Daihatsu bakal mempamerkan beberapa model konsep pada acara pameran Japan Mobility Show 2025 yang akan berlangsung hujung bulan ini.
Salah satu model yang akan dipamerkan ialah Midget X, sebuah konsep kenderaan elektrik kecil untuk kegunaan komersial.
Rekaan luaran Midget X merupakan satu rujukan dan penghormatan kepada dua generasi Midget terdahulu.
Ia menampilkan unit lampu LED berbentuk bulat, cermin hadapan yang melengkung, serta rekaan roda yang terdedah.
Bahagian sisi pula menampilkan lampu indikasi pengecasan bateri.
Sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah kuda kerja, bahagian belakang Midget X ini boleh dipadankan dengan bermacam-macam aksesori seperti kotak storan, flatbed, ruang kargo terbuka gaya pikap, atau ruang khas untuk bekerja.
Berdasarkan video acah, Midget X juga boleh dijadikan sebagai kereta litar hujung minggu!
Buat masa ini, Daihatsu Midget X kekal sebagai sebuah kereta konsep, namun tidak mustahil jika ia juga bakal menjadi model produksi sebenar.
Ekstra: Daihatsu Midget II beraksi di Litar Tsukuba
Tidak cukup dengan idea Century dua-pintu dan Corolla generasi baharu yang serba agresif, Toyota mempunyai sebuah lagi idea gila: konsep minivan dengan enam tayar!
Konsep yang cukup unik dan di luar kotak ini akan turut dipamerkan secara rasmi di acara Tokyo Mobility Show pada tahun ini.
Dinamakan sebagai LS (Luxury Space?), ia tidak mempunyai kaitan langsung dengan sedan LS yang sudah dihentikan penawarannya di beberapa pasaran.
Sebaliknya, Lexus LS Concept ini merupakan sebuah minivan tiga gandar dengan dimensi yang nampak lebih besar berbanding model Lexus LM sedia ada.
Berdasarkan gambar tunggal yang dibekalkan, adalah selamat untuk kita andaikan Lexus LS Concept ini merupakan sebuah minivan elektrik dengan ruang kabin yang luas, dibantu dengan bentuk berkotak dan dimensi bumbung yang tinggi.
Bahagian depan minivan ini menampilkan unit pencahayaan LED menegak, diikuti dengan jalur lampu LED belakang yang sengaja direka sampai ke tiang D untuk menunjukkan ketinggian kenderaan ini.
Model konsep minivan enam tayar ini akan turut dipamerkan di acara Japan Mobility Show 2025 pada penghujung bulan ini.
Selain model konsep sedan empat pintu Corolla, Toyota turut mendedahkan sebuah konsep coupe (atau grand tourer) ultra-mewah dua pintu yang bakal menampilkan plet nama Century.
Ya, anda tidak tersalah baca.
Sejak kebelakangan ini, Toyota cuba untuk menjadikan Century sebagai salah satu sub-jenama ultra mewah yang bakal memberikan cabaran kepada pesaing seperti Bentley, Jaguar dan Rolls-Royce.
Berbeza dengan penawaran sedan dan SUV sedia ada, Toyota dilihat mahu menawarkan gaya badan serba baharu di bawah jenama Century.
Terdapat beberapa perincian menarik yang boleh kita lihat daripada gambar acah yang dibekalkan seperti:
dimensi hud enjin yang agak panjang
bukaan pintu normal di sebelah kanan
kehadiran pintu gelangsar berkembar di sebelah kiri
kedudukan pemandu di tengah
tiada kaca tingkap di bahagian belakang
Coupe ini turut menampilkan rekaan lampu berlapis pada bahagian depan dan belakang yang lebih mirip kepada penawaran Century SUV sedia ada.
Terdapat juga liang pada hud enjin dan struktur jeriji yang tidak tertutup sepenuhnya (lengkap dengan emblem burung phoenix) memberikan petunjuk coupe ini mungkin akan ditawarkan dengan enjin pembakaran dalaman.
Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang Japan Mobility Show 2025 yang akan dibuka tirainya hujung bulan ini.
Bersempena dengan acara Japan Mobility Show 2025 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Toyota mengambil peluang dengan mendedahkan beberapa model konsep yang cukup mencuri tumpuan.
Salah satu daripadanya ialah Toyota Corolla Concept yang dijangka membuka lembaran baharu untuk plet nama yang paling laris terjual di seluruh dunia.
Kelibat model konsep tersebut muncul dalam kempen yang dinamakan sebagai “To You, Toyota”.
Terdapat beberapa perincian yang boleh kita lihat, seperti:
muka depan membawakan rekaan ikan jerung tukul yang lebih moden, lengkap dengan lampu LED melintang penuh
tiada struktur jeriji tradisional
kehadiran liang pengudaraan pada hud enjin
rekaan belakang lebih ringkas dengan lampu piksel LED melintang, spoiler ekor itik dan perkataan Corolla di tengah
penutup port pengecasan pada fender hadapan
Penggunaan rekaan cermin sisi dan pemegang pintu yang konvensional pula memberikan petunjuk kuat sedan ini mempunyai spesifikasi yang lebih mirip kepada versi produksi sebenar.
Perasan komponen penutup port pengecasan yang kami sebut tadi?
Ia memberikan satu lagi petunjuk kemungkinan besar Corolla akan ditawarkan sebagai sebuah sedan elektrik, atau mungkin sekali tetapan plug-in hybrid (PHEV) sama seperti Prius.
Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang acara Japan Mobility Show 2025 yang akan dibuka tirainya pada 29 Oktober nanti.
iCaur Malaysia hari ini merasmikan pembukaan pusat pengedar terbesarnya yang terletak di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur.
Pusat pengedar iCaur Damansara yang dikendalikan oleh Carramax Luxe Sdn Bhd ini mempunyai keluasan kira-kira 40,000 kaki persegi dan kelebihan dari segi lokasi yang strategik.
Ia menampilkan ruang pameran luas yang mampu memuatkan sehingga lapan kenderaan pada satu-satu masa, ruang penyerahan khas, serta lima petak pengecas EV eksklusif untuk pelanggan.
Ruang rehat pelanggan turut diserikan dengan dua konsol Nintendo, sambungan Wi-Fi percuma, serta makanan dan minuman ringan.
Dari segi perkhidmatan selepas jualan, terdapat sehingga lapan petak servis, fasiliti pembaikan badan & cat (B&P), serta perkhidmatan pemasangan aksesori, balutan kenderaan (wrapping) dan filem perlindungan cat (PPF).
Dengan kekuatan pekerja terdiri daripada 12 perunding jualan, 11 juruteknik servis, serta 10 pakar badan dan cat, iCaur Damansara mampu menyelenggara sehingga 520 buah kenderaan dalam tempoh sebulan.
iCaur Damansara terletak di Lot 2814, Jalan Damansara, Kampung Sungai Penchala, 68000 Kuala Lumpur, dan beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang (Isnin-Sabtu), dan 10.00 pagi hingga 5.00 petang (Ahad dan Cuti Umum).
Pusat servis pula beroperasi dari jam 8.15 pagi hingga 5.15 petang (Isnin-Sabtu) dan tutup pada Ahad dan Cuti Umum.
Perodua kini menawarkan Mobility as a Service (MaaS) menerusi pelancaran platform Super App P-Circle.
Menurut Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekufif Perodua berkata, “P-Circle menawarkan mobility as a lifestyle kerana ciri-ciri yang ditawarkan merangkumi sebahagian besar perkhidmatan dalam talian kami.
“Kami jangkakan integrasi ini akan menjadi lebih kukuh untuk tempoh beberapa tahun akan datang, dan kami mahu membuktikan bahawa kami boleh berinovasi dengan menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh pelanggan kami – selaras dengan falsafah “We Go Beyond” kami.”
“Komponen utama dalam MaaS adalah untuk menawarkan penyelesaian fleksibel kepada pemandu berdasarkan keperluan perjalanan mereka, dan pakej yang kami tawarkan memenuhi keperluan itu,” jelasnya lagi.
Antara komponen utama dalam P-Circle ialah:
P-Duit – ciri e-dompet
P-Calendar – fungsi peringatan servis
P-Reward – program kesetiaan
P-Health – pemantauan kesihatan (jam pintar)
P AC Home – pengurusan pengecasan di rumah
P-Charge – stesen pengecasan EV
P Charge Mobile – perkhidmatan pengecasan dalam kecemasan
P Marketplace – jualan alat ganti dan aksesori tulen dengan kerjasama Jabatan Alat Ganti Perodua (SPD)
P-Chat – forum perbincangan
P-Entertainment – platform penstriman kandungan tempatan
P-Vehicle – modul kawalan jauh bagi EV Perodua untuk fungsi hidupkan operasi, pengesanan lokasi, kawalan pendingin hawa dan sebagainya.
P-Checkin – kongsi lokasi di media sosial
P-Home – aplikasi rumah pintar
P-Map – sistem navigasi Perodua
Aplikasi P-Circle boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play Store.
Sementara fungsi pengecas mudah alih dan jam pintar boleh dibeli di mana-mana Pusat Servis Perodua di seluruh negara.
Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) baru-baru ini merasmikan pembukaan Kawasaki All Star 4S terletak di Nilai, Negeri Sembilan.
Kawasaki Nilai yang dikendalikan oleh Sendayan Motor Sdn Bhd itu merupakan outlet yang ke-10, menawarkan pengalaman 4S yang lengkap termasuklah jualan, servis dan alat ganti.
Upacara tersebut disempurnakan oleh YB Arulkumar A/L Jambunanthan, ADUN Nilai, serta turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Pemasaran MODENAS, Hitoshi Inoue dan Pengarah Sendayan Motor Sdn Bhd, David Goh Lim Jia.
Acara tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa, sesi tandatangan plak, lawatan ke bilik pameran serta jamuan makan tengah hari untuk lebih 500 orang tetamu.
Tidak ketinggalan, cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik termasuklah barangan eksklusif Kawasaki, jaket dan helmet LS2, serta sebuah motosikal MODENAS MR3.
Menurut Roslan Roskan selaku Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, “Nilai merupakan outlet Kawasaki All Star kami yang ke-10. Ini merupakan satu pencapaian penting yang mencerminkan pertumbuhan dan komitmen kami terhadap golongan penunggang di Malaysia.
Beliau turut menekankan bilik pameran terbaharu ini akan menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan dan menggalakkan lagi budaya motosikal di Negeri Sembilan.
Hitoshi Inoue menambah, Nilai akan menjadi lebih daripada sekadar sebuah pengedar, akan tetapi sebagai pusat tumpuan untuk golongan penunggang dan peminat dari kawasan sekitar.
Beroperasi sejak tahun 1976, Sendayan Motor Sdn Bhd kini mempunyai lima cawangan pengedar sekaligus mengukuhkan kedudukan sebagai nama yang dipercayai di kalangan komuniti motosikal.
Aston Martin memperkenalkan model grand tourer terbaharunya iaitu DB12 S, yang secara asasnya merupakan versi lebih berkuasa berbanding DB12 sedia ada.
Model ini juga meneruskan tradisi nama ‘S’ Aston Martin yang bermula sejak DB3S tahun 1953, dan pernah digunakan pada model-model legenda seperti Vanquish S, Vantage S, dan Rapide S.
DB12 S tampil dengan rekaan luaran yang lebih garang dan aerodinamik. Ia mempunyai splitter hadapan dua elemen dan lubang udara pada bonet (dalam kemasan hitam berkilat atau gentian karbon), yang membantu aliran udara dan penyejukan, serta membuatkan ia tampak lebih lebar dan rendah.
Skirting sisi hitam berkilat menyerlahkan garisan aerodinamik di bahagian tepi, manakala lencana ‘S’ tempa pada fender menambah lagi sentuhan eksklusif.
Di belakang, spoiler tetap meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi, manakala diffuser baharu dengan empat paip ekzos yang disusun bertindih menyerlahkan karakter sporty DB12 S.
Bahagian dalamannya mengekalkan kemewahan dengan sentuhan perlumbaan. Pemutar mod pemanduan berwarna merah menjadi titik fokus, sepadan dengan tali pinggang keledar dan jahitan kontras dalam warna yang sama.
Pelanggan boleh memilih antara tiga tema utama iaitu Accelerate, Inspire S kulit separa aniline, dan Inspire S dengan kulit penuh aniline – ketiga-tiganya dengan kemasan Alcantara dan corak jahitan khas.
Tempat duduk elektrik 16 arah Sport Plus disertakan sebagai standard, namun pelanggan boleh memilih kerusi gentian karbon untuk pemanduan lebih agresif.
Kuasa dibekalkan oleh enjin 4.0 liter V8 twin-turbo yang dinaik taraf, menghasilkan 700 PS dan 800 Nm. Dengan kotak gear dan pendikit yang lebih responsif, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.
Selain itu, DB12 S turut dilengkapi dengan brek seramik karbon yang lebih ringan 27 kg, serta penyerap hentak Bilstein DTX yang ditala semula. Naik taraf lain termasuk bar anti-oleng belakang yang lebih tegar, stereng dan E-Diff baharu, serta sistem Corner Braking Control bagi menambah kestabilan ketika membrek di selekoh.
Tersedia dalam bentuk Coupe dan Volante (convertible), Aston Martin DB12 S kini boleh ditempah dengan penghantaran bermula suku pertama tahun 2026.
Harga tidak dinyatakan namun ia sudah pastinya lebih mahal berbanding DB12 yang dijual pada harga £185,000 (RM1.04 juta).
BMW kembali mengimbau sejarahnya dengan pelancaran model edisi khas BMW M2 Turbo Design Edition.
Coupe ini memberi penghormatan kepada salah satu kereta berprestasi paling ikonik jenama tersebut iaitu BMW 2002 turbo tahun 1974, yang merupakan kereta produksi Eropah pertama yang menggunakan enjin turbo.
Seperti model asal yang menjadi inspirasinya, M2 Turbo Design Edition tampil dengan warna Alpine White, diserlahkan lagi dengan jalur BMW Motorsport yang dilukis dengan tangan pada bonet dan penutup but, serta jalur tricolor pada bumbung gentian karbon.
Grafik hud hitam dengan tulisan “turbo” mengingatkan semula kepada gaya unik 2002, manakala spoiler gentian karbon dan rim hitam M Dual-Spoke bersaiz 19 dan 20 inci melengkapkan penampilannya.
Bagi yang mahukan sentuhan lebih menonjol, rim berwarna Matte Gold Bronze turut ditawarkan sebagai pilihan.
Bahagian dalaman juga menampilkan inspirasi model asal menerusi plat ambang pintu bertulis “M2 turbo”, lencana “turbo” di konsol tengah, dan tempat duduk sport yang dibalut kulit Vernasca hitam dengan jalur warna M. Untuk pemanduan lebih agresif, pelanggan juga boleh memilih kerusi bucket gentian karbon M.
Ciri standard termasuk head-up display, lampu LED penuh adaptif, pengecasan tanpa wayar, dan stereng Alcantara M dengan fungsi pemanas.
Di bawah bonet, enjin 3.0 liter enam silinder sebaris yang diperkuatkan lagi dengan turbo berkembar menjana 473 PS dan 550 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 4.1 saat, dengan kelajuan maksimum 285 km/j apabila dilengkapi M Driver’s Package.
Pengeluaran M2 Turbo Design Edition akan bermula pada Januari 2026, dengan harga asas $82,900 (RM350,250). BMW belum mendedahkan jumlah unit yang akan dihasilkan, namun syarikat itu berkata ia akan dibuat dalam jumlah yang “amat terhad.”
Tamat sudah era wagon besar Volvo setelah unit produksi terakhir Volvo V90 meluncur keluar dari barisan pemasangan di kilang Torslanda, Sweden.
Unit terakhir Volvo V90 berwarna hitam itu kini menjadi sebahagian daripada Volvo Heritage Collection yang akan dipamerkan di World of Volvo bersama-sama model wagon terdahulu.
Wagon mewah saiz pertengahan itu diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2016, kira-kira dua bulan selepas pengenalan sedan S90.
Selain versi standard, terdapat juga versi Cross Country dengan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi, dan penampilan yang lebih lasak.
Volvo V60
Setelah model V90 ditamatkan pengeluarannya, jenama Sweden yang sangat sinonim dengan rekaan wagon ikonik itu kini hanya mempunyai sebuah model wagon dalam portfolionya – Volvo V60.
Sama seperti V90, nasib V60 tidak akan bertahan lama.
Ini kerana CEO Volvo Jim Rowan memberitahu Autocar model V60 masih lagi dikeluarkan, namun ia tidak akan diperbaharui setelah kitaran hayatnya tamat.
Rowan juga turut mencadangkan model XC60 diposisikan semula dengan varian seperti Black Edition atau Cross Country untuk menarik minat golongan pembeli wagon.
Pengunduran Volvo V90 daripada pasaran jelas memberikan khabar gembira buat model pesaing seperti Audi A6 Avant, BMW 5 Series Touring, dan Mercedes-Benz E-Class Estate yang masih lagi kekal ditawarkan di pasaran Eropah.
Namun bagi para peminat wagon Volvo, perkembangan terbaharu ini nyata merupakan satu lagi berita sedih yang pahit untuk ditelan.
Tidak perlu salahkan Volvo dalam hal ini memandangkan dunia sekarang lebih cenderung ke arah model-model crossover dan SUV.
Sekiranya model wagon tersebut berterusan menunjukkan rekod jualan yang memberangsangkan, sudah pasti nama ikonik V90 tidak akan terpahat lebih awal pada batu nisan.
Setelah hampir empat dekad, Proton akhirnya secara rasmi menutup kilang pemasangan kenderaan di Shah Alam menandakan penghujung era kegemilangan dalam sejarah automotif negara.
Unit terakhir Proton Saga dilapor meluncur keluar pada 30 September 2025.
Operasi pembuatan kini dipindahkan sepenuhnya ke Tanjong Malim, di mana seramai 1,400 orang kakitangan pengeluaran terakhir telah pun berpindah ke sana.
Satu majlis sambutan khas telah diadakan baru-baru ini di Proton Tanjong Malim bagi meraikan 1,400 pekerja, dan disempurnakan oleh Ainol Azmil, Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, bersama barisan pengurusan tertinggi PROTON.
Menurut Ainol Azmil, “Hari ini merupakan satu detik bersejarah buat PROTON apabila 1,400 rakan sekerja dari Shah Alam memulakan perjalanan baharu di Tanjong Malim.
“Dengan pengalaman dan dedikasi mereka selama ini, PROTON kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya, menjadikan kilang ini sebagai hab utama untuk generasi baharu kenderaan PROTON,” ujarnya lagi.
Pengeluaran model Saga akan diteruskan di Tanjong Malim bersama model Persona, siri SUV X dan sedan S70 di hab pembuatan berteknologi tinggi AHTV yang turut menempatkan kilang pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) Proton.
Fasiliti Tanjong Malim mempunyai kapasiti pengeluaran 250,000 unit setahun dan terdiri daripada lima bahagian pengeluaran utama, iaitu Pemesinan Enjin dan Transmisi, Penekapan, Pemasangan Badan, Cat, dan Pemasangan Akhir.
Ia juga merupakan satu-satunya fasiliti di luar China yang mempunyai barisan pemasangan enjin 1.5 TGDI.
Kilang Proton Shah Alam telah beroperasi sejak tahun 1985, mempunyai keluasan sekitar 83.48 hektar dengan pelaburan bernilai RM370 juta.
Selain menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), ia juga lengkap dengan kemudahan ujian menyeluruh, serta trek ujian separa kelajuan tinggi.
Sepanjang tempoh operasi, kilang tersebut telah menghasilkan lebih 4 juta unit kenderaan termasuklah model ikonik Saga, Wira, Perdana dan Exora.
Hyundai Motor Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi model Hyundai Staria versi pemasangan tempatan (CKD).
MPV yang akan dipasang di kilang Kulim, Kedah itu bakal dijual pada harga bermula dari RM179,888 hingga RM267,888.
Terdapat beberapa pilihan warna baharu termasuklah Jet Black, Snow Flake White Pearl, Meteor Grey dan Stormy Sea tersedia untuk semua varian.
Di Malaysia, Staria boleh didapati dalam konfigurasi 10 tempat duduk atau sehingga 7 tempat duduk untuk varian yang paling premium.
Dari segi kuasa, Staria hadir dengan enjin diesel 2.2 liter turbo menghasilkan 177 PS dan 430 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan.
Perincian lanjut tentang Hyundai Staria boleh dibaca menerusi pautan INI.
Volkswagen Passenger Cars Malaysia mengumumkan kehadiran model edisi istimewa yang merangkap kereta pertama di Malaysia dilengkapi lambang rasmi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), iaitu Golf GTI Sepang Edition.
Pengenalan model ini merupakan satu penghormatan terhadap legasi sukan permotoran di Malaysia, serta litar yang pernah menjadi pentas penganjuran perlumbaan berprestij dunia termasuklah Formula Satu dan MotoGP.
Antara ciri eksklusif pada bahagian luar yang dibawakan:
emblem Sepang Edition pada bahagian belakang
logo Sepang Edition dengan kemasan UV Gloss pada tiang-B
plet Sepang Edition
rim aloi Richmond 19 inci dengan penutup hab roda dinamik GTI
kemasan sporti pada bahagian sisi
perumah cermin sisi, bumbung, spoiler hadapan, diffuser belakang warna hitam
penutup injap GTI
pilihan warna Atlantic Blue dan King’s Red
Untuk ruang kabin, Golf GTI Sepang Edition ini turut diserikan dengan ciri berikut:
karpet lantai GTI
kamera perakam pemanduan depan belakang dengan penderia malam Sony Starvis
filem tingkap VW Tint original
pemegang kunci dengan sijil ketulenan
Golf GTI dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo menghasilkan 245 PS dan daya kilas 370 Nm yang memacu roda depan menerusi transmisi DSG tujuh-kelajuan.
Harga jualan bermula dari RM262,990 lengkap dengan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang merangkumi pakej penyelenggaraan percuma tujuh tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan percuma lima tahun.
Bersempena pelancaran Golf GTI Sepang Edition, VPCM turut mengumumkan promosi jualan 10.10 di mana 10 unit terawal yang didaftarkan akan menerima kadar faedah 0 peratus selama 10 bulan.
Renate Noessler selaku Pengarah Urusan VPCM berkata, “Bukan sekadar sebuah kereta: inilah semangat Sepang yang dijuruterakan ke dalam sebuah ikon.”
“Menjadi jenama automotif pertama bekerjasama dengan SIC dalam memperkenalkan sebuah kenderaan, ia menjadi bukti penghormatan kami terhadap legasi perlumbaan di Malaysia dan komitmen kami untuk menghasilkan kereta yang penuh dengan karakter. Kolaborasi ini membolehkan kami mencipta sejarah bersama-sama dan kami sangat bangga dengan pencapaian ini.”
Azhan Shafriman Hanif selaku Ketua Pegawai Eksekutif SIC berkata, “Kerjasama di antara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Volkswagen menandakan satu lembaran baharu yang cukup menarik dalam budaya sukan bermotor di Malaysia.
“Selama lebih dua dekad, SIC telah nenjadi nadi kepada sukan permotoran negara, sebuah arena yang menyatukan semangat dan komuniti. Kami sangat berterima kasih kepada Volkswagen kerana membawa legasi SIC melangkaui litar ini. Golf GTI Sepang Edition menjadi simbol kebanggaan sukan permotoran negara yang dekat di hati rakyat Malaysia.”
Dalam tempoh 24 jam selepas tempahan dibuka secara rasmi, Pro-Net mengumumkan sebanyak 1,607 tempahan telah diterima untuk model e.MAS 5 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Menurut Zhang Qiang selaku Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, “Kami betul-betul terharu dengan sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia terhadap Proton e.MAS 5.
“Sejak dari awal, misi kami jelas. Kami mahu semua orang mampu memiliki sebuah EV. Dengan e.MAS 5, impian itu kini jadi kenyataan. Inilah EV paling mampu milik pertama di Malaysia, direka khas untuk rakyat.
Proton e.MAS 5 merupakan sebuah kereta elektrik segmen B dengan harga anggaran bermula dari RM60,000 hingga RM80,000.
Biarpun saiz kompak, e.MAS 5 menawarkan ruang dalaman setara model segmen C, selain ciri seperti pusingan radius terbaik dalam kelasnya, pacuan roda belakang, serta paparan status pengecasan langsung.
Rakyat Malaysia boleh mendaftar minat untuk Proton e.MAS 5 menerusi laman web, atau melalui mana-mana 43 wakil pengedar di seluruh negara.
Dengan yuran tempahan serendah RM99, pembeli akan menerima keistimewaan eksklusif seperti kad Touch ‘n Go edisi terhad dengan isian kredit RM100 serta rebat RM500, sah untuk 5,000 orang pelanggan pertama.
Omoda | Jaecoo Malaysia meraikan pencapaian penting dengan penyerahan kenderaan yang ke-20,000 dalam tempoh 14 bulan selepas jenama itu diperkenalkan di sini.
Penyerahan kenderaan ke-20,000 itu diraikan dalam satu acara eksklusif bertema ‘20,000 and Beyond: A Celebration of Trust’ yang diadakan di Blossom Glass Mansion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lebih 100 tetamu hadir ke acara tersebut yang turut menyaksikan sebuah Jaecoo J7 PHEV diserahkan kepada pemilik baharunya, Khirdzir Ali.
Menurut Khirdzir, “Saya benar-benar berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada mercu jaya luar biasa dengan penyerahan 20,000 kenderaan Omoda | Jaecoo di Malaysia. Memang amat membanggakan untuk melihat betapa pantas jenama ini telah berkembang maju dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pemandu di Malaysia.”
Beliau juga tidak sabar untuk menikmati tahap keselesaan dan kecekapan J7 PHEV baharu ini dengan keluarganya.
Selain aktiviti mesra keluarga dan pameran model Jaecoo J5 yang akan dilancarkan tidak lama lagi, turut dipamerkan J7 AWD milik Irene Tee yang telah mencatatkan jarak perbatuan 70,000 km dalam masa tidak sampai setahun.
Menurut Pemangku Pengarah Jualan Omoda | Jaecoo Malaysia, Clement Yeo berkata, “Kejayaan mencapai 20,000 pendaftaran kenderaan dalam tempoh setahun lebih sesungguhnya satu detik membanggakan bagi kami dan membuktikan keyakinan yang diletakkan oleh pelanggan Malaysia terhadap Omoda | Jaecoo.
“Mercu jaya ini juga sebahagian daripada pencapaian Kumpulan Chery yang lebih luas, yang telah mencatatkan jualan 5 juta kenderaan di pasaran eksport, dengan lebih 600,000 unit daripada angka ini disumbangkan oleh kenderaan Omoda | Jaecoo.
“Menerusi rangkaian rakan pengedar, kami terus komited untuk menggembirakan pelanggan Malaysia dengan portfolio luar biasa yang menggabungkan teknologi canggih seperti Sistem Hibrid Super (Super Hybrid System) dengan keselesaan, keselamatan dan reka bentuk premium,” tambahnya.
Sebagai jenama SUV premium, Omoda | Jaecoo kini menawarkan empat model teras iaitu Jaecoo J7, Jaecoo J7 PHEV, Jaecoo J8 serta Omoda C9 yang disokong oleh lebih 50 rakan pengedar strategik, gudang alat ganti dan operasi pemasangan tempatan di Shah Alam.
Pencapaian tersebut juga mengukuhkan kedudukannya dikalangan lima jenama automotif teratas untuk tempoh separuh pertama 2025 (1H 2025).
Bersempena dengan pencapaian terbaharu ini, Omoda | Jaecoo menawarkan promosi khidmat servis percuma 7-tahun atau ganjaran bernilai RM5,000 untuk Jaecoo J7 PHEV sah sehingga 31 Disember 2025.
Terdapat juga pakej pembiayaan dan servis menarik disediakan untuk model Jaecoo J7 2WD, J7 AWD, C9 2WD dan C9 AWD yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2025.
Hanya dalam masa seminggu selepas pelancaran rasmi, BYD Sime Motors selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia telah menyerahkan lebih 100 unit sedan elektrik Seal 6.
Selain penghantaran ke bilik pameran di seluruh Semenanjung dan Malaysia Timur, kumpulan pertama pelanggan juga telah mula menerima kenderaan masing-masing.
Untuk makluman, Malaysia merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menyambut kehadiran BYD Seal 6.
Dengan selesainya penghantaran di seluruh negara, rakyat Malaysia berpeluang untuk melihat, memandu dan merasai sendiri pengalaman pemanduan sedan elektrik segmen C ini.
Menurut Adeline Lew selaku Pengarah Urusan BYD Sime Motors, “Kami menghargai penyelarasan lancar oleh pasukan kami yang memastikan BYD SEAL 6 berjaya dihantar ke seluruh negara tanpa sebarang kelewatan.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membina kepercayaan pelanggan sambil memperluaskan akses terhadap mobiliti elektrik dalam kalangan rakyat Malaysia.”
Dengan harga jualan bermula dari RM100,000 hingga RM115,800, BYD Seal 6 dipacu oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang dengan kuasa mencecah 215 hp/330 Nm dan jarak gerak sejauh 485 km untuk sekali cas penuh.
Menjelang tahun 2026, BYD Sime Motors akan memperluas rangkaiannya dari 37 kepada 50 cawangan untuk meningkatkan akses terhadap kemudahan jualan, servis dan pengecasan di Malaysia.
Sebuah lagi model motosikal dilancarkan oleh KOVE Moto, iaitu jentera kembara KOVE 800X GT.
Ia dikuasakan oleh enjin dua silinder 799 cc dengan janaan kuasa 97 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 80 Nm @ 7,500 rpm dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan.
Terdapat empat mod tunggangan iaitu Comfort, Rain, Sport dan Off-road.
Suspensi terdiri daripada fork hadapan KYB 43 mm boleh laras dengan jarak pergerakan roda 210 mm, diikuti penyerap hentak KYB dengan larasan pra-beban.
Antara ciri yang dimuatkan termasuklah sistem pendikit elektronik, penukaran gear pantas dua arah, kawalan jelajah, TCS dua tahap, sistem peredam dan pengimbang stereng hidraulik, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
Kapasiti tangki bahan api adalah sekitar 22 liter, sementara tinggi pelana 826 mm.
Hanya ditawarkan dalam warna tunggal putih, KOVE 800X GT dijual pada harga dari RM48,888.
20 pembeli terawal akan menerima pakej kotak pannier eksklusif secara percuma.
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan Giti Tire Malaysia mengalu-alukan ketibaan pemegang rekod dunia terkenal Rainer Zietlow ke Malaysia di bilik pameran Volkswagen Glenmarie (F.A. Wagen) baru-baru ini.
Beliau yang memandu sebuah Volkswagen ID.Buzz itu kini dalam usaha untuk mencatatkan rekod dunia dalam kategori “negara paling banyak dilawati dengan sebuah kenderaan elektrik”.
Sejak memulakan perjalanan, Zietlow telah merentas 46 buah negara dalam tempoh 84 hari, meliputi jarak lebih 46,400 kilometer.
Ini merupakan kali kedua Zietlow singgah di Malaysia. Beliau sebelum ini pernah mencatat rekod dengan memandu Volkswagen Touareg pada tahun 2012.
Untuk perjalanan kali ini, Zietlow menggunakan sebuah van elektrik ID.Buzz yang dilengkapi dengan tayar GitiSynergy H2.
Dengan sebatuan bunga tayar termaju dan rintangan golekan yang rendah, tayar GitiSynergy H2 ini direka untuk menampung beban pek bateri yang berat, mengawal kuasa tork serta-merta dan memaksimumkan jarak perjalanan.
Ia juga cemerlang di atas permukaan basah untuk memastikan kestabilan dan keselamatan terutama ketika menempuh laluan negara yang kerap dilanda hujan dan jalan licin.
Menurut Renate Noessler selaku Pengarah urusan VPCM, “Misi Rainer mengingatkan kita bahawa pemanduan bukan sekadar rutin harian, tetapi boleh menjadi satu pengembaraan. Volkswagen Minibus sudah lama menjadi ikon dan kegemaran ramai sejak bergenerasi lamanya.
“ID. Buzz pula merupakan kemunculan semula lagenda itu, membawa semangat yang sama tetapi telah diolah semula untuk generasi muda. Kehadiran Rainer sebagai pemandu benar-benar menyerlahkan prestasi, ketahanan dan semangat penerokaan yang dihargai serta dikagumi oleh para peminat di seluruh dunia.”
Timbalan Pengurus Besar, Pemasaran Antarabangsa Giti Tire Group, Shiroo Chia menambah, “Jarak perjalanan Reiner yang sangat jauh ini adalah bukti dunia sebenar terhadap teknologi terkini dan prestasi tayar GitiSynergy H2 yang boleh dipercayai.
“Kami bangga kerana Volkswagen dan pemandu bergantung kepada kemampuan Giti untuk merentasi perjalanan sejauh 80,000km yang melibatkan 70 buah negara.”
Bagi Zietlow, kerjasama di antara Volkswagen dan Giti menjadi kunci kejayaan perjalanannya setakat ini. “Saya sangat gembira kerana Volkswagen dan Giti bersama-sama saya dalam misi ini – prestasi ID. Buzz dan tayar Giti benar-benar menepati jangkaan saya,” katanya.
“Pengalaman pemanduan dan keupayaan secara keseluruhan memang sangat baik. Saya yakin mampu untuk menamatkan percubaan mencatat rekod dunia perjalanan tanpa emisi ini. Saya juga menikmati kunjungan kali kedua ke Malaysia dan pastinya ini bukan kali yang terakhir.”