fbpx

Subaru Outback XT 2024 kini di Malaysia, nadi boxer 2.4L turbo, 249 PS, 350 Nm, dari RM310,390

SUBARU OUTBACK XT 2024 (1)

Setelah sekian lama sepi, TC Subaru selaku pengedar rasmi kenderaan jenama Subaru di Malaysia akhirnya memperkenalkan model crossover wagon baharu, iaitu Subaru Outback XT 2024.

Subaru Outback XT ini dikuasakan oleh enjin empat silinder bentangan mendatar 2.4 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 249 PS dan daya kilas 350 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada semua roda menerusi kotak gear CVT Subaru Lineartronic  Transmission (SLT) dan sistem pacuan Symmetrical AWD, di mana pecutan 0-100 km/j boleh diselesaikan dalam masa 7.5 saat.

Pemilik boleh memilih dua mod pemanduan SI-Drive iaitu Intelligent dan Sport. Terdapat juga mod pemanduan off-road X-Mode dengan pilihan Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud.

Dari segi ukuran, Subaru Outback XT membawakan dimensi sepanjang 4,860 mm, tinggi 1,680 mm, lebar 1,855 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,745 mm.

Sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah crossover wagon, Outback XT menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 213 mm.

Kelengkapan luaran yang dimuatkan pada Outback XT termasuklah rim 17 inci, emblem XT, lampu utama LED, lampu kabus LED, rel bumbung, plastik pelindung badan keliling, serta spoiler belakang.


Untuk ruang kabin, Outback XT membawakan kemasan dua tona, meter analog berserta skrin MID kecil, skrin infohibur tengah sebesar 11.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan kulit Nappa, serta penggunaan bahan sentuh lembut pada sesetengah tempat.

Ruang kargo Outback XT adalah sebesar 561 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,848 liter apabila tempat duduk baris kedua nisbah 60:40 dilipat.

Secara standard, Subaru Outback XT dilengkapi dengan Subaru EyeSight 4.0 yang terdiri daripada fungsi seperti sistem brek pra-pelanggaran, stereng kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, fungsi pengekalan tengah lorong, serta pengelakan keluar lorong.

Diimport sepenuhnya dari Jepun, Subaru Outback XT Touring EyeSight dijual pada harga bermula dari RM310,390, sementara Outback 2.5-T (enjin 2.5L NA, 185 PS/245 Nm) dijual pada harga RM280,390.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved