Zeekr Malaysia meluaskan jejaknya ke Malaysia Timur menerusi pembukaan rasmi Zeekr Kuching Pop-up Store melalui kerjasama dengan Ghee Hua Group of Companies.
Terletak di The Spring Kuching, kedai pop-up ini akan mempamerkan barisan model Zeekr terkini seperti 7X, 009 dan X.
Bagi menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh, jenama itu juga turut menyasarkan pembukaan Zeekr Space Kuching (pusat 1S) dan Zeekr Service Centre Kuching pada suku pertama 2027.
Buat masa ini, Zeekr Malaysia melaksanakan program Mobile Service di seluruh Malaysia Timur yang menawarkan penyelenggaraan asas dan pemeriksaan terus kepada pengguna awal.
Menurut Eddy Lu, Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, pembukaan kedai pop-up ini merupakan detik penting dalam peluasan rangkaian Zeekr di seluruh negara.
Jelasnya, Sarawak juga merupakan pasaran strategik dengan permintaan terhadap EV premium yang semakin meningkat.
Kerjasama antara Zeekr Malaysia dan Ghee Hua akan memberi tumpuan kepada pengalaman produk secara langsung, sokongan jualan profesional dan akses selepas jualan yang lebih kukuh.
Pembukaan fasiliti baharu itu juga turut menandakan komitmen Zeekr untuk menjadikan mobiliti elektrik premium lebih mudah diakses di Malaysia Timur.
