fbpx

Harga rasmi MG HS diumumkan – RM129,900 untuk Standard, RM145,900 untuk Lux

MG HS 01

SAIC Motor Malaysia telah mengumumkan harga rasmi bagi SUV yang dipertontonkan pada Ogos lalu iaitu MG HS.

Untuk pasaran Malaysia, MG HS akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard dan Lux, dengan harga masing-masing bermula dari RM129,900 dan RM145,900.

Ia didatangkan dengan waranti kenderaan selama lima tahun tanpa had perbatuan, dan waranti untuk rangkaian kuasa selama tujuh tahun tanpa had perbatuan.

Sempena ulang tahun MG yang ke-100, SAIC Motor Malaysia menawarkan diskaun pengenalan eksklusif sebanyak RM5,000.

Dari segi kelengkapan, HS tampil dengan lampu utama LED dengan DRL, lampu belakang LED, muncung ekzos berkembar, dan rim aloi 17 inci untuk varian Standard dan rim ‘Diamond Cut’ berukuran 18 inci untuk Lux.

Turut disertakan adalah sentuhan sporty berbentuk angkup brek merah, spoiler belakang, rel bumbung yang boleh menampung beban sehingga 50 kg dan mod pemanduan Super Sport.

Pelanggan boleh memilih daripada empat warna luaran iaitu Black Pearl, Arctic White, Camden Grey, dan Dynamic Red.

Di dalam, HS menampilkan upholsteri kulit berwarna hitam, panel instrumen digital 12.3 inci dan skrin infohibur 10.1 inci dengan kamera 360 darjah, Apple CarPlay, Android Auto dan sambungan pelbagai fungsi MG iSmart.

Di belakang, terdapat ruang kargo sebesar 463 liter yang boleh diperluaskan hingga 1,287 liter dengan membaringkan kerusi belakang. Ruang ini boleh diakses menerusi pintu tailgate berkuasa.

Memacu HS adalah enjin turbo 1.5-liter yang menghasilkan 162 PS pada 5,600 rpm dan 250 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.

Bagi sistem keselamatan, HS dilengkapi dengan sistem Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) di bawah jenama MG Pilot.

Antara ciri utama termasuk Amaran Perlanggaran Depan (FCW), Brek Kecemasan Automatik (AEB) dengan pengesanan pejalan kaki dan basikal, Adaptive Cruise Control (ACC), Bantuan Kesesakan Lalu Lintas (TJA), serta Amaran dan Bantuan Lorong (LDW & LKA).

Ia juga dilengkapi dengan Blind Spot Detection (BSD), Lane Change Assist (LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), dan Intelligent High Beam Assist.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved