Ducati Panigale V4 generasi ketujuh tiba di Malaysia – RM182,900
Ducati Panigale V4 generasi ketujuh, yang diperkenalkan buat pertama kali di acara World Ducati Week di Misano, Itali pada Julai lalu, kini sudah pun tiba di pasaran Malaysia.
Hadir dengan pelbagai pembaharuan yang melibatkan aspek kosmetik, prestasi, dan teknikal, Panigale V4 dijual pada harga RM182,900.
Memacu Panigale V4 adalah enjin Desmosedici Stradale 1,103 cc V4 90 darjah yang dibangunkan dengan teknologi dari MotoGP. Ia mampu menjana 216 hp pada 13,500 rpm dan 120.9 Nm pada 11,250 rpm, 0.5 hp lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Menurut Ducati, enjin baharu ini bukan sahaja lebih ringan sebanyak 1 kg, malah mematuhi piawaian Euro 5+ yang lebih ketat.
Lengan ayun sebelah yang menjadi identiti Panigale V4 sejak 2018 kini digantikan dengan Ducati Hollow Symmetrical Swingarm yang mengurangkan ketegaran sisi (lateral stiffness) sebanyak 37%, memberikan cengkaman mekanikal dan kestabilan lebih baik.
Untuk suspensi, Panigale V4 dilengkapi dengan Showa Big Piston Fork (BPF) yang digandingkan dengan peredam stereng dan penyerap hentak Sachs.
Panigale V4 S pula mendapat sistem Ducati Electronic Suspension (DES) 3.0 yang merangkumi fork Öhlins NPX-30, penyerap hentak Öhlins TTX36 dan peredam stereng Öhlins.
Sistem brek terdiri daripada angkup monobloc Brembo Hypure yang merupakan evolusi kepada Stylema. Ia 60 gram lebih ringan dan mempunyai ciri pelepasan haba yang lebih baik.
Untuk sistem elektronik pula, terdapat platform enam paksi dikenali sebagai Ducati Vehicle Observer (DVO) yang merangkumi ciri-ciri seperti berikut:
- Ducati Traction Control (DTC) DVO
- Ducati Wheelie Control (DWC) DVO
- Ducati Slide Control (DSC)
- Ducati Power Launch (DPL) DVO
- Engine Brake Control (EBC)
Turut disertakan adalah sistem pengurusan brek Race e-CBS, Ducati Quick Shift (DQS) 2.0 dan paparan warna berukuran 6.9 inci dengan resolusi 1280 x 480.
Dari segi penggayaan, Ducati berkata fairing rekaan baharu ini dapati mengurangkan rintangan aerodinamik sebanyak 4% serta meningkatkan aliran udara ke radiator.
Tangki turut direka semula, menampilkan pad sisi untuk membantu penunggang mengekalkan posisi mereka semasa beraksi di litar, manakala pelana dipanjangkan sebanyak 35 mm bagi tujuan yang sama.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.