fbpx

Reka bentuk Hyundai Initium FCEV Concept mengingatkan kita pada Pontiac Aztek

Hyundai-Initium-Concept-1

Hyundai baru-baru ini memperlihatkan sebuah model konsep berkuasa hidrogen – Hyundai Initium FCEV Concept yang bakal menggantikan tempat Hyundai Nexo, dan bakal muncul di pasaran pada separuh pertama tahun 2025.

Rupa paras Initium ini banyak mengingatkan kita kepada sebuah crossover pelik yang muncul pada tahun 2000-an.

Berikut merupakan lima fakta yang perlu anda tahu tentang Hyundai Initium FCEV Concept:

 

1. SUV hidrogen yang mampu capai jarak lebih 650 km

Hyundai Initium dipacu dengan motor elektrik tunggal 201 hp yang dikuasakan oleh sistem sel bahan api. Untuk satu tangki hidrogen yang tidak diketahui kapasitinya, Initium boleh bergerak sejauh lebih 650 km.

Sebagai perbandingan, Hyundai Nexo mampu menjana kuasa setinggi 161 hp dan mampu mencapai jarak gerak sejauh 621 km mengikut data EPA.

 

2. Sistem FCEV yang dipertingkatkan

Menurut Hyundai, angka jarak gerak tersebut mampu dicapai menerusi penambahbaikan terhadap sistem sel bahan api yang digunakan.

Antaranya termasuklah meningkatkan output daripada timbunan sel bahan api, selain meningkatkan kapasiti pek bateri. Dengan penambahbaikan yang disebutkan itu tadi, Initium juga boleh menyokong fungsi V2L (vehicle-to-load) membolehkan pemilik mengecas perkakasan elektronik dan menggunakan peranti peribadi.

 

3. Bahasa rekaan baharu “Art of Steel”

Menerusi Initium, Hyundai juga mahu memperlihatkan falsafah bahasa rekaan baharu “Art of Steel” sebelum ia diaplikasikan pada kebanyakan model produksi sebenar pada masa akan datang.

Sekali imbas, Initium membawakan gandingan elemen rekaan daripada model sedia ada seperti IONIQ 5 dan Santa Fe, dengan reka bentuk yang lebih menonjol diikuti grafik LED iras logo Windows pada depan dan belakang.

Keempat-empat sudut dihiasi dengan rim aerodinamik bersaiz 21 inci, selain menampilkan rak bumbung yang turut dilengkapi dengan lampu terbina dalam.

Reka bentuk bahagian belakang Initium ini mengingatkan kita kepada Pontiac Aztek yang popular pada tahun 2000 hingga 2005 disebabkan rekaannya yang berkontroversi.

 

4. Ruang kabin untuk seisi keluarga

Buat masa ini, Hyundai tidak mendedahkan susun atur ruang kabin, namun menjanjikan ruang yang selesa untuk kegunaan keluarga, seperti bukaan pintu yang lebih besar, serta sudut sandaran yang lebih besar untuk tempat duduk belakang.

Ciri keselamatan termasuklah casis yang lebih kukuh, serta sembilan beg udara.

 

5. Hyundai akan bantu pemilik cari stesen pengisian

Antara cabaran utama bagi pemilik kenderaan hidrogen ialah kesukaran untuk membuat pengisian bahan api disebabkan jaringan yang agak terhad.

Untuk mengatasi masalah ini, Hyundai akan mencipta satu sistem perancang laluan khas untuk membantu pemandu mencari stesen pengisian hidrogen sepanjang perjalanan.

Sistem ini juga dapat memeriksa status operasi dan tahap ketersediaan stesen tersebut, selain mengesan bilangan kenderaan yang sedang menunggu di stesen tersebut untuk melakukan pengisian.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved