Cupra Born VZ – hot hatch elektrik 322 hp daripada Kumpulan VW

Setelah diasingkan daripada jenama SEAT pada tahun 2018, Cupra akhirnya melancarkan kenderaan elektrik berprestasi tinggi pertama mereka, iaitu Cupra Born VZ.

Kereta elektrik yang sporti ini dibangun berdasarkan model kompak Born, sementara akhiran VZ pula merujuk kepada akronim veloz yang membawa maksud pantas dalam bahasa Sepanyol.

 

 

Cupra Born VZ dibekalkan dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 322 hp dan 545 Nm, jauh lebih bertenaga daripada varian Born sebelum ini.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.7 saat dan kelajuan tertinggi meningkat kepada 200 km/j (daripada 160 km/j untuk varian standard).

Membezakan Cupra Born VZ dengan varian EV Born yang lain ialah set rim bersaiz 20 inci yang dibaluti tayar berprestasi tinggi, pek bateri 79 kWh untuk jarak gerak sejauh 570 km, talaan stereng yang lebih responsif, diikuti aspek gantungan dan pemberhentian.

Cupra menawarkan warna Dark Forest atau Midnight Black untuk dipadankan pada bahagian luar Born VZ ini.

 

 

Sementara untuk ruang kabin pula Born VZ mendapat sepasang tempat duduk jenis bucket, skrin infohibur sebesar 12.9 inci, serta paddle shifter di belakang stereng untuk larasan brek regeneratif.

Dengan tambahan kos, pembeli boleh mendapatkan sistem audio Sennheiser 425 watt dengan 10 pembesar suara.

Cupra Born VZ ini dijangka akan mula dijual di pasaran Eropah pada suku ketiga tahun ini sebelum ia disusuli dengan kembar berlogokan VW, iaitu ID.3 GTX.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *