Nissan Kicks e-Power bakal dilancarkan Disember ini – dua varian, CBU Thailand


Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mendedahkan spesifikasi Nissan Kicks e-Power yang bakal dilancarkan ke pasaran tempatan pada Disember ini.
Menurut ETCM, SUV segmen B ini akan hadir dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Ia akan ditawarkan dalam dua varian iaitu VL dan VLT.
Kedua-dua varian menampilkan trenkuasa e-Power yang menggabungkan enjin petrol 1.2-liter tiga silinder, sebuah motor elektrik dan bateri litium-ion berkapasiti 2.1 kWj. Gabungan ini menghasilkan 129 PS dan 280 Nm.
Tidak seperti trenkuasa hibrid konvensional, enjin dalam trenkuasa e-Power bertindak sebagai penjana yang ditugaskan untuk mengecas bateri. Kuasa kemudiannya akan disalurkan ke motor elektrik bagi menggerakkan roda.
Ia bermakna Kicks e-Power dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik seperti sebuah kenderaan elektrik sebenar tetapi ia tidak perlu dicas.
Kadar penggunaan bahan api adalah 21.7 km/l berdasarkan kitaran NEDC. Dengan tangki bahan api sebesar 41 liter, ia dikatakan mampu mencapai jarak sejauh 900 km.
Selain mod Normal, Sport dan Eco, terdapat juga mod EV di mana enjin tidak dihidupkan langsung bagi memberikan pemanduan seperti EV sebenar.
Namun untuk mod ini, ia hanya boleh diaktifkan ketika cas bateri berada pada tahap penuh dan hanya boleh digunakan sejauh 2.5 km memandangkan saiz bateri yang kecil. Turut disertakan adalah ciri pemanduan satu pedal.
Dari segi kelengkapan, Kicks e-Power didatangkan standard dengan lampu LED automatik, lampu kabus LED, cermin sisi boleh lipat automatik, pengelap cermin sensitif kelajuan dan kit pembaikan tayar (tiada tayar ganti).
Di dalam, terdapat tempat duduk Zero Gravity dengan balutan fabrik, pelarasan manual enam hala untuk kerusi pemandu dan empat hala untuk kerusi penumpang depan, skrin sentuh lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan meter TFT tujuh inci dan tiga port USB.
Ciri keselamatan pula terdiri daripada Vehicle Dynamic Control, Traction Control System, Hill Start Assist, Intelligent Driver Alertness, Cruise Control, Intelligent Forward Collision Warning dan Forward Emergency Braking.
Mereka yang memilih varian VLT mendapat ciri-ciri tambahan berupa upholsteri kulit dua tona, kamera 360 darjah, Intelligent Rear View Mirror, Intelligent Cruise Control, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert.
Kicks e-Power boleh didapati dalam warna Black Star, Sunrise Orange, Brilliant White Pearl, Brilliant Silver dan Red Pearl.
Varian VLT juga boleh dipesan dengan bumbung hitam Super Black untuk warna Sunrise Orange, White Pearl dan Red Pearl. Satu lagi warna dua tona yang ditawarkan untuk varian ini adalah Dark Metal Grey.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.