Suzuki e Sky: kei car elektrik dengan jarak pandu 310 km, bakal dijual di Eropah
Selepas kemunculan BYD Racco, segmen kei car elektrik Jepun terus dimeriahkan dengan kehadiran model baharu, iaitu Suzuki e Sky.
Ia merupakan versi produksi sebenar yang mengekalkan sebahagian besar elemen rekaan yang wujud pada model konsep Vision e-Sky.
Suzuki e Sky akan mula dijual pada musim luruh tahun ini.
Menariknya, ia juga bakal dipasarkan di benua Eropah dan UK pada tahun 2027!
Spesifikasi
Menurut Suzuki, matlamat pembangunan e Sky adalah untuk membantu pemilik beralih daripada ICE kepada EV.
Disebabkan itu, ia mempunyai ukuran dimensi yang tidak lari jauh daripada keperluan segmen kei car semasa.
e Sky berukuran sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,460 mm.
Menggunakan platform Heartect e, Suzuki e Sky dipacu oleh e-Axle hadapan yang menggabungkan komponen motor, penyongsang dan gear.
Buat masa ini, output kuasa masih belum didedahkan secara rasmi.
Bateri & pengecasan
Kei car elektrik ini dibekalkan dengan pek bateri lithium iron phosphate 26 kWh yang mampu menawarkan jarak pandu sejauh 310 km.
Angka yang cukup impresif ini turut disumbangkan oleh berat keseluruhan e Sky cuma 1,030 kg.
Sebagai perbandingan, BYD Racco dengan pek bateri 35.84 kWh menawarkan kelebihan 10 km berbanding e Sky.
Menggunakan outlet kuasa standard, pengecasan penuh mengambil masa lapan jam atau 4.5 jam menerusi pengecas dinding 6 kW.
Pengecasan pantas DC 50 kW membolehkan bateri mencapai kapasiti 80% dalam masa 25 minit sahaja.
e Sky turut menyokong fungsi Vehicle-to-Home (V2H) dan juga Vehicle-to-Load (V2L) dengan outlet kuasa AC 100v/1500W.
Kelengkapan
Reka bentuk luaran e Sky sememangnya tidak jauh beza berbanding model konsep Vision e-Sky.
Untuk versi produksi sebenar, e Sky diberikan perumah lampu LED yang lebih besar, cermin sisi, jeriji yang lebih ringkas, rim lebih kecil dan pemegang pintu konvensional.
Bampar pula menampilkan bukaan liang udara penyejukan tunggal.
Selain itu, e Sky menampilkan rekaan bumbung terapung, lampu belakang LED yang lebih besar, serta plastik pelindung bampar mengikut warna badan.
Kabin pula menempatkan kelengkapan seperti skrin infohibur 10.1 inci, skrin kluster digital, tombol gear tradisional, serta panel kawalan khusus untuk iklim kabin.
Ciri lain termasuklah dulang praktikal pada papan pemuka sebelah penumpang, pemanas tempat duduk dan roda stereng, serta fungsi pemanas elektrik yang amat berguna semasa musim sejuk.
Pesaing
Selain BYD Racco, Suzuki e Sky bakal memberikan cabaran kepada model kei car elektrik seperti Honda N-One e:, Mitsubishi eK X EV dan juga Nissan Sakura EV.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.






