MG5 sedan fastback dilancarkan di Malaysia – RM94k
Selepas dipertontonkan pada Ogos lalu, MG5 kini dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan.
Ia didatangkan dalam satu varian sahaja dengan harga jualan bermula dari RM93,900.
Bagaimanapun, sempena kempen ulang tahun ke-100 MG, SAIC Motor Malaysia menawarkan rebat bernilai RM7,000, menjadikan harga jualan pengenalan RM86,900.
Untuk ketenangan minda, MG5 didatangkan dengan waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun dan waranti tanpa had perbatuan selama tujuh tahun untuk enjin dan transmisi.
Dari segi saiz, MG5 sebenarnya lebih dekat dengan sedan segmen C dengan ukuran panjang 4,675 mm, lebar 1,842 mm, tinggi 1,480 mm, dan jarak antara roda sepanjang 2,680 mm.
Bagaimanapun, SAIC Motor Malaysia selaku pengedar rasmi jenama MG berkata MG5 Â akan dipasarkan sebagai sedan segmen B, menjadikannya yang terbesar dalam segmennya.
Jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya seperti Honda City dan Toyota Vios, MG5 mempunyai profil yang lebih menonjol dengan rekaan fastback coupe yang sporty.
Antara ciri yang disertakan termasuk lampu nyalaan siang LED, gril 3D, rim aloi Tomahawk bersaiz 17 inci, bumbung suria dan spoiler jenis ekor itik pada bahagian belakang.
Terdapat lima warna luaran untuk dipilih iaitu Nuclear Yellow, Dynamic Red, Arctic White, Black Pearl dan Camden Grey.
Masuk ke dalam, anda akan menemui upholsteri kulit hitam dengan jahitan kontras merah, serta ciri-ciri moden seperti panel instrumen digital tujuh inci, serta skrin infohibur 10.25 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk sistem pendingin hawa zon tunggal berserta corong baris kedua, penapis udara PM2.5, enam pembesar suara, tiga slot pengecasan USB, dan sistem kamera keliling 360 darjah.
Memacu MG5 adalah enjin DVVT 1.5-liter empat silinder yang mampu menjana kuasa sebanyak 114 PS pada 6,000 rpm dan 150 Nm pada 4,500 rpm.
Dengan transmisi jenis iCVT dengan lapan nisbah kelajuan yang menggerakkan roda hadapan, MG5 mampu mencapai tahap penggunaan bahan api 17.5 km/l.
Menurut SAIC Motor Malaysia, trenkuasa ini telah menjalani ujian kelasakan dan ketahanan sejauh 2.35 juta km.
Untuk sistem keselamatan pula, MG5 didatangkan dengan MG Pilot yang merangkumi Amaran Keluar Lorong, Bantuan Penukaran Lorong, Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Pelanggaran Belakang dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.
zrxi37