fbpx

Neta V terima penarafan sifar bintang ASEAN NCAP

Neta V asean ncap

Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP) mengumumkan bahawa Neta V mendapat penilaian sifar bintang dalam ujian penilaian yang dijalankan di makmal MIROS Provisional CRASE Crash Centre (PC3).

Menurut ASEAN NCAP, Neta V merupakan model EV pertama yang diuji di makmal berkenaan serta model yang pertama mendapat penilaian sifar bintang di bawah protokol ASEAN NCAP 2021-2025.

EV yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu itu mencapai markah keseluruhan 28.55 mata iaitu 7.89 mata untuk kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), 13.51 untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), 7.14 mata untuk Bantuan Keselamatan (SA) dan 0 mata untuk Keselamatan Penunggang Motosikal (MS).

Neta V, yang turut dipasarkan di Brunei, Indonesia dan Thailand, didatangkan dengan dua beg udara, sistem pengingat tali pinggang keledar untuk pemandu, sistem brek anti-kunci (ABS) dan kawalan kestabilan elektronik ESC secara standard.

Dalam ujian pelanggaran offset depan bagi kategori AOP, Neta V tidak diberikan sebarang mata kerana pemandu tidak dilindungi dengan baik dengan kecederaan pada bahagian kepala, leher, dada dan kaki kanan.

Dalam ujian impak sisi, ia hanya mendapat 6.31 daripada 8.00 mata memandangkan patung ujian mendapat sedikit perlindungan pada bahagian dada. Ia tidak mempunyai Teknologi Perlindungan Kepala (HPT) menyebabkan ia mendapat sifar mata dalam penilaian.

Dalam penilaian dinamik bagi kategori COP, prestasi Neta V dalam ujian offset hadapan dan impak sisi baik namun ia mendapat markah rendah bagi pemasangan Sistem Kekangan Kanak-kanak (CRS). Walaupun mempunyai Isofix dan tambatan atas, lebih separuh daripada CRS yang disyorkan oleh ASEAN NCAP didapati sukar dipasang.

Hatchback elektrik ini juga tidak mempunyai ciri-ciri seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keep Assist (LKA) and Lane Departure Warning (LDW).

Bukan itu sahaja, semua teknologi yang dinilai di bawah kategori MS seperti Blind Spot Technology (BST), Auto High Beam (AHB) dan Pedestrian Protection (PP) juga tidak disertakan pada model ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved