fbpx

Proton jual 152,352 unit kenderaan pada 2024, kedua dalam carta jualan

PROTON X50 2024 (19)

Proton menamatkan tahun 2024 dengan jualan sebanyak 152,352 unit bagi pasaran domestik dan eksport, membolehkan syarikat itu menduduki tempat kedua dalam carta jualan.

Pada bulan Disember, sebanyak 14,601 unit kenderaan dijual, menunjukkan peningkatan sebanyak 19.7% berbanding bulan sebelumnya.

Menurut Proton, ini adalah angka jualan kedua tertinggi untuk tahun 2024, susulan bulan yang memberangsangkan untuk eksport dengan 1,113 unit dihantar ke pasaran luar negara.

Selain daripada jualan kenderaan jenama Proton, Proton menerusi anak syarikatnya Pro-Net juga merupakan pengimport dan pengedar untuk smart Automobile.

Untuk tahun 2024, sebanyak 622 unit smart #1 dan #3 telah dijual, menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual sebanyak 152,974 unit.

Jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk 2024 dianggarkan mencapai 813,521 unit, menandakan tahun kedua berturut-turut rekod jualan automotif untuk Malaysia, dan bahagian pasaran Proton untuk tahun ini dianggarkan pada 18.7%.

Ini adalah tahun keenam berturut-turut syarikat mencapai kedudukan kedua dalam carta, memberikannya asas kukuh untuk menghadapi persaingan pada tahun 2025.

Seperti yang dijangka, Saga muncul sebagai model Proton terlaris tahun lalu dengan jualan sebanyak 72,769 unit, peningkatan sebanyak 3.7% berbanding 2023.

Sempena menuju ulang tahun ke-40, model ini mempunyai senarai pencapaian yang mengagumkan, termasuk menjadi kenderaan Malaysia pertama dengan lebih 2 juta unit jualan, yang dicapai pada bulan Jun tahun lalu.

S70 pula menamatkan tahun pertama penuh pengeluaran dan jualannya dengan 19,182 unit diserahkan kepada pelanggan, menjadikannya sedan segmen-C paling popular di negara ini.

Sementara itu, X50 2024 menerima sambutan luar biasa dengan tempahan sebanyak 8,000 unit dalam bulan pertama selepas pelancarannya.

Jualan pada bulan Disember mencatatkan peningkatan sebanyak 36.8% berbanding bulan sebelumnya dengan 2.614 unit terjual, manakala untuk tahun 2024, jumlah jualan mencapai 23,647 unit, menjadikannya SUV segmen-B terlaris selama empat tahun berturut-turut.

X70 2025 pula terus mendapat sambutan yang baik dengan 8,992 unit diserahkan sepanjang tahun lalu. Jualan Disember mencatatkan peningkatan 36.7% kepada 1,456 unit, berbanding 1,065 unit pada November, didorong oleh promosi hujung tahun. X90 pula muncul peneraju jualan SUV segmen D dengan 3,553 unit terjual.

Akhir sekali, jualan Persona dan Iriz masing-masing meningkat dengan 18,853 unit dan 5,113 unit terjual pada 2024.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved