Ford bangunkan platform EV baharu, mahu saingi Tesla Model 3

Sehingga kini, Ford sudah pun mempunyai beberapa buah model kenderaan elektrik yang dijual di pasaran tertentu, antaranya ialah Ford Mustang Mach-E dan Ford F-150 Lightning.

Biarpun kedua-dua model tersebut merupakan antara kenderaan yang mahal harganya di kalangan produk Ford, namun harga jualan yang tinggi tidak semestinya menjamin pulangan keuntungan yang tinggi kepada syarikat tersebut.

Ini kerana menurut laporan, sepanjang tahun 2023 Ford mengalami kerugian bernilai $4.7 bilion (RM22.39 bilion) daripada perniagaan EV mereka (Model e), termasuklah $1.57 bilion (RM7.48 bilion) sepanjang suku keempat tahun yang sama.

Untuk mengelakkan kerugian yang berpanjangan, Ford perlu menyemak semula strategi EV yang bakal digunakan kelak.

CEO-nya, Jim Farley mendedahkan satu pasukan rahsia telah dibentuk untuk membangunkan platform EV kos rendah yang lebih kecil, dan boleh digunakan untuk pelbagai jenis kenderaan.

Platform baharu ini direka bertujuan untuk memberikan saingan secara terus kepada kereta-kereta elektrik Tesla dan syarikat automotif China yang lebih mampu milik di dalam pasaran.

Jim Farley masih percaya pasaran EV akan terus berkembang, namun penggunaan yang lebih meluas bagi pengguna pasaran massa tidak akan terjadi selagi kos EV tidak sama paras dengan kenderaan tradisional.

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *