik boleh menghubungkan jentera ini dengan peranti pintar menerusi aplikasi Honda RodSync.

 

Honda EV Fun Concept

Mitsubishi Eclipse Cross 2026 wujud dalam versi EV sahaja, jarak gerak 600 km

Kerjasama antara Mitsubishi dan Renault diteruskan lagi dengan pengenalan model crossover generasi baharu Eclipse Cross 2026 untuk pasaran Eropah.

Generasi kedua SUV kompak Mitsubishi ini dibina berdasarkan Renault Scenic E-Tech, dan hanya akan ditawarkan dalam versi elektrik (EV) sahaja.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang Eclipse Cross EV:

 

1. Rupa luaran

Terdapat beberapa perbezaan untuk membuktikan Mitsubishi Eclipse Cross bukan sekadar model ‘tukar lencana’ semata-mata.

Seperti contoh, muka hadapan kini dengan elemen Dynamic Shield yang diperbaharui, diikuti lampu utama, lampu nyalaan siang LED serta liang bampar yang direka semula.

Untuk bahagian belakang, grafik lampu utama diberikan nafas baharu.

 

2. Dimensi

SUV segmen C Mitsubishi ini membawakan ukuran sepanjang 4,470 mm, dengan jarak antara roda sepanjang 2,785 mm.

Ia menawarkan ruang kargo dengan kapasiti antara 478 liter atau sehingga 1,670 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Pembeli boleh mendapatkan rim gaya futuristik bersaiz 19 atau 20 inci.

 

3. Ruang kabin

Ruang kabin Eclipse Cross EV ini nampaknya mengekalkan pengaruh Renault seperti yang wujud pada Scenic E-Tech.

Terdapat skrin digital 12.3 inci yang dibantu dengan skrin infohibur menegak 12.3 inci, lengkap dengan sokongan Google terbina, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Antara ciri lain termasuklah sistem pencahayaan ambien 48 warna, sistem audio Harman Kardon serta bumbung kaca panorama yang hadir dengan fungsi elektrokromik.

Ini bermakna, pemilik boleh menetapkan kadar ketelusan cahaya bagi mengurangkan silau sinaran mentari dengan hanya menekan satu butang sahaja.

 

4. Rangkaian kuasa

Eclipse Cross EV dibina berdasarkan platform Ampr Medium yang sama digunakan pada model Scenic E-Tech, serta Nissan Leaf & Ariya.

SUV ini dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda depan yang mampu menjana 215 hp.

Terdapat empat mod pemanduan iaitu Personal, Eco, Comfort dan Sport.

Pek bateri 87 kWh pula menawarkan jarak gerak sejauh 600 km, selain menyokong pengecasan AC 22 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW.

 

5. Keselamatan

Eclipse Cross EV menampilkan sehingga 20 fungsi keselamatan termaju ADAS yang dibantu oleh penderia ultra bunyi dan radar.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Sistem Pemantauan Keliling (AVM), Amaran Titik Buta (BSM), Sistem Pemantauan Tumpuan Pemandu (DAM), Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan (FCM), Bantuan Pengekalan dan Pemusatan Lorong (LKA & LCA), Amaran Keluar Lorong (LDW), Brek Kecemasan Automatik belakang (Rear AEB), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta sistem MI-PILOT.

Produksi Eclipse Cross EV 2026 ini akan berjalan di kilang Douai, Perancis bermula suku keempat 2025, lokasi sama digunakan untuk pemasangan model-model Renault (Megane E-Tech, Scenic E-Tech, R5 E-Tech), Alpine A290 dan Nissan Micra EV.

Leapmotor B05 muncul di acara pameran Munich 2025

Leapmotor mencuri tumpuan umum di acara pameran Munich Motor Show 2025 dengan mempamerkan sebuah model hatchback elektrik serba baharu, B05 atau nama lainnya Lafa 5.

Sekali imbas, muka depan B05 ini mengingatkan kita kepada model Golf generasi kelapan.

Dari segi dimensi, B05 berukuran sepanjang 4,430 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,520 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,735 mm – lebih besar jika dibandingkan dengan model ID.3 dan Golf yang disebut tadi.

Menurut laporan, B05 ini dibina berdasarkan pelantar modular LEAP 3.5 yang dikongsi dengan crossover B10, serta menawarkan sistem pacuan roda belakang (RWD) dengan agihan berat 50:50.

Spesifikasi teknikal B05 juga dijangka mirip dengan crossover B10.

Di pasaran China, B10 ditawarkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 177 hp yang dipadankan dengan pek bateri LFP 56.2 kWh, sementara varian yang lebih premium menawarkan motor elektrik 215 hp dan pek bateri 67.1 kWh.

Jarak gerak pula boleh mencecah 510 km, atau sehingga 600 km mengikut data CLTC.

Antara ciri yang boleh dikesan di bahagian luar termasuklah rim aloi 19 inci, tayar 225/45R19, pintu tanpa bingkai tingkap, serta pemegang pintu tertanam dalam badan.

Kelengkapan ruang kabin juga dijangka sama seperti B10, seperti skrin digital 8.8 inci, serta skrin infohibur sebesar 14.6 inci di bahagian tengah.

Denza D9 boleh jadi alternatif terbaik untuk ganti Alphard/Vellfire – pandu uji

Sehingga saat artikel ini ditulis, kelibat minivan elektrik jenama Denza ini sudah banyak kelihatan di atas jalan.

Malah jika anda berkunjung ke mana-mana pusat membeli belah terkemuka, EV ini tidaklah malu untuk diparkir bersebelahan dengan MPV kotak popular pilihan rakyat Malaysia – Alphard & Vellfire.

Sama besar, sama tinggi dan paling penting penampilan yang cukup mewah di atas jalan raya.

Penulis yakin ia kini mampu menjadi satu alternatif yang terbaik untuk menggantikan peranan kembar Alphard/Vellfire.

Itu pun jika anda tidak kisah sekiranya perlu menghabiskan masa (yang tidak seberapa) di stesen pengecasan.

Berikut merupakan pendapat kami setelah beberapa hari diberi peluang untuk memandu uji Denza D9 ini.

 

Penampilan

Seperti yang kami sebutkan tadi, Denza D9 kini sudah menjadi model pilihan bagi rakyat Malaysia yang mahukan sebuah pakej komuter yang besar dan selesa.

Kelebihan yang ketara ialah dimensi yang jauh lebih besar berbanding pesaingnya, jarak antara roda yang lebih panjang ditambah pula dengan pakej penampilan yang premium.

Tidak perlu garis badan yang agresif, ataupun muka yang garang.

Dengan imej serba sederhana itu Denza D9 cukup menonjol di atas jalan raya, ditambah dengan bar krom pada jeriji, rim 18 inci berbilang jejari yang elegan itu dan padanan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang memanjang ke bawah.

Bahagian belakang pula lebih ringkas, cuma grafik pada unit lampu utama itu dilihat agak sibuk.

 

Kokpit pemandu

Untuk pemandu, disediakan kelengkapan yang mampu membuatkan segala urusan yang lebih mudah dan sempurna.

Tempat duduk hadapan lengkap dengan fungsi larasan lapan tahap, sokongan tulang belakang, fungsi pengudaraan, headrest yang boleh diubah sudutnya dan paling penting kusyen yang menyokong bahagian bawah peha.

Sangat penting terutama jika anda kerap melakukan pemanduan jarak jauh.

Butang kawalan fizikal juga masih lagi wujud walaupun Denza D9 ini sebuah EV.

Di bahagian konsol tengah terdapat beberapa suis fungsi penting seperti membuka pintu gelangsar sisi, pemilihan mod pemanduan serta membuka pintu peti sejuk untuk penumpang belakang.

Tombol gear cukup besar dan rasa premium, cuma sayang sekali kedudukan butang P dan Start/Stop berada pada posisi yang salah.

Kerap kali juga penulis tertekan butang Start/Stop ketika otak berniat untuk menekan butang P.

Untuk kawalan iklim pula perlu bergantung kepada skrin tengah sebesar 15.6 inci.

Namun secara keseluruhan, penulis tidak mempunyai komen terhadap tetapan ini, apa yang penting segala fungsi mudah untuk dicapai dan diaktifkan untuk memastikan tahap keselesaan yang optimum untuk penumpang belakang.

 

Ruang untuk bos

Sebut pasal penumpang belakang, atau lebih tepat lagi bos akan menghargai segala fungsi yang disediakan pada baris kedua.

Buka saja pintu, anda akan dihidangkan dengan tempat duduk kapten berserta pakej yang sukar untuk ditemukan pada model lain:
– fungsi pemanas dan pengudaraan
– fungsi urut 10 titik
– perehat kepala dan kaki
– tetapan sifar graviti untuk posisi rehat yang lebih selesa

Segala fungsi itu tadi boleh diaktifkan menerusi skrin kawalan untuk kedua-dua tempat duduk itu tadi.

Bukan itu sahaja, bos belakang yang duduk di sebelah kiri boleh memaksimumkan ruang dengan mengaktifkan ‘boss switch’.

Untuk bekerja dari dalam kabin juga tidak menjadi masalah, kerana Denza D9 menyediakan kelengkapan seperti meja boleh lipat, serta ruang simpanan minuman sejuk dengan suhu yang boleh dilaras antara negatif 6 hingga 50 darjah Celcius.

Terima kasih kepada balutan bahan upholsteri premium Nappa yang membuatkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa ditambah pula dengan aspek NVH yang kekal senyap sepanjang masa.

Buat pertama kalinya, penulis menghabiskan lebih banyak masa di tempat duduk baris kedua Denza D9 ini berbanding model pandu uji lain sebelum naik ke rumah semata-mata untuk menikmati fungsi-fungsi mewah tersebut.

Poin seterusnya akan menjelaskan kenapa Denza D9 ini lebih selesa.

 

Pemanduan

Walaupun dimensinya agak besar, namun penulis tidak berdepan masalah untuk mengendalikan MPV premium ini.

Sudut pandang keluar yang cukup besar, talaan stereng yang cukup rasa dan dibantu pula dengan sistem kamera keliling yang menyediakan paparan yang cukup jelas dan tajam.

Semua ini demi memastikan Denza D9 kekal premium tanpa sebarang kesan calar.

Seperti yang telah dijelaskan dalam artikel pandu uji ringkas terdahulu, Denza D9 menyediakan tetapan untuk sistem pacuan, roda stereng, sistem brek serta tetapan suspensi topang MacPherson/Multi-link.

Kelebihan yang ketara pada Denza D9 ialah tetapan suspensi boleh laras adaptif Disus-C untuk kawalan pemanduan dan keselesaan mengikut keperluan.

Kebanyakan masa, penulis lebih gemar menggunakan mod Sport untuk memastikan penumpang di belakang menikmati keselesaan yang diperlukan.

Ini kerana dalam mod Comfort tahap olengan badan MPV ini dapat dirasakan dengan lebih ketara, dan penumpang mungkin akan mengadu tidak selesa.

Mungkin lebih baik jika mod ini digunakan pada kawasan yang mempunyai kualiti turapan tar yang premium.

Biarpun hadir dengan tetapan motor elektrik berkembar, output cecah 369 hp/470 Nm dan prestasi pecutan sepantas 6.9 saat, penulis beranggapan tidak perlu untuk memandu MPV ini serupa syaitan yang terlepas kandang.

Dengan kawalan pendikit yang minima penulis dapat membawa Denza D9 ini mencapai kelajuan yang diinginkan – semua demi keselesaan penumpang VIP di belakang.

 

Sesuai untuk pemanduan jarak jauh

Denza D9 ditawarkan dalam dua varian di pasaran Malaysia.

Versi yang kami pandu uji ini merupakan versi AWD, cuma anda perlu berpuas hati dengan jarak gerak yang sederhana jauh, sekitar 480 km (data WLTP).

Jika kuasa bukan kepentingan, anda boleh saja pilih varian FWD dengan hamburan 309 hp/360 Nm yang mampu membawa anda bergerak sejauh 520 km.

Aspek pengecasan pantas juga bukanlah satu masalah, kerana Denza D9 ini boleh menyokong pengecasan DC sehingga 166 kW.

Dengan kehadiran kemudahan pengecasan pantas tersedia di sepanjang laluan utama, urusan pemanduan jarak jauh di dalam Denza D9 bukan lagi satu masalah besar, terutama ketika ditugaskan untuk membawa golongan VIP ke destinasi tujuan.

 

Harga

Satu lagi kelebihan yang menyebelahi Denza D9 ialah harga jualan yang lebih mampu beli.

Berbanding model pesaing, Denza D9 boleh didapati pada harga serendah RM259,000, atau tambah sedikit untuk varian Premium AWD berharga RM309,000.

Jadi, masih lagi berhajat untuk membeli MPV premium jenama Jepun?

 

Spesifikasi ringkas Denza D9

Nadi penggerak: dua motor elektrik
Kuasa: 369 hp, 470 Nm
Pacuan: semua roda (AWD)
Pecutan: 6.9 saat (0-100 km/j)
Bateri: LFP Blade, kapasiti 103.36 kWh
Pengecasan AC: 11 kW
Pengecasan DC: 166 kW
Jarak gerak: 580 km (data NEDC)
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link, sistem adaptif DiSus-C
Dimensi: 5,250 mm x 1,960 mm, 1,920 mm
Jarak antara roda: 3,110 mm
Radius putaran: 5.95 m
Kargo: 410 liter – 2,310 liter

iCaur 03 2025 rasmi dilancarkan – 2 varian, harga dari RM119,800

Setelah debut di Malaysia Autoshow 2025, SUV off-road berkuasa elektrik iCaur 03 akhirnya rasmi dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Untuk makluman, jenama iCaur ini merupakan hasil kerjasama antara Chery dengan Zhimi Technology, sebuah syarikat subsidiari Xiaomi.

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, pembeli boleh mendapatkan iCaur 03 dalam varian 2WD, atau pacuan semua roda iWD.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,406 mm, lebar 1,910 mm, tinggi 1,715 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,715 mm, serta menawarkan sudut pendekatan 28° dan sudut pelepasan 32°.

Ruang kargo adalah sebesar 450 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,238 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat. Terdapat storan di bahagian luar dengan kapasiti 40 liter.

Untuk permulaan, iCaur 03 boleh didapati dalam varian 2WD, dengan motor elektrik tunggal berkuasa 181 hp/220 Nm, dan pek bateri 65.7 kWh yang menawarkan jarak gerak 426 km.

Terdapat juga varian pacuan semua roda iWD berkuasa 275 hp dan daya kilas 385 Nm, serta mampu mencapai jarak gerak sejauh 418 km terima kasih kepada pek bateri 69.8 kWh.

Casis iCaur 03 diperbuat daripada kerangka aluminium yang menawarkan pengurangan berat sehingga 30 peratus, lebih tegar 30 peratus dan ciri anti-karat sehingga 30 tahun.

Sistem suspensi pula terdiri daripada topang MacPherson di hadapan, diikuti tetapan H-Arm Multi-link di belakang.

Antara ciri lain yang tersedia pada iCaur 03 termasuklah:
– keupayaan pengecasan AC 3 pin 3.3 kW, pengecasan AC 6.6 kW (10 jam), pengecasan pantas DC 80 kW (30 minit)
– fungsi V2L 3.3 kW
– skrin kluster 9.2 inci, skrin tengah 15.6 inci
– fungsi pemanas, ventilasi dan urut untuk tempat duduk depan
– fungsi ventilasi pada tempat duduk belakang
– slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50 W
– bumbung kaca panorama
– bukaan pintu guna suis elektrik
– sistem iROAD dengan 10 mod pemanduan (untuk varian iWD)
– 8 pembesar suara (12 pembesar suara Infinity untuk varian iWD)

Ciri keselamatan ADAS Tahap 2 merangkumi fungsi-fungsi berikut:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Maklumat Terlepas Pandu (DAI)
  • Amaran Pelanggaran Depan (FCW)
  • Kekalkan Lorong Kecemasan (ELK)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Pencegahan Keluar Lorong (LDP)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Kesesakan Lalu Lintas (TJA)
  • Pengesanan Titik Buta (BSD)
  • Amaran Pembukaan Pintu (DOW)

 

Untuk pasaran Malaysia, iCaur 03 boleh didapati dalam lima pilihan warna termasuklah perak, kelabu, putih, hitam dan hijau aurora.

Harga jualan bermula dari RM119,800 untuk versi 2WD, dan RM129,800 untuk versi iWD.

Terdapat juga edisi Black Phantom yang hadir dengan kit badan eksklusif, kemasan hitam kusam, rak bumbung, serta tangga sisi dengan kos tambahan RM20,000.

iCaur Malaysia turut menawarkan Program Insurans iCARE yang dirangka dengan kerjasama Allianz General Insurance, Berjaya Sompo, AIG, Etiqa Takaful, Zurich dan Zurich Takaful, merangkumi perlindungan terhadap pengecas dinding dan kabel pengecas mudah alih serta khidmat tunda tanpa had.

Untuk makluman, iCaur 03 akan ditawarkan dalam versi import sepenuhnya (CBU), sementara program pemasangan CKD pula dijangka bermula Januari 2026.

Mercedes-Benz GLC with EQ Technology muncul sebagai pengganti EQC, jarak gerak 713 km

Tatkala BMW mula mengecilkan dimensi jeriji hadapan, pesaingnya Mercedes-Benz menggunakan pendekatan sebaliknya pada model baharu – GLC with EQ Technology.

GLC serba baharu ini akan mula dijual pada separuh pertama tahun 2026 sebagai pengganti kepada model EQC.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang GLC with EQ Technology:

 

1. Dimensi

GLC elektrik ini membawakan ukuran sepanjang 4,845 mm, lebar 1,913 mm, tinggi 1,644 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,972 mm.

Bermakna, lebih panjang, lebih lebar dan ruang kabin yang lebih luas jika dibandingkan dengan GLC berkuasa petrol.

Terdapat ruang kargo sebesar 570 liter-1,739 liter, serta ruang frunk sebesar 128 liter.

 

2. Casis

GLC elektrik ini berkeupayaan untuk menunda beban seberat 2,400 kg apabila dilengkapi dengan cangkuk treler.

Antara benda baharu pada GLC ialah pilihan untuk memadankan suspensi udara Airmatic yang dipinjamkan daripada S-Class, lengkap dengan sistem stereng gandar belakang.

Sistem suspensi pintar ini akan berkomunikasi dengan infrastruktur trafik dan data Google Maps untuk menentukan tetapan terbaik termasuklah ketinggian SUV bergantung kepada keadaan jalan semasa.

3. Prestasi & pengecasan

Untuk permulaan, Mercedes akan menawarkan GLC 400 4MATIC dengan tetapan dua motor elektrik 483 hp yang dipadankan dengan pek bateri lithium-ion 94 kWh.

Untuk sekali cas penuh, ia mampu mencapai jarak sejauh 713 km mengikut kitaran WLTP.

Dengan sokongan pengecasan pantas DC sehingga 330 kW, GLC ini boleh menambah jarak 300 km untuk tempoh pengecasan selama 10 minit.

 

4. Luaran

GLC with EQ Technology ini mengekalkan bentuk yang hampir sama dengan GLC sedia ada, namun boleh dibezakan dengan muka depan dan belakang yang tersendiri.

Ciri yang menonjol pada GLC elektrik ini ialah jeriji hadapan yang lebih besar dan dilengkapi dengan 942 titik bercahaya termasuklah logo tengah.

Tema bintang bucu tiga turut didapati dalam perumah lampu utama depan dan belakang.

 

5. Kabin

Untuk bahagian dalam kabin pula, Mercedes GLC kini menampilkan balutan upholsteri kulit yang diiktiraf oleh The Vegan Society, selain opsyen premium seperti kulit Soft Torino serta kulit Nappa.

Ciri MBUX Hyperscreen telah diperbaharui, dengan skrin sebesar 39.1 inci yang mengintegrasikan skrin kluster digital, skrin infohibur tengah dan skrin untuk penumpang hadapan.

Pada konsol tengah terdapat slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar dan dua tempat letak cawan.

Usah risau kerana Mercedes masih lagi mengekalkan kehadiran butang fungsi fizikal terutama pada bahagian konsol tengah, panel pintu serta pada roda stereng.

 

JPJ lawat kilang pengeluaran skuter elektrik GGR Motor di Sungai Penchala

GGR Motor baru-baru ini menerima lawatan rasmi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di kilang GGR Legacy (M) di Kampung Sungai Penchala, Khamis lalu.

Lawatan kerja yang disertai 25 anggota JPJ Wilayah Persekutuan itu diketuai oleh Timbalan Pengarahnya, Eric Jusiang bertujuan untuk meninjau operasi kilang GGR Motor sebagai pengeluar motosikal elektrik pertama tempatan.

Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi berkata, langkah itu menjadi titik permulaan penting dalam memastikan pengeluaran motosikal EV di negara ini berjalan mengikut piawaian ditetapkan.

“Kami amat berbangga dan berbesar hati atas kesudian pihak JPJ WP meluangkan masa melawat kilang kami. Ia ibarat penghargaan terhadap usaha kami membangunkan motosikal EV di Malaysia,” katanya.

Kunjungan Eric Jusiang bersama anggotanya disambut oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail dan Muhammad Mussaddiq.

Selain diberikan taklimat operasi, rombongan JPJ turut dibawa melawat bangunan jualan aksesori, bengkel servis dan bahagian operasi bagi menyokong ekosistem EV.

Difahamkan, GGR Motor akan membina kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung yang akan menjadi hab pengeluaran utama bagi model Lion G1 dan beberapa model baharu akan datang.

Dibina atas tapak seluas lebih satu ekar, kilang ini dijangka mencipta lebih 50 peluang pekerjaan baharu selain diperkuat menerusi kerjasama strategik dengan PMH Motor, Bateriku.com, MARA dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM).

Menurut Mussaddiq, motosikal EV Lion G1 sudah boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September lalu.

“Kita jangkakan dalam tempoh terdekat, motosikal EV yang ditempah sudah boleh didaftarkan. Lebih 6,000 unit tempahan dijangka akan diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam tempoh seminggu selepas pelancaran, Lion G1 mencatatkan tempahan lebih 2,500 unit, menjadi petunjuk jelas penerimaan rakyat malaysia terhadap EV sebagai alternatif mobiliti harian.

BMW iX3 2026: EV pertama daripada platform Neue Klasse, jarak gerak cecah 805 km

Inilah dia model pertama BMW yang dibina berdasarkan platform terkini Neue Klasse, iaitu BMW iX3 2026.

Rekaan luaran iX3 ini dilihat lebih hampir kepada model konsep Vision Neue Klasse X yang dipertontonkan pada tahun lepas.

Pendekatan rekaan baharu ini juga akan ditawarkan kepada semua model BMW pada masa akan datang termasuklah model ICE.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang iX3 2026:

 

1. Dimensi

BMW iX3 berukuran sepanjang 4,783 mm, lebar 1,895 mm, tinggi 1,636 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,898 mm.

Berbanding iX3 terdahulu, iX3 baharu ini lebih besar dan memiliki jarak antara roda yang lebih panjang.

 

2. Platform elektrik

Seperti yang disebut, iX3 2026 dibina berdasarkan platform Neue Klasse yang tidak berkongsi dengan BMW X3 sedia ada.

Platform Neue Klasse merupakan pelantar EV sepenuhnya yang menyokong sistem 800 Voltan – menawarkan manfaat dari segi tempoh mengecas yang lebih pantas.

Ia juga turut menampilkan sistem eDrive generasi keenam yang menggandingkan motor elektrik yang dibangunkan baharu sepenuhnya dengan sel bateri silinder berketumpatan tinggi.

 

3. Prestasi

Untuk permulaan, BMW iX3 boleh didapati dalam varian 50 xDrive dengan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda berkuasa 463 hp dan 645 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 209 km/j.

 

4. Bateri

Terdapat dua pilihan saiz bateri, dengan kapasiti yang lebih besar (108.7 kWh) mampu menawarkan jarak gerak sejauh 805 km (data WLTP).

Dengan pengecasan pantas DC 400 kW, bateri boleh dicas dalam tempoh 21 minit dari 10-80 peratus, atau tambah jarak 370 km dalam masa 10 minit.

BMW iX3 2026 ini turut menyokong pengecasan dua arah, selain mempunyai port NACS.

 

5. Rekaan luaran

Penampilan iX3 2026 diilhamkan daripada model klasik BMW seperti 2002 namun dengan suntikan elemen yang lebih moden.

Selain struktur jeriji yang lebih kecil dan menegak, iX3 juga mengekalkan rekaan Hofmeister kink di bahagian sisi.

Lampu belakang pula nampak lebih tradisional bentuknya jika dibandingkan dengan iX3 sebelum ini.

Secara keseluruhan, BMW iX3 menawarkan kadar pekali seretan serendah 0.24 berbanding 0.29 pada model iX3 terdahulu.

 

6. Ruang kabin

Perubahan besar yang wujud pada iX3 ialah sistem Panoramic iDrive yang menjadikan susun atur papan pemuka tampak lebih tradisional dan kemas.

Tiada lagi panel skrin melengkung, sebaliknya ia kini mempunyai skrin tengah sebesar 17.9 inci, serta skrin lebar yang terletak di hujung papan pemuka.

Terdapat juga roda stereng empat jejari dengan butang fungsi berasaskan sentuhan, diikuti beberapa butang kawalan fizikal yang terdapat pada konsol tengah.

Ciri lain termasuklah sistem audio Harman Kardon, bumbung kaca panorama, kawalan iklim tiga zon, bunyi dan efek BMW HypersonX.

Ruang kargo adalah sebesar 520 liter dan boleh mencapai sehingga 1,750 liter, diikuti dengan ruang tambahan frunk sebesar 57 liter.

 

7. Empat “otak” untuk kawal segalanya

BMW iX3 dilengkapi dengan empat unit komputer berprestasi tinggi yang direka untuk mengawal segala macam fungsi yang wujud pada iX3.

Salah satu “otak” yang dinamakan sebagai Heart of Joy itu bertanggungjawab mengawal dinamik pemanduan termasuklah sistem pacuan, brek, pemulihan tenaga dan stereng untuk memastikan pemandu dapat menikmati pengalaman yang mengujakan.

Satu lagi unit direka untuk sistem pemanduan autonomi dan fungsi parkir, manakala selebihnya dikhususkan untuk sistem infohibur dan fungsi asas kenderaan.