fbpx

7 ciri paling berguna yang perlu ada pada setiap kenderaan

24C0120_032

Dengan kemajuan teknologi dan juga persaingan yang semakin sengit, pengeluar kenderaan cuba memuatkan sebanyak mungkin ciri dan kelengkapan di dalam kenderaan masing-masing bagi menambahbaik pengalaman pemanduan dan menarik minat pembeli.

Sebelum ini, kami telah senaraikan tujuh ciri yang tidak berguna. Kali ini, jom kita lihat pula ciri-ciri terbaik yang kami rasa patut ada pada semua kereta:

Apple CarPlay/Android Auto

Seperti yang kita semua sedia maklum, penggunaan telefon pintar semasa memandu adalah salah satu punca utama kemalangan jalan raya. Dengan menyambungkan telefon ke skrin sistem infotainment kereta, pemandu boleh membuat panggilan, memainkan muzik dan menggunakan sistem navigasi tanpa perlu melepaskan tangan mereka dari stereng. Bonus jika kereta yang kita beli didatangkan dengan Apple CarPlay/Android Auto versi tanpa wayar.

Fungsi memori untuk kerusi pemandu

Jika anda berkongsi kereta dengan pasangan atau sesiapa sahaja, mengubah posisi kerusi pemandu pastinya menjadi rutin biasa setiap kali sebelum memulakan perjalanan. Dengan fungsi memori, ini bukan lagi satu masalah kerana setiap pemandu boleh menyimpan posisi pemanduan masing-masing dengan hanya menekan satu butang.

Kamera 360 darjah

Percaya atau tidak, saiz kereta semakin lama semakin besar atas faktor keselamatan dan juga keselesaan. Tidak percaya? Anda boleh bandingkan saiz Honda City generasi terdahulu dengan generasi sekarang. Atas sebab ini, kami rasakan kamera 360 darjah sangat penting kerana ia dapat membantu pemandu memandu kereta dengan lebih tepat selain memantau keadaan sekeliling kenderaan bagi keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Pemantau titik buta

Kenderaan-kenderaan seperti SUV, MPV atau trak pikap mempunyai kawasan titik buta yang lebih besar berbanding sedan atau hatchback. Sistem pemantau titik buta dapat mengatasi masalah ini, sekali gus menjadikan pemanduan lebih selamat dengan memberikan amaran visual atau audio kepada pemandu sekiranya terdapat kenderaan lain di dalam kawasan titik buta tersebut.

Kemasukan tanpa kunci dan Walk Away Auto Lock

Ini adalah antara ciri yang cukup digemari oleh penulis. Dengan kemasukan tanpa kunci, pemandu tidak lagi perlu menekan butang pada kunci untuk membuka pintu. Anda hanya perlu letak kunci di dalam poket atau beg dan buka pintu seperti biasa. Fungsi Walk Away Auto Lock pula bertindak untuk mengunci pintu secara automatik sebaik sahaja anda berlalu pergi. Sangat berguna untuk mereka yang pelupa.

ADAS

Penulis adalah seorang yang old school, bermakna penulis kebiasaannya cuba mengelak daripada terlalu bergantung kepada ciri-ciri moden semasa memandu. Namun perlu diakui bahawa ciri-ciri Advanced Driver-Assistance Systems (ADAS) seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Adaptive Headlights dan banyak lagi sebenarnya sangat berkesan dalam menjadikan pemanduan lebih selamat.

Pencahayaan ambien

Benar, pencahayaan ambien atau ambient lighting adalah satu ciri yang bersifat estetika semata-mata. Dalam erti kata lain, kegunaannya hanya satu iaitu untuk membuatkan ruang kabin nampak lebih cantik. Namun setelah memandu pelbagai jenis model dari pelbagai jenama, penulis mendapati pencahayaan ambien sangat berkesan dalam membangkitkan mood dan menghilangkan rasa mengantuk semasa memandu pada waktu malam.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved