fbpx

Pemenang pingat Olimpik Paris terima habuan Chery Tiggo 7 Pro

Photo 1 – Chery Olympic Handover

SEPERTI yang diumumkan pada Jun lalu, Chery Malaysia telah menyerahkan hadiah kepada atlet-atlet Olimpik Malaysia yang membawa pulang pingat dari Sukan Olimpik Paris baru-baru ini.

Pasangan beregu badminton negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, yang memenangi pingat gangsa dalam kejohanan tersebut, masing-masing menerima sebuah Chery Tiggo 7 Pro.

Sementara itu, pemenang pingat gangsa acara badminton perseorangan lelaki, Lee Zii Jia turut memenangi sebuah Tiggo 7 Pro namun beliau tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana sedang bersaing dalam kejohanan di luar negara.

“Kecekalan, ketabahan, dan kegigihan mereka sepanjang Sukan Olimpik benar-benar memberi inspirasi, dan kami berbangga untuk meraikan kejayaan mereka dengan kenderaan yang mencerminkan sifat-sifat ini,” kata Michael Chew, Naib Presiden Chery Malaysia.

Majlis penyerahan hadiah yang diadakan di sebuah bilik pameran Chery di Bandar Bukit Puchong itu turut dimeriahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Kami percaya bahawa sukan adalah alat penyatuan bagi Malaysia. Kami menggalakkan sektor swasta untuk memainkan peranan mereka dalam memberi ganjaran kepada atlet apabila mereka berjaya membawa pulang pingat. Apa yang membuatkan sumbangan Chery istimewa adalah mereka meraikan semua pemenang pingat,” kata Yeoh.

Dilancarkan pada Jun lalu pada harga RM123,800, Tiggo 7 Pro dikuasakan oleh enjin 1.6-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan 290 Nm.

Dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang memacu roda depan, SUV ini mampu mencapai tahap kecekapan bahan api serendah 7.0 liter/100 km.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik seperti Advanced Driver Assistance System 2.5 (ADAS 2.5), Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bumbung panoramik dan sistem audio premium Sony.

Menurut Chery Malaysia, seiring dengan perkembangan jenama Chery di seluruh negara, mereka berhasrat untuk terus menyokong sukan tempatan dan menyumbang kepada kejayaan negara di pentas global.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved