Proton e.MAS 7 buat kemunculan awam pertama 31 Ogos ini
Proton mengumumkan bahawa kenderaan elektrik pertamanya iaitu Proton e.MAS 7 akan membuat penampilan awam pertamanya pada perarakan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-67 pada 31 Ogos ini.
Bakal dilancarkan ke pasaran pada penghujung tahun ini, e.MAS 7 akan muncul dengan motif penyamaran khas mewakili warna Jalur Gemilang, sebagai sebahagian daripada kontinjen 25 kereta yang menampilkan pelbagai model Proton.
Barisan 25 kereta itu akan merangkumi pelbagai model, bermula dari Proton Saga asal hingga Proton X70 2025, yang telah dilancarkan hanya dua minggu lalu.
Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “Sambil meraikan masa lalu kami, Proton juga prihatin untuk melihat ke masa hadapan industri automotif. Oleh itu, kami telah mengambil keputusan untuk menyertakan Proton e.MAS 7 dalam barisan perarakan kami walaupun ia belum dilancarkan, untuk membolehkan orang awam melihat model EV pertama syarikat dengan lebih dekat.”
Selain penampilannya di perarakan, aktiviti pengujian dan penyesuaian iklim untuk PROTON e.MAS 7 telah semakin giat dijalankan selepas dipratonton kepada media pada 2 Ogos lalu.
Kereta ujian yang disamarkan sering kali dilihat oleh orang ramai kerana program pengujian ketahanan, pengecasan, pemanduan, dan perisian terus dijalankan untuk memastikan EV nasional pertama Malaysia memenuhi keperluan dan jangkaan pelanggan masa depannya.
“e.MAS 7 bukan sahaja EV pertama Proton, tetapi ia juga merupakan model Proton pertama yang dibangunkan secara serentak dengan pasukan di Geely. Ini membolehkan masa pengeluaran yang lebih singkat untuk versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan juga menghasilkan kecekapan yang lebih tinggi serta perkongsian kos
pembangunan.
Bukti kejayaan akhir usaha ini adalah penerimaan pembeli di Malaysia dan pasaran eksport kami. Bagi memastikan hasil yang positif, setiap langkah dalam pembangunan, pemasaran, jualan, dan perkhidmatan selepas jualan bagi model ini telah diberi perhatian penuh oleh Proton,” tambah Dr. Li Chunrong.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.