Batik Air tambah empat laluan penerbangan baharu ke Indonesia


BATIK Air telah mengumumkan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke empat destinasi di Indonesia, sekali gus mengembangkan rangkaiannya ke lapan bandar di negara itu.
Menurut syarikat itu, penerbangan ke pulau peranginan Lombok sudah bermula hari ini (31 Julai 2024), diikuti laluan ke Surabaya pada keesokan hari iaitu 1 Ogos.
Sementara itu, penerbangan ke Pekanbaru dan Padang pula akan bermula pada 10 Ogos 2024.
Batik Air berkata, laluan baharu itu akan meningkatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Indonesia, menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelancong untuk menerokai pelbagai tarikan di Indonesia.
Tambah syarikat itu lagi, ia akan mengendalikan 14 penerbangan mingguan ke Surabaya, empat penerbangan mingguan ke Lombok, dan tujuh penerbangan mingguan setiap satu ke Pekanbaru dan Padang.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata laluan baharu ini akan memupuk hubungan yang lebih kukuh antara Malaysia dan Indonesia dengan mempromosikan pertukaran budaya dan ekonomi yang lebih besar.
“Memperluaskan rangkaian kami bukan sahaja memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi dengan memudahkan transaksi perniagaan dan perkongsian yang lebih lancar,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan peranan strategik KLIA sebagai hab umrah yang berfungsi sebagai titik transit untuk jemaah yang melancong ke Arab Saudi, terutamanya mereka dari Asia Tenggara.
Pada masa ini, Batik Air mengendalikan penerbangan terus ke Jeddah dan akan memulakan penerbangan ke Madinah pada Ogos.
“Dengan penambahan laluan baharu ini, ketersambungan dan kapasiti KLIA dipertingkatkan lagi, menawarkan pilihan yang lebih mudah untuk jemaah haji dan meningkatkan statusnya sebagai hab transit antarabangsa utama,” katanya.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.