GWM Malaysia mengumumkan kemas kini bagi model SUV hibrid Haval H6 HEV yang kini ditawarkan dengan warna Phantom Black untuk ruang kabin.
Untuk imej yang lebih premium dan sporti, bahagian itu juga turut menampilkan kemasan perak kusam dan penggunaan bahan sentuh lembut.
Menurut GWM Malaysia, perubahan ini adalah sejajar dengan respons pengguna terhadap model SUV hibrid tersebut.
Selain itu, pihak GWM Malaysia kini meningkatkan tempoh jaminan bateri Haval H6 HEV daripada lapan kepada sepuluh tahun, atau had perbatuan sehingga satu juta km (yang mana tiba dahulu).
Jaminan tersebut juga boleh dipindah milik kepada pemilik berikutnya, sekaligus menawarkan ketenangan minda buat para pemilik selain memastikan nilai jualan semula yang lebih baik.
Secara standard, Haval H6 HEV didatangkan dengan pakej jaminan berikut:
– jaminan pengeluar 7 tahun/200,000 km
– jaminan enjin 10 tahun/1,000,000 km
– jaminan bateri HEV 10 tahun/1,000,000 km
– jaminan sistem HEV 8 tahun/1,000,000 km
Sementara pemilik berikutnya boleh menikmati perlindungan seperti berikut:
– jaminan pengeluar yang tidak berubah
– jaminan enjin 7 tahun/200,000 km
– jaminan bateri kekal 10 tahun/1,000,000 km
– jaminan sistem HEV 8 tahun/200,000 km
Tiada perubahan dari segi spesifikasi, di mana Haval H6 HEV masih lagi dikuasakan oleh enjin hibrid 1.5 liter menghasilkan kuasa keseluruhan 243 PS dan 530 Nm.
Untuk pasaran Malaysia, Haval H6 HEV dijual pada harga bermula dari RM139,800.
Dengan kuasa keseluruhan mencecah 805 hp dan 1,420 Nm, Mercedes-AMG GT 63 S E Performance boleh dianggap sebagai sebuah jentera yang cukup bertenaga dan ampuh.
Namun begitu, mereka yang berada di Brabus berpendapat sebaliknya.
Disebabkan itu, terhasilnya sebuah pakej istimewa yang dinamakan sebagai Brabus 1000 yang dibina berdasarkan AMG GT 63 S E itu tadi.
Para jurutera Brabus telah meningkatkan sesaran nadi V8 yang asal kepada 4.5 liter, selain memadankan sepasang pengecas turbo yang lebih besar.
Selain itu, ia turut mendapat aci engkol aluminium billet, rod penyambung tempa berprestasi tinggi dan sistem ekzos keluli kalis karat kustom.
Enjin itu sahaja berupaya menjana kuasa 785 hp dan 1,250 Nm sebelum dipadankan dengan motor elektrik 201 hp untuk kuasa keseluruhan 986 hp (1,000 PS) dan daya kilas 1,820 Nm.
Untuk menjaga kesejahteraan sistem transmisi, Brabus mengehadkan hantaran daya kilas kepada 1,620 Nm sahaja.
Pecutan 0-100 km/j kini sepantas 2.6 saat, manakala pecutan 0-200 km/j pula mengambil masa 9.5 saat.
Untuk mencapai kelajuan 300 km/j, Brabus 1000 hanya mengambil masa 23.6 saat sahaja sebelum mencecah kelajuan maksimum 320 km/j.
Aspek aerodinamik Brabus 1000 juga telah disemak semula dengan padanan canard baharu, kemasan jeriji dan splitter hadapan gentian karbon.
Bahagian belakang pula diserikan dengan sayap kekal dan diffuser karbon.
Jentera ini kemudian dipadankan dengan gabungan rim 21 dan 22 inci, serta sistem gantungan KW yang merendahkan lagi ketinggian sebanyak 20 mm.
Bahagian kokpit pula diserikan dengan kemasan elemen warna merah dan gentian karbon seperti yang wujud pada panel suis pintu, jeriji pembesar suara dan corong pendingin hawa.
Harga untuk satu unit Brabus 1000 bermula dari €445,900 (RM2.18 juta).
Acara larian Toyota Start Your Impossible (SYI) Outrun 2025 yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan lebih 6,500 orang peserta membanjiri kawasan Dataran Wawasan, Putrajaya pada 27 Julai yang lalu.
Edisi keempat SYI Outrun ini turut berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM200,000 untuk disumbangkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).
Sejak tahun 2020, Toyota telah mengumpul lebih RM500,000 untuk persatuan ini.
Menurut Datuk Ravindran K selaku Presiden UMW Toyota Motor berkata, “mobiliti lebih daripada sekadar kenderaan, ia adalah tentang memajukan manusia dalam setiap pengertian.
“SYI Outrun adalah satu peringatan yang kuat terhadap perubahan positif yang kami ilhamkan apabila beregerak dengan penuh makna.
“Hari ini, rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang berkumpul untuk satu tujuan bersama membawa harapan, dan ini adalah semangat sebenar Start Your Impossible.”
Untuk pertama kalinya, SYI Outrun memperkenalkan kategori maraton separuh 21KM bersama kategori 10KM dan 5KM sedia ada.
Selain pelari berpengalaman, SYI Outrun turut disertai oleh bekas pesakit kanser, serta ahli kelab Persatuan Pelari Anak Luar Biasa – Little Fighter Runners dan Bikeisable.
Selain acara larian, pelbagai aktiviti menarik disediakan menerusi gerai interaktif oleh NCSM, N8 Sports Nutrition, persembahan kumpulan perkusi, pemeriksaan kesihatan percuma serta pameran kenderaan Toyota.
10 pemenang utama dalam kategori 10KM dan 21KM membawa pulang hadiah bernilai RM138,000, tidak ketinggalan hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM19,000 termasuklah TV Sony Bravia, jam Garmin Forerunner Triathlon dan konsol PlayStation 5.
Bersempena dengan penganjuran Art of Speed 2025 tempoh hari, Harley-Davidson Malaysia mengambil kesempatan melancarkan enam model cruiser yang telah dikemas kini.
Berikut merupakan senarai enam model yang ditawarkan:
• Street Bob – RM119,900
• Heritage Classic – RM143,900
• Breakout – RM146,900
• Fat Boy – RM149,900
• Low Rider S – RM134,900
• Low Rider ST – RM150,900
Kesemua unit cruiser ini dibina berdasarkan casis Softail yang sama, menampilkan suspensi belakang tunggal tersembunyi.
Kesemua enam model cruiser baharu itu dilengkapi dengan enjin Milwaukee-Eight™ 117 bersesaran 1,923 cc, namun hadir dengan talaan kuasa yang berbeza.
Model Street Bob dan Heritage Classic mendapat talaan Classic Powertrain 91 hp dan 156 Nm, Breakout dan Fat Boy pula didatangkan dengan talaan Custom Powertrain 103 hp/168 Nm.
Sementara model Low Rider S dan ST pula mendapat talaan High Output 114 hp/173 Nm.
Jetour Auto Malaysia secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk model SUV Dashing dan VT9 di fasiliti Berjaya Assembly Sdn Bhd (B-Assembly) di Tampoi, Johor Bahru.
Fasiliti berkeluasan 640,000 kaki persegi itu menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab strategik untuk pembuatan dan pengedaran bagi rantau ASEAN.
B-Assembly, anak syarikat milik penuh Berjaya Assets Berhad berperanan sebagai rakan pemasangan tempatan Jetour.
Fasiliti sedia ada ini dilengkapi dengan sistem berkeupayaan Industri 4.0, mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat terhadap piawaian pembuatan bertaraf tinggi, kecekapan operasi serta penyelesaian mobiliti mampan.
Menurut Wen Qiangkang, Naib Presiden Jetour International berkata, “pencapaian penting ini mencerminkan keyakinan kukuh kami terhadap Malaysia sebagai pasaran strategik untuk Jetour.
Fu Yong, Ketua Pegawai Eksekutif Jetour Malaysia berkata, “dengan pelancaran operasi pembuatan tempatan, kami berbangga dapat menawarkan kenderaan berkualiti tinggi yang dipasang di Malaysia, sejajar dengan komitmen berterusan kami terhadap kualiti, inovasi dan kepuasan pelanggan.
Sejak pelancaran rasmi barisan produk pertama di Malaysia, Jetour telah berkembang pesat dengan lebih daripada 20 cawangan di seluruh negara.
Operasi CKD ini menandakan detik penting dalam usaha mempercepatkan pemerolehan tempatan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, mempercepat masa penghantaran dan meningkatkan kepuasan pelanggan menerusi penawaran tambah nilai kepada pengguna di Malaysia.
Buat masa ini, fasiliti tersebut memberikan tumpuan pada pemasangan model Dashing dan VT9 di mana lebih 1,000 unit kenderaan telah dihasilkan.
Penghantaran model Dashing pemasangan tempatan bermula pada Jun 2025, dan akan disusuli oleh model VT9 kelak.
Pada masa hadapan, Jetour merancang untuk melabur sekitar RM1.4 bilion di Malaysia bagi menyokong pelancaran lebih banyak model pemasangan tempatan dan eksport ke negara jiran di rantau ASEAN.
Isuzu Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran trak pikap tempatan dengan mencapai kedudukan di tempat kedua sepanjang suku kedua tahun ini menerusi model D-Max.
Peningkatan jumlah jualan terbaik sepanjang tempoh tersebut mendorong Isuzu Malaysia mencatatkan perkongsian pasaran sebanyak 16 peratus, dengan 3,081 unit trak pikap terjual setakat ini.
Populariti Isuzu D-Max dipacu oleh permintaan tinggi terhadap model berenjin 1.9 liter yang menawarkan prestasi kuasa serta penggunaan bahan api yang lebih cekap.
Tidak menghairankan apabila varian 1.9 liter menyumbang kepada lebih 85.8 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan D-Max.
Daripada jumlah tersebut, varian 1.9 liter 4×4 Auto Premium merupakan varian yang paling laris terjual, menawarkan nilai terbaik menerusi kelengkapan impresif, keselesaan yang ditawarkan serta ciri keselamatan yang dimuatkan.
Sebagai sebuah varian yang tersenarai dalam Malaysia Book of Record untuk perjalanan paling jauh bagi satu tangki minyak, D-Max 1.9 liter 4×4 Auto Premium menyumbang kepada 18.6 peratus daripada jualan keseluruhan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, “keputusan yang dicapai tahun ini mengukuhkan corak yang telah kami perhatikan sejak tahun lalu.
“Penggemar trak pikap atau pengguna kereta penumpang yang telah beralih kepada D-Max mendapati trak pikap berkenaan ada banyak kelebihan baik dari segi pemilikan mahupun pemanduan.
“Kami berharap akan dapat meneruskan prestasi yang sama bagi separuh kedua tahun ini, dan dalam masa yang sama memastikan pengalaman yang positif terhadap semua pelanggan kami,” ujarnya lagi.
Isuzu Malaysia menawarkan sehingga sembilan varian Isuzu D-Max untuk dipilih, bermula dengan varian 1.9 liter Low Ride 4×2 untuk kerja lasak hinggalah kepada varian X-Terrain, membolehkan pelanggan memilih trak yang paling sesuai dengan keperluan individu serta menikmati prestasi yang cekap dan boleh diharap.
Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo berkata, “usaha utama untuk separuh kedua tahun ini akan tertumpu kepada memperbaiki capaian terhadap produk kami dengan cara mendekati pelanggan berpotensi di luar perimeter premis cawangan.
“Kami juga akan membawakan kepada mereka pengalaman menyeluruh yang menampilkan kelebihan utama barisan produk kami.”
Acara Kustom Kulture Art of Speed 2025 (AOS 2025) melabuhkan tirainya pada 27 Julai yang lalu dan berjaya menarik ribuan peminat dan penggemar tegar dengan pameran jentera ubah suai luar biasa dari dalam dan luar negara.
Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa tetamu antarabangsa termasuklah:
• Shige Suganuma, Hiro “Wildman” Ishii dan Hey Murakamii dari MOONEYES (Jepun)
• Brendon Vetuskey selaku Pereka Produk Hot Wheels (Amerika)
• Mark Hawwa dari The Distinguished Gentlemen’s Ride (Australia)
• dan ramai lagi.
Tahun ini, AOS juga turut menampilkan gerbang ikonik dengan paparan LED penuh yang memancarkan visual dan animasi dinamik – mencerminkan semangat AOS itu sendiri yang penuh kreativiti, budaya dan inovasi.
Acara Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) kali ketiga kembali menggegarkan Dewan C dengan pelbagai aktiviti menarik buat para peminat dan pengumpul jenama diecast tersebut.
AOS 2025 turut mencipta sejarah dengan pelancaran pasangan koleksi kereta konvensyen pertama di Asia Tenggara yang menghadap kiri dan kanan.
Selain itu, ia turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai jenama kereta dan motosikal baik daripada zaman moden dan klasik, seperti berikut:
• perhimpunan mega pemilik skuter Santai Scooterist
• kehadiran kelab Alfa Romeo, K Car dan Porsche
• perhimpuna dua roda dan pesta Roda Rumble 2025
• program Beetle Battle yang dipelopori oleh Denny Kusumah (VW Beetle Club Indonesia)
Tidak ketinggalan persembahan SoundCircus Takeover yang menampilkan beberapa artis ternama termasuklah Noh Salleh & Restore Iboe, Ruffedge, Budak Nakal Hujung Simpang, dan ramai lagi.
AOS 2025 turut mengumumkan dua pemenang Best of Show kategori kereta dan motosikal yang memenangi pakej perjalanan ke MOONEYES Yokohama Hod Rod ke-33 sebagai tetamu kehormat:
• Kategori kereta: Shaun Pinto (VW Beetle 1965)
• Kategori motosikal: Omar Jumiran (Honda CB 175 1983)
Berikut merupakan senarai penuh nama pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan di AOS 2025:
Proton Holdings Berhad mengumumkan penubuhan anak syarikat milik penuhnya, Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB) untuk menerajui usaha memperluas pasaran luar negara.
Enmund Lim Meng, bekas Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat baharu ini.
PICSB akan dipertanggungjawabkan untuk memperluas pasaran eksport Proton dengan sasaran untuk berkembang ke negara-negara selatan global di samping menyelia dan membangunkan usaha jualan dan pemasaran di pasaran sedia ada.
Untuk sepanjang tahun 2025, PICSB menyasarkan jualan eksport mencecah angka 6,000 unit, dengan sasaran melebihi 10 kali ganda jumlah itu menjelang tahun 2030.
Buat masa ini, Proton sudah mengeksport 20,169 unit kenderaan ke 19 buah negara termasuklah Afrika Selatan, Angola, Bangladesh, Bermuda, Brunei, Fiji, Ghana, Iraq, Kenya, Mauritius, Mesir, Mozambique, Nepal, Pakistan, Papua New Guinea, Singapura, Sri Lanka, serta Trinidad & Tobago.
Tiga model Proton yang paling tinggi unit eksport sejak 2020 adalah Proton Saga (10,998 unit), Proton X50 (3,968 unit) serta Proton X70 (3,316 unit).
Sambutan hangat yang diterima untuk Proton e.MAS 7 menyebabkan angka jualan model tersebut melonjak ke tempat ketiga dalam jualan eksport tahun ini.
Sejak aktiviti eksport bermula ke Nepal dan Trinidad & Tobago, sebanyak 233 unit telah dihantar dan pada Disember 2024.
Model ini telah mengekalkan jualan kukuh dengan 916 unit terjual pada Mei untuk pasaran domestik dan antarabangsa, menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) sebanyak 3,632 unit.
Sedikit sejarah ringkas, Proton memulakan eksport ke pasaran Bangladesh pada tahun 1986, setahun selepas kereta pertama dilancarkan.
Menjelang 1992, Proton menjadi francais kereta baharu paling pesat berkembang di UK dengan jualan tahunan mencapai 15,000 unit.
Menjelang awal tahun 2000-an, model-model Proton telah berada di 64 buah negara di seluruh dunia.
Memperkenalkan, kereta elektrik Honda yang paling kecil pernah dihasilkan, iaitu Honda N-One e:.
Dengan dimensinya yang berada di dalam kelas kei car, ia sekaligus menggantikan Honda e yang telah ditamatkan produksi pada Januari tahun lepas.
Berikut merupakan beberapa fakta yang perlu anda tahu:
1. Kei car elektrik kedua Honda
Ia bukanlah kereta elektrik saiz ultra kompak yang pertama, memandangkan Honda sebelum ini telah melancarkan EV komersial N-Van e: pada tahun lepas.
Spesifikasi N-One e: dijangka mengikut apa yang ditawarkan pada N-Van e:, seperti motor elektrik tunggal memacu roda hadapan (64 hp).
2. Jarak gerak
Dengan pek bateri 29.6 kWh, N-Van e: boleh bergerak sejauh 245 km, namun bila dipadankan pada N-One e: ia mampu bergerak sejauh lebih 270 km berdasarkan data WLTC.
N-Van e: juga turut menyokong pengecasan pantas DC 50 kW, di mana bateri boleh dicas dalam tempoh 30 minit, atau 4.5 jam menggunakan pengecasan AC 6.0 kW.
3. Imbau kembali kereta era 60-an Honda
Honda menggunakan pendekatan e:Daily Partner pada N-One e: yang menawarkan rekaan luar yang menarik, serta ruang kabin yang luas.
N-One e: juga menawarkan manfaat pemanduan yang mudah untuk dikendalikan – mengimbau kembali ciri yang wujud pada kereta kei klasik Honda N360 era 60-an dan 70-an.
4. Ruang kabin
Ruang kabin N-One e: menggunakan pendekatan Man Maximum Machine Minimum yang nampak minimalis.
Ia hadir dengan skrin kluster LCD, skrin tengah sembilan inci, slot pengecasan USB, butang pemilihan PRND dan kawalan iklim di tengah, serta roda stereng dua jejari yang sama seperti model N-Van e:.
Aspek praktikaliti disumbangkan oleh kehadiran dulang kecil pada papan pemuka, ruang meletak cawan pada bahagian pemandu dan konsol tengah, serta tempat duduk baris belakang yang boleh dilipat mengikut keperluan.
5. Varian
Terdapat dua varian yang ditawarkan untuk pasaran Jepun, iaitu e: L yang lebih lengkap dengan varian asas e: G.
Secara standard, kedua-dua varian hadir dengan lampu LED depan dan belakang, serta sistem ADAS (lengkap dengan kamera),
Varian asas e: G pula didatangkan dengan rim keluli 14 inci yang lengkap dengan penutup hab.
Untuk ruang kabin pula, nampak lebih minimalis kerana ia hanya didatangkan dengan sistem audio yang ringkas lengkap dengan sokongan Bluetooth.
Varian e: L pula dilengkapi dengan rim aluminium enam jejari saiz 14 inci yang lebih sporti, serta ruang kabin yang lengkap dengan skrin infohibur yang disebutkan pada poin nombor 4.
6. Aksesori Honda Access
Seperti biasa, tidak lengkap penawaran sesebuah kereta Honda tanpa barisan aksesori yang meluas.
Honda Access menawarkan kit penyesuai V2L yang menawarkan kuasa sehingga 1,500W untuk kegunaan kecemasan.
Terdapat juga modul lampu indikasi pengecasan disediakan supaya pemilik dapat melihat tahap pengecasan bateri dari luar walaupun kereta sudah dikunci.
Pakej Premium Style pula menambah hiasan jalur perlumbaan pada bonet, pintu belakang, bahagian sisi kereta serta jeriji hadapan.
7. Jualan
Honda Jepun akan memulakan penjualan N-One e: bermula September ini.
Menariknya, kei car ini juga akan debut secara rasmi di pasaran Eropah pada acara IAA di Munich pada bulan yang sama.
Castrol Malaysia mengumumkan dua produk pelincir baharu di bawah jenama Castrol CRB Turbomax, iaitu Castrol CRB Turbomax 10W-40 CK-4/E9 serta Castrol CRB Turbomax 5W-40 CK-4/SN.
Kedua-dua minyak pelincir ini direka khas untuk memenuhi keperluan kenderaan komersial, daripada trak tugas berat hinggalah kenderaan tugas ringan.
Dengan teknologi Durashield™, minyak pelincir baharu ini dapat melindungi enjin daripada haba, mendapan dan geseran, serta memanjangkan jangka hayat enjin untuk memastikan enjin beroperasi dengan lancar walaupun dalam keadaan mencabar.
Castrol CRB Turbomax 10W-40 CK-4/E9 adalah minyak enjin teknologi sintetik untuk kegunaan enjin diesel 4 lejang berkelajuan tinggi, dan sesuai digunakan untuk enjin diesel yang dilengkapi sistem edaran semula gas ekzos (EGR).
Sementara Castrol CRB Turbomax 5W-40 CK-4/SN pula merupakan minyak sintetik penuh yang sesuai untuk kenderaan komersial ringan seperti trak pikap, van, dan trak kecil.
Ia juga menawarkan perlindungan 3X (haba, mendapan dan geseran) yang setanding dengan minyak enjin tugas berat.
Hasil ujian prestasi enjin menunjukkan Castrol CRB Turbomax 5W-40 CK-4/SN mencatatkan keputusan 50 peratus lebih baik dari segi perlindungan terhadap geseran.
Kedua-dua minyak ini juga sesuai digunakan dengan biodiesel, pilihan bahan api yang lebih mesra alam.
Segmen supercar dunia bakal dimeriahkan dengan kehadiran pendatang baharu daripada sebuah lagi pengeluar China, iaitu Great Wall Motor (GWM).
Sekeping gambar acah dimuat naik sendiri oleh pengerusi GWM, Wei Jianjun menerusi akaun media sosial Weibo pada sambutan ulang tahun Great Wall Motor yang ke-35.
Supercar tersebut masih lagi dibaluti kain hitam, namun kita dapat melihat ia adalah sebuah supercar yang sebenar berdasarkan dimensinya yang panjang, rendah dan lebar.
Pada bahagian depan, anda boleh melihat garis-garis yang merujuk kepada posisi lampu utama pada bahagian fender, serta bukaan bampar yang agresif.
Bahagian sisi pula menampilkan bukaan liang penyejukan tambahan, sekaligus mengesahkan supercar ini membawakan konfigurasi enjin tengah.
Spesifikasi rasmi jentera ini masih lagi dirahsiakan, namun GWM dijangka akan memadankan supercar ini dengan nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar dengan sistem plug-in hybrid (PHEV).
Unit enjin baharu ini telah pun debut di Shanghai Auto Show 2025 tempoh hari, dan dibangunkan sepenuhnya oleh GWM secara dalaman.
Menurut Ketua Pegawai Teknologi GWM, Wu Huixiao berkata, supercar pertama ini telah menjalani program pembangunan selama lima tahun.
Jelasnya lagi, mereka menggunakan pendekatan prestasi tinggi dan dalam masa yang sama menawarkan tanda harga yang lebih rendah berbanding pesaing.
Huixiao juga mendedahkan supercar ini akan dibina berdasarkan casis monocoque gentian karbon, dan dikatakan “jauh lebih baik berbanding model Ferrari SF90”.
Supercar pertama GWM ini akan didedahkan secara rasmi menjelang akhir tahun ini, dengan tanda harga bawah 1 juta yuan (RM590 ribu).
MDua Motor Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan skuter kembara Moda Shifter 400X yang direka untuk semua lapisan pengguna.
Ia dijana dengan enjin silinder tunggal SOHC 333 cc sejukan cecair yang dilengkapi sistem suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa 26.8 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 33.5 Nm @ 5,500 rpm.
Sistem suspensi Shifter 400X terdiri daripada fork teleskopik di hadapan serta penyerap hentak gas berkembar di belakang.
Brek pula menggunakan rotor tunggal 276 mm pada roda depan, dan rotor tunggal 240 mm pada roda belakang, dibantu dengan fungsi ABS dan kawalan cengkaman (TCS).
Antara ciri yang dimuatkan termasuklah skrin penghadang angin boleh laras, lampu utama adaptif, lampu berhenti kecemasan, sistem tanpa kunci pintar, serta slot pengecasan USB dan soket kuasa 12V yang tersedia dalam ruang storan sisi hadapan.
Di bawah pelana setinggi 775 mm itu terdapat ruang barangan yang cukup besar untuk memuatkan dua helmet.
Segala info boleh dibaca menerusi skrin paparan TFT tujuh inci berwarna, selain boleh dihubungkan kepada peranti pintar menerusi aplikasi Ride App.
Akhir sekali, Shifter 400X ini turut didatangkan dengan ciri kamera perakam tunggangan depan dan juga belakang.
Untuk pasaran tempatan, Moda Shifter 400X 2025 ditawarkan dalam pilihan warna Ninja Black dan Ultra White. Harga jualan pula bermula dari RM23,888 tidak termasuk cukai, pendaftaran dan insurans.
Honda telah mengesahkan bahawa Prelude 2026 yang bakal dilancarkan hujung tahun ini akan hadir dengan beberapa komponen daripada Civic Type R, walaupun tidak menggunakan lencana Type R.
Buat pertama kalinya, model bukan Type R akan menggunakan suspensi hadapan dual-axis Honda, yang pertama kali diperkenalkan pada Civic Type R 2017.
Rekaan suspensi ini memisahkan geometri stereng dan penyerap hentak bagi membantu mengurangkan kesan torque steer dan meningkatkan ketepatan kawalan stereng, ciri penting bagi kereta pacuan hadapan.
Selain suspensi tersebut, Prelude baharu ini turut dilengkapi dengan brek hadapan Brembo dan ukuran trek roda hadapan serta belakang yang lebih lebar, juga diambil daripada Civic Type R.
Namun begitu, Honda menyatakan bahawa komponen ini telah ditala khas bagi memberikan pengalaman pemanduan ala grand touring yang sporty tetapi selesa.
Dari segi kuasa, Prelude menggunakan sistem hibrid yang ‘dipinjam’ daripada Civic Hybrid. Ia merangkumi enjin petrol 2.0-liter kitaran Atkinson yang digandingkan dengan dua motor elektrik. Output rasmi masih belum diumumkan, tetapi dalam Civic, sistem ini menghasilkan 200 hp dan 232 lb-ft tork.
Bukan itu sahaja, Prelude juga bakal memperkenalkan mod pemanduan baharu S+ Shift, yang direka untuk meningkatkan tindak balas dan memberikan rasa pemanduan lebih agresif.
Spesifikasi penuh dan harga akan diumumkan lebih dekat dengan tarikh pelancaran, namun ia dijangka bermula sekitar USD $30,000 (sekitar RM140,000).
smart yang dikenali dengan barisan SUV elektrik baru-baru ini mengumumkan ketibaan SUV #5 varian plug-in hybrid (PHEV) untuk pasaran China.
Lebih dikenali sebagai smart #5 EHD (Electric Hybrid Drive), #5 PHEV ini dikatakan mampu mencapai jarak gerak sifar emisi sejauh 250 km, atau jarak pandu keseluruhan sejauh 1,600 km.
Ia dijana dengan sistem plug-in hybrid yang terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo 161 hp, serta pek bateri LFP CATL berkapasiti melebihi 40 kWh.
Kadar penggunaan bahan api pula adalah serendah 4.4 liter untuk setiap 100 km.
Dimensi SUV rekaan berkotak ini adalah menyamai model smart #5 versi EV, namun dengan berat sekitar 2,190 kg, lebih ringan berbanding versi EV seberat 2,450 kg.
Lebih banyak perincian bakal didedahkan menjelang pelancaran rasmi yang akan diumumkan kelak.
Beberapa bulan lepas, Isuzu mengumumkan model trak pikap elektrik D-Max EV sudah mula diproduksikan di kilang Thailand.
Trak pikap tersebut dijangka akan mendarat di pasaran Eropah seawal tahun 2026, membawakan tanda harga yang cukup mengejutkan.
Isuzu D-Max EV dijual pada harga £59,995 (RM341,913), dua kali ganda berbanding harga D-Max versi diesel yang bermula dari £27,755 (RM158,176).
Malah, dengan harga £62,495 (RM356k) untuk varian yang lebih premium, ia dilihat masih lagi mahal berbanding trak pikap D-Max AT35 yang sarat dengan bermacam-macam aksesori off-road (harga £57,005 atau RM325k).
Isuzu D-Max EV dikuasakan oleh dua motor elektrik, menghasilkan output 188 hp dan 325 Nm, dan masih mengekalkan ciri Rough Terrain Mode daripada model diesel.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 10.1 saat, dengan kelajuan maksimum cuma 129 km/j sahaja.
Untuk sebuah kuda kerja, D-Max EV menawarkan keupayaan menampung beban 1,000 kg, dan kapasiti menunda beban sehingga 3.5 tan yang menyamai keupayaan trak pikap diesel.
Pek bateri 66.9 kWh pula membenarkan jarak pandu sejauh 263 km sahaja, namun ia menyokong pengecasan pantas DC 50 kW untuk pengecasan sepantas 1 jam dari 20-80 peratus.
Isuzu D-Max EV masih mengekalkan casis ladder-frame seperti model biasa, namun suspensi belakang diubah kepada tetapan De-Dion untuk kualiti pemanduan yang lebih baik.
Pada tahun 2022, Hyundai melancarkan MPV mampu milik Stargazer untuk bersaing dengan pengeluar seperti Toyota, Daihatsu dan Mitsubishi di pasaran Indonesia.
Rupa paras yang futuristik itu kini dikemas kini untuk model tahun 2025 dengan penampilan yang lebih berani, serta ciri kelengkapan moden.
Versi facelift Stargazer baru ini dikenali sebagai Stargazer Cartenz bersempena dengan Puncak Cartenz iaitu pergunungan tertinggi di Indonesia.
Perubahan ketara boleh dilihat pada muka hadapan, dengan unit lampu yang lebih tradisional, lampu nyalaan siang LED berbentuk taring, struktur jeriji serta bukaan pada bampar hadapan yang lebih besar.
Struktur hud baharu yang lebih panjang melenyapkan terus imej telur pada Stargazer terdahulu.
Untuk bahagian belakang, Stargazer Cartenz diberikan bampar yang telah direka semula, serta lampu LED yang lebih nipis.
Untuk model Cartenz X, ciri unik termasuklah rel bumbung yang lebih tinggi, padanan plastik pelindung di sekeliling badan, bampar yang lebih agresif, serta rim hitam berkilat.
Ruang kabin Stargazer juga turut diberikan kemas kini, dengan skrin kluster digital dan skrin tengah diintegrasikan dalam satu panel tunggal, serta panel kawalan iklim berasingan.
Secara standard, Stargazer hadir dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, namun pembeli boleh memilih konfigurasi Captain Seat di tengah untuk menjadikannya sebuah kenderaan enam-tempat duduk.
Antara ciri lain termasuklah tempat duduk berventilasi larasan elektrik, pengecasan tanpa wayar, sistem bunyi Bose, kawalan jelajah pintar dan sistem pemantauan titik buta.
Untuk model Cartenz X pula, ia dilengkapi dengan teknologi Shift-by-Wire yang membuang terus tuil transmisi untuk konsol tengah yang lebih lapang.
Dari segi kuasa, Stargazer kekal dengan enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi berkuasa 113 hp dan 144 Nm, dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau CVT.
Berbanding model terdahulu, versi facelift ini mendapat pertambahan dimensi, dengan kelebihan 115 mm panjang, namun jarak antara roda kekal 2,780 mm dan jarak kelegaan tanah setinggi 205 mm.
Di Indonesia, Hyundai menjual Stargazer Cartenz pada harga bermula Rp 350,400,000 (RM90,580) manakala Stargazer Cartenz X pula bermula dari Rp 361,900,000 (RM93,553).
Melihatkan kepada pakej yang ditawarkan, rasanya tidak salah untuk Hyundai Motor Malaysia membawa masuk model Stargazer ini bagi merancakkan lagi segmen MPV sedia ada.
Proton secara rasmi melancarkan SUV segmen B versi facelift Proton X50 2025 untuk pasaran tempatan.
Berbeza dengan model terdahulu, X50 2025 tampil dengan rupa paras yang lebih malar segar, enjin baharu serta perubahan besar pada ruang kabin.
Bermula dengan enjin, X50 kini membawakan nadi empat silinder sebaris 1.5 liter turbo, menjana 181 PS dan 290 Nm.
Transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan membolehkan ia memecut sepantas 7.6 saat dari 0-100 km/j.
X50 facelift juga dikatakan 4.7 peratus lebih jimat bahan api.
Perubahan besar di bahagian luar termasuklah lampu hadapan dan bampar baharu, lampu belakang baharu, set rim baharu, serta terdapat lima pilihan warna tersedia termasuklah warna Teal Bayou Green.
Susun atur ruang kabin turut diperbaharui dan lebih mirip kepada kabin e.MAS 7.
Terdapat skrin kluster digital berasingan, skrin tengah 14.6 inci yang kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, tuil transmisi pada kolum stereng, ruang pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta sokongan arahan suara Bahasa Melayu.
CIri keselamatan ditambah baik dengan fungsi baharu seperti sistem radar sisi belakang (RSRS), bantuan parkir automatik (APA) dengan kamera HD 360 darjah, serta paparan telus bawah kenderaan 180 darjah.
Untuk pasaran tempatan, Proton X50 2025 dijual pada harga seperti berikut:
Proton turut mengumumkan pakej gempak berupa rebat tunai bernilai RM4,000 untuk 10,000 orang pelanggan pertama, menjadikan harga jualan X50 facelift ini bermula serendah RM85,800 untuk varian Executive, RM97,800 untuk varian Premium, dan RM109,300 untuk varian Flagship.
Terdapat juga lima pakej istimewa untuk 10,000 orang pelanggan pertama, merangkumi: Pro-Warranty: jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta kos buruh percuma untuk enam kali servis Pro-Connect: pakej data 2GB/bulan untuk lima-tahun Pro-Trade-In: sokongan trade-in sehingga RM2,000 Pro-Finance: faedah serendah 2.35 peratus/tahun untuk tempoh pembiayaan lima tahun, atau 2.38 peratus/tahun untuk tempoh tujuh tahun Pro-Shield: program insurans Proton
Ucapkan selamat datang kepada ahli keluarga EV BYD serba baharu, iaitu BYD Atto 2 2025 yang baru sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Dimensi
Secara standard, Atto 2 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,310 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,675 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,620 mm.
Jika dibandingkan dengan Dolphin, Atto 2 jauh lebih besar dimensinya namun jarak antara roda 80 mm lebih pendek.
Berbanding Atto 3, Atto 2 lebih pendek 145 mm dengan jarak antara roda 100 mm lebih pendek, namun sedikit tinggi (+60 mm).
2. Kuasa
Atto 2 dipacu oleh motor elektrik tunggal pacuan roda hadapan berkuasa 174 hp dan 290 Nm.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.9 saat.
3. Jarak gerak
Dengan pek bateri berkapasiti 51.13 kWh, Atto 2 boleh bergerak sejauh 410 km untuk sekali cas penuh (data NEDC)
Ia menyokong pengecasan AC 7 kW serta pengecasan pantas DC 82 kW membolehkan pengecasan 30-80 peratus dalam tempoh 30 minit.
4. Kelengkapan
Untuk bahagian luaran, Atto 2 mendapat kelengkapan seperti unit lampu LED depan dan belakang, rim sebesar 17 inci, bampar depan sporti, spoiler bumbung belakang dan pilihan warna dua tona sebagai opsyen.
Masuk ke dalam ruang kabin, terdapat skrin kluster digital 8.8 inci, skrin tengah boleh berputar 12.8 inci, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta tempat duduk hadapan berventilasi yang boleh dilaras.
Ruang kargo boleh mencapai kapasiti sehingga 1,320 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Ciri keselamatan pula termasuklah enam beg udara, sistem pemantauan keliling 360 darjah, serta kelengkapan sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS).
5. Harga
Untuk pasaran Malaysia, BYD Atto 2 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Ski White, Breeze Green dan Harbour Grey. Harga pula bermula dari RM100,000.
Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama enam tahun atau had perbatuan 160,000 km, jaminan bateri bervoltan tinggi hingga tahun ke-8 atau had perbatuan 160,000 km, serta jaminan unit pacuan hingga tahun ke-8 atau had perbatuan sehingga 150,000 km.
Untuk 800 orang pelanggan pertama, BYD Malaysia menawarkan pakej pemilikan mudah bernilai RM13,500 berupa ansuran bulanan RM0 untuk enam bulan pertama menerusi pakej pembiayaan Bank Panel Sime Motors.
Selain itu, terdapat pilihan pakej pengecasan seperti berikut:
– pengecas dinding percuma untuk penghuni rumah bertanah
– Sime Platinum 4+ oleh Power Up untuk penghuni kediaman bertingkat merangkumi program langganan 12 bulan, 4x pengecasan mudah alih setiap bulan, 2x cucian kereta setiap bulan, serta 2x perkhidmatan tunda percuma setahun.
Harga petrol RON95 akan turun kepada RM1.99 seliter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi.
Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi, di mana perincian lanjut akan diumumkan menjelang akhir September depan.
Penurunan harga ini dijangka akan memanfaatkan lebih 18 juta rakyat Malaysia yang memandu dan menunggang motosikal termasuklah pekerja gig.
Kerajaan membelanjakan hampir RM20 bilion setahun untuk subsidi RON95 sepanjang tahun 2023 dan 2024.
Biarpun harga minyak dunia menyusut tahun ini, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih lagi sekitar RM2.50 seliter (RM2.05 seliter selepas subsidi).
Alhamdulillah, sebentar tadi saya telah umumkan beberapa inisiatif penting sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada seluruh rakyat atas dukungan, atas kesetiaan, atas kebersamaan yang mengalirkan tenaga kepada agenda pemulihan dan reformasi negara.
Tamiya Corporation mengumumkan pemergian pengerusi Shunsaku Tamiya, 90 tahun pada 18 Julai yang lalu.
Berita duka tersebut dikongsikan menerusi laman rasmi Facebook Tamiya.
Pihak tersebut turut mengesahkan upacara pengebumian telah diadakan secara tertutup sebagai menghormati permintaan mendiang.
Dilahirkan pada 19 Disember 1934, Shunsaku Tamiya kemudian menyertai syarikat tersebut pada tahun 1958 selepas menamatkan pengajian di University Waseda.
Beliau kemudiannya memegang pelbagai jawatan penting di dalam Tamiya sebelum dilantik sebagai pengerusi dan presiden Tamiya Corporation sejak tahun 2009.
Seperti yang kita semua maklum, Tamiya merupakan salah satu entiti penting dalam membentuk dunia kit model berskala dan kereta kawalan jauh (RC).
Tamiya bermula sebagai pengeluar model kapal terbang dan kapal laut berasaskan kayu sebelum beralih kepada penghasilkan model plastik.
Model plastik pertama keluaran Tamiya ialah kapal perang Yamato berskala 1:800, sebelum disusuli dengan pelbagai jenis model kereta kebal, kit model kereta sebenar, kereta pacuan empat roda mini serta kereta kawalan jauh.