fbpx

Ducati Multistrada V4 RS masuk pasaran Malaysia – RM286k

MY24_Ducati_Multistrada_V4_RS_150_UC565639_High

Ducati Malaysia secara rasminya memperkenalkan Ducati Multistrada V4 RS, motosikal yang menggabungkan prestasi superbike dan keselesaan touring.

Gabungan ini menjadikan Multistrada V4 RS sesuai untuk tunggangan pada kelajuan tinggi dan juga pengembaraan.

Apa yang menarik, ia merupakan satu-satunya model Multistrada yang mempunyai ‘nadi’ Desmosedici Stradale yang turut digunakan oleh Panigale dan Streetfighter.

Enjin empat silinder bersesaran 1,103 cc itu mampu menjana 180 hp, iaitu 10 hp lebih tinggi berbanding Multistrada V4, dengan tork mencecah 118 Nm.

Seperti Panigale V4 SP2, Multistrada V4 RS juga menampilkan klac kering STM-EVO SBK yang memberikan bunyi unik jentera Ducati, serta penyenyap Akrapovič.

Dari segi penampilan, Multistrada V4 RS boleh dibezakan dengan versi-versi lain menerusi skema livery khas yang terdiri daripada warna Iceberg White, trim merah dan elemen grafik yang diinspirasikan daripada MotoGP.

Ini diserlahkan lagi dengan komponen gentian karbon seperti fender depan, pelindung tangan, perisai haba dan ‘paruh’ depan. Turut disertakan adalah nombor siri pengeluaran yang dipaparkan pada plat aluminium pada bar hendal.

Selain itu, motosikal ini didatangkan dengan ekor technopolymer yang bukan sahaja membuatkan ia nampak lebih garang, malah mengurangkan berat sebanyak 2.5 kg.

Penggunaan rim aluminium tempaan Marchesini berukuran 17 inci pula membantu mengurangkan berat sebanyak 2.7 kg berbanding rim standard.

Multistrada V4 RS dilengkapi dengan suspensi elektronik Öhlins Smart EC 2.0, manakala untuk brek pula, ia menggunakan cakera berkembar 330 mm dan angkup Brembo Stylema monobloc empat omboh di depan, dan cakera tunggal 265 mm dan angkup Brembo dua omboh di belakang.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada motosikal ini termasuk Ducati Quickshift, Cornering ABS, Full Power Mode, dan paparan TFT 6.5 inci.

Ketinggian tempat duduknya pula boleh dilaraskan dari 840 mm hingga 860 mm, atau dari 810 mm hingga 830 mm dengan aksesori tempat duduk rendah.

Multistrada V4 RS kini boleh didapati di semua bilik pameran Ducati di seluruh Malaysia dengan harga jualan bermula dari RM285,900.

Lihatkan Ulasan (19)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved