Omoda C9 dipertonton di Malaysia – 2 varian, harga dari RM185k
Pasaran SUV di Malaysia bakal dimeriahkan lagi dengan penawaran terbaru daripada Jaecoo Malaysia iaitu Omoda C9.
Tidak seperti Omoda 5 yang bernaung di bawah jenama Chery, SUV coupe off-road premium ini akan dipasarkan oleh Jaecoo Malaysia bersama-sama dengan J7.
Seperti J7, C9 boleh didapati dalam dua varian iaitu pacuan dua roda (2WD) dan pacuan semua roda (AWD).
Bagaimanapun, C9 mempunyai saiz yang lebih besar dengan ukuran panjang 4,775 mm, tinggi 1,671 mm, lebar 1,920 mm dan tapak roda 2,800 mm.
Dari segi kelengkapan, ia didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, rim 20 inci yang dibalut tayar Michelin Primacy berukuran 245/50, kaca akustik dan pintu keyless dengan teknologi NFC.
Di dalam, anda akan menemui skrin sistem infotainment berukuran 24.6 inci, pengecas tanpa wayar 50W, dan penyaman udara tiga zon dengan sistem haruman dan kualiti udara.
Varian AWD mempunyai sistem audio dengan 14 pembesar suara, manakala varian 2WD mendapat lapan pembesar suara.
But belakang mempunyai kapasiti 660 liter dan boleh mencecah sehingga hingga 1,783 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.
C9 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter TGDI empat silinder yang menghasilkan 257 hp dan 400 Nm.
Tidak kira varian apa yang anda pilih, enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
Bagaimanapun, terdapat perbezaan dari segi mod pemanduan di mana varian 2WD mempunyai tiga mod, manakala AWD mempunyai tujuh mod untuk prestasi pemanduan lebih lasak.
C9 menampilkan jarak lega 165 mm dari permukaan, yang membolehkannya meredah air pada kedalaman maksimum 450 mm.
Ciri keselamatan turut diberikan penekanan menerusi Kawalan Peredam Berterusan (CDC), badan yang diperbuat daripada 85% keluli kekuatan tinggi dan dilengkapi dengan lapan beg udara.
Bukan itu sahaja, C9 juga didatangkan dengan ADAS 2.5 dengan Pengesanan Titik Buta (BSD), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Pencegahan Keluar Lorong (LDP), Bantuan Pertukaran Lorong (LCA) dan Bantuan Mengekalkan Lorong Kecemasan (ELKA).
Omoda C9 akan dijual pada harga RM185,000 untuk varian 2WD dan RM195,000 untuk AWD.
Menurut Jaecoo Malaysia, model ini akan dilancarkan secara rasmi pada Disember.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.