fbpx

Jualan kenderaan menurun 0.8% pada Ogos 2024 – MAA

honda city hatchback 2024 26

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan bahawa bagi tempoh Januari hingga Ogos 2024, industri automotif tempatan mencatatkan jualan sebanyak 533,301 unit iaitu 6% lebih tinggi berbanding 503,783 unit yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut persatuan itu, daripada jumlah itu 488,277 unit mewakili kenderaan penumpang, manakala baki 45,024 unit adalah kenderaan komersial, berbanding masing-masing 451,403 unit dan 52,380 unit yang dicatatkan dalam lapan bulan pertama 2023.

Tambah MAA lagi, jualan kenderaan bagi Ogos 2024 bagaimanapun mencatatkan penurunan marginal 0.8% kepada 71,162 unit berbanding 71,730 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, namun kekal melebihi 70,000 unit sebulan.

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan Ogos menurun berbanding 72,844 unit yang dicatatkan pada Ogos 2023,” kata persatuan itu.

Mengikut pecahan, kenderaan penumpang dan komersial, masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 65,637 unit dan 5,525 unit pada Ogos 2024, lebih rendah berbanding 65,709 unit dan 7,135 unit yang dicatatkan pada Ogos tahun lalu.

Dari aspek pengeluaran pula, sejumlah 73,966 unit kenderaan dihasilkan pada Ogos 2024, lebih tinggi berbanding 67,912 unit pada Ogos 2023.

Kenderaan penumpang mewakili 69,624 unit daripada jumlah pengeluaran keseluruhan pada Ogos, manakala kenderaan komersial pula sebanyak 4,342 unit.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2024, sejumlah 536,313 unit kenderaan telah dihasilkan, angka yang lebih tinggi berbanding 497,309 unit yang dihasilkan pada tempoh sama tahun lalu.

Ia mewakili 506,374 unit kenderaan penumpang dan 29,939 unit kenderaan komersial.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved