Leapmotor C10 atau C10 Plus, mana satu lebih berbaloi? – pandu uji

Leapmotor C10 Plus

Leapmotor C10 memasuki pasaran Malaysia secara rasmi kira-kira dua tahun yang lalu.

Pada mulanya satu jenama yang cukup asing didengari, namun kini ia kian menjadi pilihan di kalangan rakyat Malaysia yang mahukan sebuah mod pengangkutan yang praktikal.

Model ini dikemas kini pada tahun 2025, menampilkan keupayaan pengecasan AC yang lebih pantas dan penambahan sistem pemantauan tekanan tayar.

Untuk model tahun 2026 pula, Leapmotor Malaysia mengumumkan ketibaan varian baharu C10 Plus dengan naik taraf yang lebih signifikan.

Berikut merupakan ulasan kami setelah diberikan peluang memandu uji kedua-dua varian C10 ini.

Luaran

Daripada segi luaran, memang tidak banyak perbezaan yang boleh dilihat antara kedua-dua model.

Rekaannya lembut dan minimalis tanpa kehadiran garis badan yang agresif, namun diserlahkan dengan padanan rim bersaiz 20 inci.

Pemegang pintu yang tertanam kemas dalam badan menjadikan imej C10 lebih bersih.

Namun cara operasinya mungkin tidak menyenangkan bagi sesetengah pihak.

Dalaman

Dengan dimensi yang cukup besar, C10 boleh dikategorikan sebagai sebuah kenderaan pelbagai guna walaupun tidak didatangkan dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Dengan jarak antara roda 2,825 mm, Leapmotor C10 mampu menawarkan ruang kabin yang agak luas, terutama untuk penumpang baris kedua.

Ruang kepala juga dirasakan luas terima kasih kepada bumbung kaca panorama yang cukup luas.

Sekiranya terlalu silau, bumbung kaca itu boleh ditutup menggunakan tirai yang tersedia.

Penggunaan bahan upholsteri kulit silikon Oeko-Tex 100 menjadikan tempat duduk lebih empuk dan selesa sepanjang perjalanan.

Usah risau kerana ia juga mempunyai ciri kalis air dan bebas toksik, bermakna ia selamat untuk kegunaan anak kecil.

Aspek NVH juga cukup memuaskan di mana bunyi bising angin dan tayar juga berjaya ditapis dengan baik.

Unit C10 berwarna hijau ini didatangkan dengan kemasan warna Criollo Brown, agak cerah namun nampak premium.

Sekiranya anda tidak mahukan kemasan yang mudah nampak kotor, boleh dapatkan upholsteri hitam seperti yang terdapat pada model C10 Plus.

Antara kelebihan lain C10 ialah ruang kargo yang cukup besar untuk kegunaan harian.

Ruang sebesar 435 liter itu boleh mencapai kapasiti sehingga 1,410 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Ruang kokpit

Ringkas itu menyenangkan, tapi bila terlalu ringkas ia akan menjadi sesuatu yang menyukarkan.

Itulah perasaan penulis bila masuk ke dalam kokpit C10.

Disebabkan sudah terbiasa dengan papan pemuka yang sarat dengan butang fungsi fizikal, penulis rasa janggal seketika bila duduk di tempat duduk pemandu.

Susun aturnya terlalu ringkas di mana kesemua fungsi-fungsi penting disumbatkan ke dalam skrin infohibur.

Seperti contoh, arah tiupan angin sejuk, larasan suhu, tetapan lampu utama dan tidak ketinggalan larasan cermin sisi.

Mujur juga paparan menunya mudah untuk digunakan dan tidak serabut seperti sesetengah kereta yang jauh lebih mewah.

Sayang sekali, Leapmotor C10 masih lagi tidak didatangkan dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

C10 Plus yang hadir pada tahun ini juga masih tidak menyokong fungsi tersebut.

Seperkara lagi, satu rutin yang perlu anda belajar dan ingat setiap kali mahu mula memandu ialah mengimbas kunci berbentuk kad pada konsol tengah.

Ia perlu dibuat SEBELUM tangan menarik tuil transmisi ke posisi D.

Pengalaman pemanduan

Secara standard, Leapmotor C10 dikuasakan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 215 hp dan 320 Nm.

Sementara C10 Plus pula mendapat naik taraf seni bina elektrik 800V dengan motor elektrik 299 hp dan 360 Nm.

Atas kertas nampak berkuasa, namun berdasarkan pengalaman pecutan C10 tidaklah seagresif mana-mana EV yang ada di pasaran.

Ia juga bukanlah sebuah kenderaan yang malas untuk bergerak, cuma talaan kuasanya lebih tertumpu untuk keselesaan penumpang.

Hamburan kuasa yang lancar di atas lebuh raya membolehkan SUV ini memecut pada kelajuan yang diinginkan untuk memotong kenderaan di hadapan.

Tayar Dunlop e-Sport Maxx memastikan SUV ini melekat dengan baik pada permukaan jalan, dibantu dengan talaan suspensi yang selesa dan tidak terlalu kasar.

Talaan stereng juga memuaskan, cuma tidak cukup responsif terutama untuk keadaan yang lebih memerlukan.

Perkara yang penulis bimbangkan semasa sesi awal pandu uji kembali menghantui: respons brek yang ‘kosong’.

Ketika pemanduan berkelajuan tinggi, perkara tersebut tidak mendatangkan masalah di mana sistem brek beroperasi dengan baik.

Masalah tersebut timbul apabila SUV ini bergerak pada kelajuan yang rendah di kawasan bandar, seakan tiada titik gigit brek dirasakan oleh pemandu.

Biarpun hadir dengan prestasi lebih bertenaga, C10 Plus juga masih lagi mewarisi ciri brek yang sama.

Jarak pandu

C10 dilengkapi dengan pek bateri 69.9 kWh yang menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 424 km.

Dengan pengecasan pantas DC sehingga 84 kW, bateri C10 boleh dicas 30-80% dalam masa 30 minit sahaja.

C10 Plus pula dilengkapi bateri 81.9 kWh yang menawarkan jarak pandu WLTP lebih jauh, sekitar 510 km.

Ia juga turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 180 kW, memendekkan tempoh pengecasan kepada 22 minit sahaja.

Keselamatan

Leapmotor C10 hadir dengan kelengkapan keselamatan ADAS Tahap 2, merangkumi fungsi seperti kawalan jelajah adaptif, kawalan pemusatan lorong, amaran pelanggaran hadapan dan sebagainya.

Kesemua sistem yang dilengkapkan ini bertujuan untuk memastikan pemanduan yang lebih selamat di atas jalan.

Berdasarkan pengalaman, SUV ini sebenarnya seronok untuk dipandu.

Cuma dalam keadaan tertentu, campur tangan daripada sistem seperti bantuan pengekalan lorong kecemasan (ELKA) dan kawalan pemusatan lorong (LCC) menjadikan pemanduan tiba-tiba tidak meyakinkan.

Sistem tersebut bertindak sedikit agresif membetulkan arah pulasan stereng, menjadikan pemanduan lebih penat daripada kebiasaan.

Malah, ada di antara fungsi yang sudah dimatikan sebelum ini akan aktif semula setiap kali selepas kereta dihidupkan semula.

Penulis lebih gemar sekiranya sistem mengingati tetapan yang telah dibuat sejak dari awal tanpa perlu membuang masa setiap kali sebelum memandu C10 ini keluar.

Kelemahan yang sudah dibaiki

Antara perkara yang paling tidak disukai penulis ialah cara untuk masuk ke dalam kereta yang agak menyusahkan.

Sebelum masuk, pemandu perlu mengimbas kunci NFC pada perumah cermin sisi sebelah kanan.

Ia akan menimbulkan masalah apabila pemilik mahu meletakkan barang pada kerusi belakang sebelah kiri. Nak tak nak, kena juga imbas kad tersebut pada tempat yang sama setiap kali.

Dengan adanya aplikasi mudah alih, pemilik boleh menggunakan peranti pintar untuk membuka pintu kereta daripada mana-mana arah.

Dalam perkembangan terbaharu, pemilik Leapmotor baharu dan sedia ada sudah boleh mendapatkan fob kunci fizikal tanpa perlu bergantung kepada kad NFC.

Cuma, rutin wajib sebelum memandu masih lagi kekal, di mana anda perlu mengimbas kad tersebut pada konsol tengah sebelum menarik tuil transmisi. Hmm…

Kesimpulan

Setelah memandu uji Leapmotor C10 dan juga C10 Plus, jelas sekali SUV elektrik ini dicipta untuk menjadi sebuah kenderaan yang praktikal, selesa dan mesra keluarga.

Ia menawarkan ruang kabin yang luas, aspek NVH yang memuaskan, penggunaan bahan dalaman yang berkualiti serta talaan suspensi yang selesa.

Itu pun jika anda tidak berapa kisah dengan perangai seperti respons brek dan yang kurang memuaskan, sistem ADAS yang sedikit agresif, serta tiada sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dengan harga bermula dari RM125,000 untuk versi pemasangan tempatan (CKD), Leapmotor C10 boleh jadi sebuah EV yang berbaloi dipertimbangkan.

Mahukan EV dengan keupayaan pengecasan yang lebih pantas dan jarak gerak lebih jauh, C10 Plus adalah jawapan yang anda cari dengan harga serendah RM129,000.

Leapmotor C10

Leapmotor C10 Plus

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved