Arkib Kategori: BERITA

Volvo ES90 didedahkan, boleh dipandu sejauh 700 km dengan satu cas

Ini dia, kenderaan elektrik keenam dalam barisan model Volvo iaitu ES90. Seperti EX90 yang diperkenalkan hampir tiga tahun lalu, ES90 merupakan model flagship yang bermakna ia sarat dengan pelbagai ciri dan teknologi termaju.

Namun sebelum itu, perhatikan dahulu bentuknya. Volvo tidak menyatakan secara jelas sama ada ES90 merupakan sebuah sedan, fastback atau pun SUV namun menurut syarikat itu, ia menggabungkan kualiti-kualiti terbaik daripada ketiga-tiga jenis badan itu.

Wajah ES90 agak mirip dengan EX90 dan EX30, menampilkan lampu utama berbentuk tukul Thor, simbol Iron Mark pada bahagian tengah dan bukaan kecil pada bahagian bawah bampar.

Di belakang, anda akan nampak lampu berbentuk C yang tidak jauh berbeza dengan lampu belakang kedua-dua model EX yang lain itu. ES90 tidak mempunyai pintu but seperti sedan konvensional, sebaliknya ia didatangkan dengan tailgate hatch yang menawarkan bukaan lebih luas.

Tailgate hatch berkenaan memberikan akses kepada ruang but seluas 424 liter, atau 733 liter jika tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya. Jika anda perlukan lebih banyak ruang, kereta ini juga mempunyai frunk 22 liter yang boleh memuatkan kabel pengecas.

Untuk bahagian dalaman, tidak mengejutkan yang ES90 mengikuti jejak langkah EX90 dengan mengenengahkan konsep minimalis. Elemen utama di sini adalah skrin 14.5 inci dengan sistem infohibur Google yang membolehkan pemandu menggunakan Maps, Assistant serta pelbagai lagi aplikasi lain yang boleh didapati menerusi Google Play.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan paparan digital pemandu berukuran sembilan inci, head-up display, sistem pencahayaan ambien dengan enam tema warna, sistem pendingin hawa empat zon dan bumbung panoramik dengan fungsi electrochromic.

Untuk sistem audio, Volvo menawarkan tiga peringkat, termasuk sistem Bowers & Wilkins dengan 25 pembesar suara (termasuk pada perehat kepala dan siling) untuk peringkat tertinggi. Sistem audio ini juga mempunyai mod khas untuk meniru kualiti audio Abbey Road Studios di London.

ES90 dibina di atas platform SPA2 dan merupakan kereta Volvo pertama yang menggunakan seni bina 800V. Terdapat tiga rangkaian kuasa yang boleh dipilih iaitu Single Motor, Twin Motor dan Twin Motor Performance.

Seperti namanya, Single Motor didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang. Motor tersebut menjana 333 PS (245 kW) dan 480 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat.

Versi Twin Motor pula mempunyai dua motor elektrik yang menjana 177 PS (130 kW)/265 Nm pada gandar hadapan dan 272 PS (200 kW)/405 pada gandar belakang. Dengan kuasa keseluruhan berjumlah 449 PS dan 670 Nm, ia memerlukan 5.5 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.

Twin Motor Performance juga mempunyai sepasang motor elektrik tetapi ia telah ditala bagi menghasilkan 299 PS (220 kW)/390 Nm pada gandar hadapan dan 381 PS (280 kW)/480 Nm pada gandar belakang. Ini memberikannya kuasa keseluruhan sebanyak 680 PS dan 870 Nm, yang membolehkan ES90 melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.0 saat.

Untuk bateri, versi Single Motor didatangkan dengan bateri 92 kWj yang memberikan jarak gerak 650 km berdasarkan kitaran WLTP. Twin Motor dan Twin Motor Performance pula dikatakan boleh dipandu sejauh 700 km dengan satu cas penuh dengan adanya bateri 106 kWj.

Versi Single Motor menyokong pengecasan pantas sehingga 300 kW, manakala Twin Motor dan Twin Motor Performance boleh menampung sehingga 350 kW. Masa pengecasan dari 10% hingga 80% bagi ketiga-tiga versi adalah sama iaitu 20 minit, menurut Volvo.

BYD Atto 3 facelift tampil dengan ADAS God’s Eye

BYD telah memperkenalkan Atto 3 versi facelift di China, di mana ia dijual pada harga bermula dari 115,800 yuan (RM70,830), iaitu 1000 yuan (RM610) lebih murah berbanding model tahun 2024.

Dikenali sebagai Yuan Plus di negara asalnya, crossover elektrik ini tampil lebih segar dengan ‘wajah’ baharu, serta beberapa ciri yang dinaik taraf.

Ukuran dimensi Atto 3 tidak berubah namun model baharu ini mendapat liang ambilan udara trapezoid yang lebih besar, lampu hadapan dengan efek smoked, tiang D berwarna hitam dan spoiler baharu dengan lampu brek berkembar.

Ruang dalaman tampil lebih santai dan matang berbanding sebelum ini, dengan dua pilihan warna yang agak membosankan iaitu beige dan kelabu. ‘Tali gitar’ pada panel pintu masih ada, tetapi kini ia didatangkan dalam warna hitam.

Selain itu, Atto 3 kini tampil dengan penukar gear kolum, panel instrumen digital 8.8 inci, head-up display berukuran 12 inci, kamera pemantauan pemandu pada tiang A dan peti sejuk.

Selain mendapat stereng baharu, konsol tengah Atto 3 telah direka semula, kini menempatkan dua pemegang cawan, beberapa butang fizikal dan pengecas tanpa wayar 50 W.

Ciri keselamatan dan bantuan pemandu Atto 3 diperhebatkan lagi menerusi penggunaan sistem pemanduan pintar God’s Eye C. Ia menggunakan tiga kamera yang terletak pada bahagian bawah cermin penghadang angin untuk membenarkan fungsi Navigation On Autopilot (NOA) berkelajuan tinggi.

Menurut CarNewsChina, sistem ini akan dikemas kini dengan fungsi NOA untuk pemanduan di dalam kawasan bandar.

Tiada sebarang perubahan pada rangkaian kuasa, bermakna Atto 3 kekal dengan motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang menghasilkan 204 PS (150 kW) dan 310 Nm.

Bateri LFP boleh didapati dalam versi 49.9 kWj dengan jarak gerak 430 km, dan 60.5 kWj yang menawarkan jarak sejauh 510 km. Angka-angka ini adalah berdasarkan kitaran ujian CLTC yang tidak begitu realistik.

JAC T9 dilancarkan di Malaysia – varian turbodiesel atau elektrik, harga dari RM120k

Setelah dipertontonkan pada Oktober tahun lalu, trak pikap saiz pertengahan JAC T9 akhirnya dilancarkan ke pasaran Malaysia menerusi Evolvelectric Motors selaku pengedar rasmi kenderaan JAC Motors.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, T9 ditawarkan dalam dua varian iaitu T9 Grand-ES yang dikuasakan oleh enjin turbodiesel dan T9 Grand-BEV yang merupakan versi elektrik.

Harga jualan bermula dari RM119,888 untuk T9 Grand-ES, manakala T9 Grand-BEV pula berharga RM199,888. Model diesel itu didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, manakala model elektrik pula hadir dengan jaminan pengeluar selama enam tahun atau had perbatuan 200,000 km.

T9 Grand-ES menampilkan enjin 2.0 liter empat silinder yang menghasilkan 167 hp pada 3,600 rpm dan 410 Nm dari 1,500 hingga 2,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan empat roda (4WD) dan transmisi automatik ZF lapan kelajuan.

T9 Grand-BEV pula menampilkan dua motor elektrik, dengan janaan 94 hp/176 Nm pada gandar hadapan dan 215 hp/342 Nm pada gandar belakang. Ini memberikannya daya kilas keseluruhan sebanyak 516 Nm.

Kuasa untuk kedua-dua motor elektrik tersebut dibekalkan oleh bateri LFP buatan CATL berkapasiti 88 kWj yang menjanjikan jarak gerak sejauh 340 km, berdasarkan kitaran WLTP.

 

Untuk pengecasan, ia menyokong pengecasan AC 11 kW yang memerlukan 6 jam 50 minit untuk mengecas bateri dari 15% hingga penuh.

Sebagai alternatif, pemilik juga boleh menggunakan pengecasan pantas DC 88 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 30% hingga 80% dalam tempoh 35 minit.

Tidak kira varian apa yang anda pilih, T9 mempunyai ukuran panjang 5,330 mm, lebar 1,965 mm, tinggi 1,920 mm dan tapak roda sepanjang 3,110 mm.

JAC T9 BEV

Ia adalah trak pikap yang sebenar, menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm, sudut pendekatan 27 darjah, sudut pelepasan 23 darjah dan keupayaan meranduk air sedalam 800 mm, 100 mm lebih dalam berbanding Hilux Rogue.

Dari segi kelengkapan, T9 didatangkan dengan lampu LED hadapan dan belakang, lampu DRL LED, pemijak sisi, sports bar belakang, serta rel bumbung.

Di dalam, terdapat kluster instrumen digital tujuh inci, skrin tengah 10.4 inci dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto, pencahayaan ambien, pengecas tanpa wayar dan enam pembesar suara.

Turut disertakan adalah pelarasan enam tahap untuk tempat duduk hadapan, corong pendingin hawa barisan kedua, port USB tambahan dan soket kuasa.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada tujuh beg udara, kamera 360 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), brek kecemasan autonomi (AEB), amaran keluar lorong (LDW), bantuan kekal lorong (LKS), kawalan jelajah adaptif (ACC) dan sistem pengecaman papan tanda trafik (TSRS).

Promosi ‘Buka Lembaran Baharu’ Proton tawar duit raya sehingga RM10,000

Bersempena dengan sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, Proton memperkenalkan promosi ‘Buka Lembaran Baharu’ yang menawarkan rebat tunai sehingga RM10,000 untuk pelanggan yang membeli kereta baharu.

Menurut Proton, ganjaran itu boleh ditambah lagi dengan pakej sokongan overtrade daripada bahagian pengurusan kereta terpakai Proton di cawangan yang tertentu.

Promosi Buka Lembaran Baharu merangkumi semua model Proton. Untuk X50 dan X70 2025, pembeli akan menerima rebat sehingga RM9,000, dan sokongan tukar beli sehingga RM2,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM11,000.

X90 pula mempunyai rebat bernilai sehingga RM10,000 dan sokongan tukar beli bernilai RM5,000. Ini bermakna pakej yang ditawarkan bernilai RM15,000.

Sementara itu, Saga, Iriz dan Persona menawarkan rebat tunai sebanyak RM1,000 serta sokongan tukar beli bernilai diantara RM800 sehingga RM1,000. Ini bermakna pembeli dapat menikmati jumlah penjimatan sehingga RM2,000 untuk kenderaan baharu mereka.

Untuk S70, Proton menawarkan rebat tunai sehingga RM8,000 dan sokongan tukar beli bernilai RM2,000. Bukan itu sahaja, mereka yang membeli varian Flagship X juga akan menerima Aerokit bernilai RM3,130.

“Promosi Buka Lembaran Baharu Proton adalah usaha syarikat untuk menambah baik pengalaman jenama untuk pelanggan dengan membuatkan ia lebih mudah untuk memiliki kenderaan Proton baharu,” kata Roslan Abdullah, Timbalai Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Volkswagen ID.Every1 adalah EV mampu milik berharga RM96k

Volkswagen mengesahkan bahawa ia akan memasuki segmen EV entry-level tidak lama lagi menerusi pengenalan ID.Every1, model terkecil dalam barisan ID.

Model ini masih lagi dalam peringkat konsep namun ia secara asasnya sudah sedia untuk menerjah pasaran. Volkswagen berkata versi produksi akan dilancarkan pada 2027, dengan harga bermula sekitar 20,000 euro (RM95,555).

Selain ID.Every1, syarikat itu berkata ia juga akan memperkenalkan ID.2all yang berharga sekitar 25,000 euro (RM119,461) pada 2026.

Kedua-dua model ini merupakan sebahagian daripada barisan Electric Urban Car Volkswagen yang menggunakan platform pacuan elektrik modular MEB dengan pacuan roda hadapan.

ID.Every1 menggantikan e-up! yang jualannya dihentikan pada 2023. Dari segi saiz, ia 280 mm lebih panjang daripada e-up! dengan ukuran 3,880 mm. Ukuran tinggi adalah 1,490 mm manakala lebar mencecah 1,816 mm.

Sudah tentu, rekaan yang anda lihat ini bukan versi akhir yang akan memasuki fasa produksi. Jangkakan perubahan pada beberapa bahagian seperti cermin sisi, pemegang pintu dan rim.

Ia mungkin nampak kecil tetapi kereta ini cukup besar untuk empat penumpang, dan ruang but berkapasiti 305 liter. Rekaan ruang kabin nampak futuristik namun tiada apa yang unik jika dibandingkan dengan kebanyakan EV dalam pasaran sekarang, dengan skrin infohibur besar, paparan kecil untuk pemandu dan konsol tengah yang rendah.

Menurut Volkswagen, ID.Every1 bakal menjadi model pertama dalam Kumpulan Volkswagen yang menggunakan seni bina perisian baharu yang membolehkan kenderaan dikemas kini dan dinaik taraf sepanjang hayatnya.

ID.Every1 dikuasakan oleh sebuah motor elektrik baharu yang mampu menjana 95 PS (70 kW), membolehkan EV kecil itu mencapai kelajuan maksimum 130 km/j.

Kapasiti bateri tidak didedahkan namun Volkswagen mendakwa kereta ini boleh mencapai sekurang-kurangnya 250 km.

Cyclone RE600, 58 hp/55 Nm, imej retro moden, harga RM25,888

MForce Bike Holdings bakal melancarkan sebuah jentera scrambler retro moden RE600 sebagai pelengkap kepada model-model yang telah disebutkan pada artikel terdahulu (RT3E, RX650 & RA600).

Sama seperti model RA600, RE600 turut mendapat enjin parallel-twin 550.4 cc berkuasa 58 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 55 Nm @ 6,500 rpm.

Jentera ini mampu mencapai kelajuan tertinggi 170 km/j.

Sistem suspensi RE600 terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) diikuti dengan penyerap hentak tunggal di belakang.

Aspek pemberhentian pula diserahkan kepada rotor brek berkembar di hadapan, serta rotor brek tunggal di belakang, dibantu dengan sistem ABS dan sistem kawalan cengkaman (TCS).

Imej retro jentera ini disumbangkan dengan unit pencahayaan LED bulat depan, lampu belakang LED nipis, lampu membelok jenis LED, dan skrin penghadang angin yang kecil.

Segala info penting boleh dibaca menerusi skrin paparan TFT berwarna penuh.

Ciri lain termasuklah rim 17 inci, tangki bahan api sebesar 20 liter, dan tinggi pelana 800 mm.

Harga jualan Cyclone RE600 adalah sekitar RM25,888 apabila ia dilancarkan pada pertengahan tahun kelak.

Cruiser Cyclone RA600 dipertontonkan, harga RM25,888

Melengkapkan lagi penawaran jenama Cyclone untuk pasaran Malaysia tahun ini ialah jentera cruiser RA600, membawakan tanda harga RM25,888.

Cyclone RA600 dikuasakan oleh enjin parallel-twin 550.4 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 58 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 55 Nm @ 6,500 rpm.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda belakang menerusi sistem pacuan tali sawat.

Aspek gantungan jentera ini terdiri daripada fork teleskopik hadapan, serta penyerap hentak tunggal di belakang.

Membawakan penampilan yang agresif, cruiser ini didatangkan dengan sistem lampu LED depan dan belakang, sistem ekzos berkembar, bar hendal terdedah, dan panel skrin digital LCD berbentuk bulat yang agak ringkas.

Ciri lain termasuklah rim 16 inci, cermin sisi pada penghujung bar hendal, tangki bahan api sebesar 14.5 liter dan tinggi pelana 725 mm.

Pihak MForce mengumumkan harga jualan RA600 sekitar RM25,888 apabila ia dilancarkan menjelang pertengahan tahun ini.

Jentera adventure touring Cyclone RX650 bakal masuk Malaysia, harga jangkaan bawah RM30k

Selain daripada Cyclone RT3E, pihak MForce turut mengambil kesempatan memperlihatkan jentera adventure touring 650 cc Cyclone RX650 yang bakal masuk pasaran Malaysia kelak.

Dari segi kuasa, RX650 dijana dengan enjin parallel-twin 650 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 70 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 62 Nm @ 7,000 rpm.

RX650 dilengkapi dengan fork teleskopik hadapan jenis terbalik (USD), diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek terdiri daripada rotor berkembar di hadapan, rotor tunggal di belakang, dibantu dengan sistem brek ABS dan kawalan cengkaman (TCS).

Selain itu, RX650 mendapat teknologi seperti sistem pencahayaan LED, Cornering ABS, sistem penukaran gear pantas (quickshifter), kawalan jelajah, radar pengesan titik buta dan sistem kamera perakam tunggangan depan dan belakang.

Ciri lain termasuklah tangki bahan api sebesar 20 liter, rim 17 inci, tinggi pelana 820 mm, skrin penghadang angin boleh laras, serta skrin paparan TFT berwarna penuh.

Kami difahamkan harga jualan Cyclone RX650 bermula bawah RM30,000 apabila model ini masuk pasaran Malaysia secara rasmi menjelang pertengahan tahun ini.

MForce perlihat skuter klasik Cyclone RT3E, harga RM12,888, pelancaran tahun ini

Mforce Bike Holdings Sdn Bhd dalam satu sesi lawatan ke kilang Zoshen di Chongqing, China bersama para pengamal media Malaysia memperlihatkan beberapa buah model motosikal jenama Cyclone yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Salah satu daripadanya ialah Cyclone RT3E yang membawakan imej skuter klasik seakan Vespa.

Dari segi kuasa, RT3E didatangkan dengan enjin silinder tunggal 247 cc menghasilkan kuasa 26.15 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 24.5 Nm @ 6,500 rpm.

Skuter ini dilengkapi dengan sistem brek cakera depan dan belakang, dibantu dengan sistem ABS dan kawalan cengkaman (TCS).

Ciri lain termasuklah tangki bahan api sebesar 10 liter, tinggi pelana 750 mm, panel meter digital, lampu LED, skrin penghadang angin, crash bar kiri dan kanan, rak hadapan, serta tayar klasik dinding putih.

Untuk pasaran Malaysia, Cyclone RT3E bakal dijual pada harga RM12,888.

XPeng X9 dilancarkan di Malaysia – 3 varian, harga dari RM270k

Bermaz Xpeng Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Xpeng di Malaysia, telah melancarkan model keduanya iaitu X9.

Digelar sebagai “Ultra Smart Large Seven-seater,” MPV elektrik ini bakal memberi saingan model-model seperti Zeekr 009 dan Denza D9.

Ia kini sudah boleh ditempah, dengan harga dan varian seperti berikut:

  • X9 Standard Range 2WD Pro – RM269,888
  • X9 Long Range 2WD Pro – RM287,888
  • X9 Long Range 2WD Pro Plus – RM299,888

Bermaz menawarkan waranti pengeluar selama lima tahun/120,000 km, dan pakej servis percuma selama lima tahun/100,000 km. Turut disertakan adalah waranti bateri voltan tinggi untuk lapan tahun/160,000 km.

Ketiga-tiga varian didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 315 hp dan 450 Nm. Pecutan 0 hingga 100 km/j mengambil masa 7.7 saat, manakala kelajuan maksimum boleh mencecah 200 km/j.

Apa yang menarik, X9 boleh didapati dengan dua jenis bateri. Varian Standard Range 2WD Pro didatangkan dengan bateri LFP 84.5 kWj yang menawarkan jarak gerak 500 km (WLTP), manakala varian-varian Long Range mendapat bateri NMC 101.5 kWj dengan jarak gerak 590 km.

X9 menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 317 kW, yang membolehkan bateri dicas dari 10% hingga 80% dalam masa 20 minit.

Menurut Xpeng, X9 merupakan MPV 7 tempat duduk BEV pertama di dunia yang menampilkan struktur badan aluminium tuangan pada bahagian hadapan dan belakang bagi tujuan meningkatkan keselamatan dan ketahanan.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem stereng roda belakang aktif yang dipadankan dengan sistem suspensi udara dual chamber, memberikannya radius pusingan 5.4 meter.

Masuk ke dalam, anda akan disapa oleh kokpit yang diinspirasikan daripada kapal angkasa lepas. Varian Standard Range 2WD Pro dan Long Range 2WD Pro didatangkan dengan upholsteri leatherette, manakala Long Range 2WD Pro Plus pula diberikan kerusi Zero Gravity yang dibaluti upholsteri kulit Nappa.

Tarikan utama di sini adalah skrin infohibur berukuran 21.3 inci, sistem audio X-Opera dengan 23 pembesar suara yang memberikan kualiti audio setanding konsert, serta sistem penulenan udara maju.

X9 didatangkan dengan konfigurasi tujuh tempat duduk namun ia boleh ditukarkan kepada empat tempat duduk dengan menekan satu butang sahaja. Tempat duduk barisan ketiga akan dilipat, sekaligus memperluaskan kapasiti ruang but dari 755 liter kepada 2,554 liter.

Untuk lebih keselesaan, ciri-ciri seperti sistem pelarasan kerusi barisan ketiga, fungsi urut dan peti sejuk pintar turut disertakan.

Untuk keselamatan pula, terdapat sistem XPilot 2.5 yang merangkumi ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Stop & Go, Lane Centering Control (LCC), Adaptive Turning Cruise (ATC), Intelligent Speed Limit Assist (SAS), dan Active Lane Change (ALC).

Parkir juga menjadi lebih mudah dengan adanya Enhanced Auto Parking Assist (EAP 2.0), Auto Exit Parking Assist (AEP), dan Straight Summon yang boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih XPeng.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk enam beg udara, Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Blind-Spot Detection (BSD), Lane Keeping Assist (LKA), dan Rear Cross-Traffic Alert (RCTA).

X9 diimport sepenuhnya (CBU) dari China dan boleh didapati dalam tiga warna iaitu Nebula White, Crescent Silver dan Dark Night Black. Untuk bahagian dalam pula, terdapat dua pilihan warna iaitu Starry Night Black dan Moon Shadow Brown.

Merdeka 118 kini boleh diakses menerusi Belfield Tunnel

Para pengunjung ke Merdeka 118 kini boleh menggunakan laluan yang lebih lancar untuk menuju ke presint ini dengan pembukaan rasmi Belfield Tunnel.

Projek infrastruktur ini, yang dilaksanakan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), akan membuka satu lagi jalan masuk ke menara kedua tertinggi di dunia itu bagi mengurangkan kesesakan di jalan-jalan utama di ibu kota.

Meliputi jarak lebih dari satu kilometer, Belfield Tunnel ialah terowong dua tingkat kedua Malaysia yang direka secara eksklusif untuk kenderaan yang berulang-alik ke Merdeka 118. Jalan ini menyediakan laluan masuk dan keluar alternatif, untuk melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di pusat bandar raya.

Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, Dato’ Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, “Matlamat kami ialah untuk menyediakan perjalanan yang lancar dan menyenangkan ke ibu kota, memudahkan kunjungan untuk semua.”

“Dengan ruang sebanyak 8,000 tempat letak kereta, kami berharap untuk mengalu-alukan kedatangan pengunjung dari segenap lapisan masyarakat, daripada ahli perniagaan profesional kepada pembeli dan pelancong untuk menikmati kemudahan yang disediakan di Merdeka 118 apabila dibuka sepenuhnya kelak,” tambah beliau.

Belfield Tunnel boleh diakses menerusi dua jalan masuk, iaitu Jalan Syed Putra dan Jalan Damansara, yang membawa kenderaan terus ke tempat letak kereta bawah tanah 4 di Menara Merdeka 118. Untuk keluar, kenderaan boleh dipandu dari tempat letak kereta bawah tanah 5 menuju ke Jalan Syed Putra atau Jalan Istana.

Kemudahan masuk strategik ini bertujuan mengurangkan kesesakan dan menambah baik aliran trafik di sekitar presint Merdeka 118, termasuk di Jalan Hang Jebat, Jalan Hang Tuah, dan Jalan Maharajalela.

Menurut PMVSB, terowong ini juga boleh digunakan untuk ke satu-satunya hotel Park Hyatt Kuala Lumpur di Malaysia dan juga ke pusat beli-belah 118 Mall, kedua-duanya akan dibuka pada Q2 2025 dan Q2 2026.

Toyota Land Cruiser jadi kegemaran geng pencuri di Jepun tahun 2024

Kita mungkin sudah biasa dengar berita tentang kehebatan Toyota terutama dari segi prestasi jualan dan tahap kebolehpercayaan di kalangan pelanggan.

Namun di Jepun, Toyota dilaporkan mengungguli carta kenderaan yang paling banyak dicuri sepanjang tahun 2024, dengan menguasai sepuluh anak tangga teratas!

Berdasarkan data daripada Japan General Insurance Association, Toyota Land Cruiser (termasuklah model Prado) menjuarai carta untuk tahun keempat berturut-turut.

 

Untuk tahun 2024, sebanyak 688 kes kecurian dilaporkan, merangkumi 27.5 peratus untuk setiap 100 kenderaan yang hilang.

Bermakna, lebih satu daripada empat kenderaan yang dicuri terdiri daripada model Land Cruiser.

Tempat kedua pula disandang oleh minivan Alphard (289 kes), diikuti Toyota Prius (235) di tangga ketiga, Lexus LX di tangga keempat (109), Lexus RX di tempat kelima (89), Toyota Crown (62), Toyota Hiace (43), Toyota Vellfire (38), Lexus LS (34) dan akhir sekali Toyota Voxy (21).

Menurut data, kes kecurian Land Cruiser untuk tahun 2024 dikatakan melonjak tinggi jika dibandingkan dengan tahun 2023 (383 kes), menyumbang kepada jumlah kes kecurian keseluruhan mencecah 2,499.

Suzuki Jimny 6×4 ini boleh jadi alternatif kepada Mercedes-AMG G63 6×6

Ini bukanlah imej janaan komputer, akan tetapi sebuah projek sebenar Suzuki Jimny enam tayar yang boleh dibeli untuk koleksi peribadi.

Suzuki Jimny 6×4 ini pada asalnya merupakan sebuah Jimny tiga pintu tahun 2019 yang diimport terus dari Jepun.

Idea untuk menghasilkan alternatif kepada AMG G63 6×6 ini tercetus setelah pemilik asalnya melihat gambar janaan komputer di alam maya.

Jadi, sebuah kedai kecil Mocho Fabrication di Broadway, England ditugaskan untuk mengubah Jimny 3 pintu menjadi sebuah Jimny enam tayar yang mampu membuatkan banyak kepala tertoleh melihatnya.

Dengan menggunakan komponen asli daripada Suzuki, pihak pembangun berjaya menambah panel kustom pada bahagian belakang termasuklah gandar ketiga, sepasang fender flare dan tayar ketujuh (tayar simpanan) untuk disesuaikan dengan penggayaan Jimny yang asal.

Keseluruhan luaran Jimny 6×4 ini dilayangkan dengan warna Nardo Grey.

Untuk ruang kabin pula, pihak bengkel telah memadankan trim dua tona hitam/kelabu cair pada tempat duduk dan panel pintu, diikuti dengan sistem infohibur jenama Kenwood.

Menurut keterangan dari laman eBay, Jimny 6×4 ini mempunyai jarak perbatuan sekitar 11,075 km sahaja, masih lagi cantik macam baru keluar dari bilik pameran.

Cuma sayang sekali, Jimny yang nampak gagah ini masih lagi bergantung kepada enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi (NA) menghasilkan kuasa 103 hp dan 134 Nm.

Ia masih lagi mengekalkan sistem pacuan empat roda (4WD) yang asal, dipadankan dengan kotak gear automatik.

Akan tetapi, pemilik Jimny ini merancang untuk menawarkan kit naik taraf turbo Garret termasuklah manifold dan intercooler yang mampu meningkatkan kuasa kuda kepada 170 hp dan 270 Nm.

Mahukan SUV alternatif kepada AMG G63 6×6?

Harga yang diminta bermula dari £45,000 (RM213,211) sahaja. Jauh lebih murah jika anda mahukan sebuah SUV 6×6 yang sangat bergaya di atas jalan raya.

GWM Malaysia rai penyerahan Tank 300 yang ke-500

GWM Malaysia mengumumkan ia telah menyerahkan Tank 300 yang ke-500 kepada pelanggannya.

Menurut syarikat itu, pencapaian ini membuktikan populariti Tank 300 yang semakin meningkat di negara ini, menjadikannya antara pilihan utama dalam kalangan peminat off-road.

“Kami amat berbangga melihat sambutan dan impak besar GWM Tank 300 di Malaysia sama seperti di China,” kata Cui Anqi, Pengarah Urusan GWM Malaysia.

“Kejayaan ini mencerminkan kepercayaan dan keterujaan rakyat Malaysia terhadap jenama kami. Respons ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk meneruskan momentum dengan barisan model Tank yang akan datang,” tambah beliau.

Bagi meraikan pencapaian ini, GWM Malaysia menawarkan waranti seumur hidup untuk enjin dan transmisi kepada semua pemilik pertama Tank 300.

Syarikat itu turut menawarkan empat promosi eksklusif kepada pemilik baharu dan sedia ada Tank 300:

  • Pandu Uji dan Menang: Pandu uji Tank 300 dan berpeluang memenangi baucar percutian bernilaiRM 888.
  • Beli dan Menang: Miliki Tank 300 dan berpeluang memenangi baucar percutian bernilai RM8,888.
  • Pakej Penyelenggaraan Percuma: Miliki Tank 300 dan nikmati pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun.
  • Menangi Kit Modifikasi Iron Cavalry GWM: Pelanggan yang membuat tempahan Tank 300 dari 1 Mac hingga 31 Mei 2025 akan berpeluang memenangi hadiah eksklusif kit modifikasi Iron Cavalry GWM. Untuk promosi ini, hanya satu pemenang bertuah akan dipilih.

 

Voge DS900X masuk pasaran Malaysia, harga RM49,998

MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan motosikal adventure Voge DS900X untuk pasaran tempatan, membawakan tanda harga RM49,998 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Dari segi spesifikasi, Voge DS900X dikuasakan oleh enjin dua silinder 895 cc menghasilkan kuasa 93.9 hp @ 8,520 rpm dan daya kilas 95 Nm @ 6,000 rpm.

Terdapat empat mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport dan Enduro, serta fungsi penukaran gear pantas (quickshifter) yang didatangkan secara standard.

Sistem gantungan terdiri daripada fork teleskopik terbalik di hadapan, diikuti dengan penyerap hentak tunggal dan lengan ayun aluminium yang unik.

Aspek pemberhentian pula diserahkan kepada brek Brembo dengan rotor berkembar saiz 305 mm di depan, rotor tunggal 265 mm di belakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran.

Ciri lain termasuklah tangki bahan api 17 liter, tinggi pelana 835 mm, unit pencahayaan LED termasuklah lampu limpah, penghadang angin boleh laras serta sistem kekunci pintar.

Segala info boleh dibaca menerusi skrin paparan TFT berwarna saiz tujuh inci.

Untuk kemudahan dan keselesaan semasa tunggangan, jentera ini hadir dengan slot pengecasan USB-A dan USB-C, soket 12V, penghadang angin boleh laras, pemanas bar hendal, pemanas pelanaa, kotak storan atas sebesar 45 liter serta dua kotak pannier sisi berkapasiti 35 liter setiap satu.

Keselamatan penunggang juga turut diberikan keutamaan dengan pemasangan crash bar, pelindung bar hendal, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kawalan jelajah automatik serta kamera perakam tunggangan (depan).

Voge Malaysia menawarkan jaminan perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun untuk setiap pembelian DS900X.

Volvo EX90, XC90 facelift bakal dilancarkan tidak lama lagi

Volvo Car Malaysia mengumumkan dua buah model SUV daripada siri 90 akan tiba lama lagi, iaitu SUV elektrik EX90 dan SUV plug-in hybrid XC90.

Buat masa ini, Volvo Malaysia tidak mengumumkan bilakah tarikh pelancaran bagi kedua-dua model tersebut, namun maklumat lanjut akan dihebahkan menerusi laman web rasmi.

 

Volvo EX90

Diumumkan buat kali pertama pada tahun 2022, Volvo EX90 direka untuk menjadi kenderaan Volvo yang paling selamat pernah dihasilkan.

SUV elektrik tujuh tempat duduk ini dilengkapi dengan teknologi keselamatan aktif bertujuan untuk mengurangkan dan mengelakkan kemalangan.

Ia juga merupakan kenderaan Volvo pertama mengguna pakai teknologi LIDAR, model pertama menggunakan teknologi perkomputeran termaju dan model pertama yang dilengkapi dengan perkakasan pemanduan autonomi penuh.

Malaysia merupakan antara pasaran pertama Asia Pasifik yang menerima kehadiran Volvo EX90 selepas Thailand.

 

Volvo XC90

Ini merupakan Volvo XC90 facelift kedua yang diperkenalkan pada tahun 2024, membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik yang lebih tertumpu kepada muka hadapan dan sistem infohibur pada ruang kabin.

Untuk makluman, Volvo XC90 PHEV merupakan kenderaan plug-in hybrid pertama yang dipasang di Malaysia pada tahun 2016.

Menurut Volvo Malaysia, kedua-dua model bertaraf flagship ini menawarkan jarak pemanduan yang luar biasa, selamat serta praktikal untuk kegunaan keluarga.

Volvo EX90 bakal menyertai keluarga kenderaan elektrik Volvo yang kini terdiri daripada Volvo EX30, Volvo XC40 Recharge Pure Electric dan Volvo EC40 (Volvo C40 Recharge Pure Electric).

Pelanggan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web https://www.volvocars.com/my/ex90-electric

Johor Premium Outlets bakal mempunyai 500 pengecas EV, kapasiti cecah 1 MW

Genting Simon Sdn Bhd mengumumkan pelan untuk memasang 500 pengecas EV di Johor Premium Outlets, menjadikannya sebagai pusat pengecasan EV terpantas terbesar di Asia Tenggara.

Menurut syarikat itu, projek ini bertujuan untuk memenuhi permintaan semakin tinggi terhadap infrastruktur EV sambil memajukan solusi teknologi untuk mobiliti lestari.

Apabila beroperasi sepenuhnya, pengecas EV di Johor Premium Outlets akan merangkumi pengecas arus terus (DC) dari 280 kW hingga 1 MW, menjadikannya pengecas 1MW yang pertama boleh diakses secara awam di Asia Tenggara.

Infrastruktur pengecasan ini dibangunkan menerusi kerjasama strategik bersama chargEV milik Yinson Greentech dan DC Handal sebagai penyedia perkhidmatan.

Ia boleh digunakan pelbagai jenis kenderaan elektrik, sekali gus memastikan keserasian dengan kemajuan teknologi EV pada masa hadapan, serta menyokong peralihan ke arah EV.

Pelan itu juga merangkumi elektrifikasi flit bas Johor Premium Outlets. Sebuah hab bas EV akan dibangunkan untuk menghubungkan Johor Premium Outlets terus ke poin-poin pemeriksaan Johor Bahru dan hab pengangkutan awam utama lain bagi menjadikan perjalanan lebih selesa untuk pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, terdapat juga perkhidmatan sewa EV setiap jam dan harian melalui kerjasama strategik dengan GoCar dan drivEV yang memberikan lebih kebebasan kepada pengunjung untuk ke Johor Premium Outlets.

Baru dua bulan dilancarkan, penyerahan Proton eMAS 7 cecah 1,000 unit

Pro-Net telah mengumumkan bahawa setakat ini, ia telah menyerahkan 1,000 unit Proton eMAS 7. EV itu dilancarkan secara rasmi pada 16 Disember 2024.

Anak syarikat milik Proton itu berkata, sambutan luar biasa ini membuktikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap visi Proton ke arah menuju mobiliti lestari.

“Kejayaan e.MAS 7 mencerminkan komitmen kami dalam menawarkan solusi EV yang menarik dan selari dengan keperluan pengguna di Malaysia.

“Matlamat kami bukan sekadar menjual kereta, tetapi membangunkan ekosistem lengkap yang memastikan peralihan ke mobiliti elektrik berjalan lancar dan penuh keyakinan,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net.

Hasil kajian menunjukkan bahawa 58% pembeli bersetuju eMAS 7 sebagai pilihan yang berbaloi dengan harganya, manakala 51% menghargai ruangnya yang luas dan kesesuaiannya untuk kegunaan harian.

Selain itu, 38% tertarik dengan ciri keselamatan canggih termasuk ADAS Tahap 2 dan pemanduan semi-autonomi, sementara 39% menyatakan bahawa Peta Pengecasan Langsung menjadi faktor utama dalam proses membuat keputusan mereka.

Menurut Pro-Net, mereka telah menerima lebih daripada 4,500 tempahan. Syarikat itu yakin akan mendapat 6,000 tempahan tidak lama lagi terutamanya dengan lanjutan pakej Power Pack yang menawarkan harga eksklusif.

Tamhah syarikat itu lagi, eMAS 7 telah menguasai 25% bahagian pasaran EV tempatan. Ia juga muncul sebagai EV paling laris di Malaysia bagi Januari 2025.

800 unit Denza D9 dijual dalam tempoh seminggu

BYD Malaysia mengumumkan bahawa ia berjaya menjual 800 unit Denza D9 dalam tempoh seminggu sahaja selepas pelancarannya.

D9 dilancarkan ke pasaran tempatan pada 20 Februari lalu pada harga RM259,000 untuk varian Advanced FWD dan RM309,000 untuk Premium AWD.

Ia didatangkan dengan waranti sehingga lapan tahun/160,000 km untuk bateri (SOH melebihi 70%) serta waranti sehingga lapan tahun/150,000 km untuk motor pacuan dan pengawal motornya. Waranti kenderaan sehingga 6 tahun/150,000 km turut disertakan.

Varian Advanced FWD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 308 hp dan 360 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.

Dengan dua motor elektrik, Premium AWD pula mempunyai 369 hp dan 470 Nm yang menyaksikan masa pecutan 0-100 km/j dikurangkan kepada 6.9 saat sahaja.

Kedua-dua varian menggunakan bateri Blade LFP berkapasiti 103 kWj, dengan jarak gerak NEDC sehingga 600 km bagi Advanced FWD dan 580 km bagi Premium AWD.

Selepas 18 tahun, Nissan akhirnya tamatkan jualan R35 GT-R di Jepun

Penghujung Februari 2025, Nissan Jepun mengumumkan pihaknya akan menamatkan jualan bagi model GT-R (generasi R35) setelah hampir dua dekad berada di pasaran.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman web rasmi, Nissan berkata, “Kami telah menerima banyak tempahan untuk model Nissan GT-R, dan kini selesai menerima tempahan untuk kuantiti pengeluaran yang dirancang.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan atas sokongan mereka sejak ia dilancarkan pada tahun 2007.”

Nissan GT-R R35 telah pun lama dihentikan penawarannya di beberapa pasaran penting disebabkan oleh isu pematuhan peraturan seperti keselamatan, bunyi bising, emisi dan sebagainya.

Pasaran seperti Australia dan New Zealand telah menghentikan penjualan GT-R pada Oktober 2021, manakala pasaran Eropah dan UK pula berbuat demikian pada Mac 2022.

Nissan GT-R diperlihatkan buat kali pertama pada acara pameran Tokyo Motor Show 2007, dan sejak daripada itu ia telah menerima beberapa kali penambahbaikan dan facelift.

Ia dikuasakan oleh enjin bentangan V6 3.8 liter (VR38DETT) dengan kuasa awalan 473 hp, meningkat kepada 565 hp untuk model facelift 2023, sementara versi Nismo pula melonjakkan angka tersebut kepada 600 hp.

Apa akan jadi dengan generasi baharu Nissan GT-R? Adakah ia akan meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh GT-R yang terdahulu?

Atau ia akan berubah menjadi apa yang dibayangkan menerusi model Hyper Force Concept?