fbpx

Chery Malaysia lancar kilang pemasangan Jaecoo di Shah Alam

Chery kilang pemasangan Jaecoo Shah Alam 01

CHERY Auto Malaysia Sdn Bhd hari ini melancarkan Kilang Korporat Malaysia Chery yang terletak di Shah Alam.

Menurut Chery, kemudahan ini adalah yang pertama di rantau ASEAN yang akan mengeluarkan SUV off-road premium Jaecoo J7.

Pelancaran kilang pengeluaran baharu itu diraikan dengan pengeluaran unit pertama Jaecoo J7 pacuan semua roda (AWD). Versi pacuan dua roda (2WD) juga akan dipasang di kilang yang sama.

Majlis pelancaran disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Industri dan Teknologi Maklumat dari China (MIIT), Dr Jin Zhuanglong.

Menurut Chery Auto Malaysia, pembukaan kilang itu telah mencipta 500 pekerjaan baharu dengan potensi untuk berkembang seiring dengan permintaan pasaran.

Ia terletak secara strategik di zon perindustrian Shah Alam iaitu berhampiran pengeluar tempatan yang penting kepada rantaian bekalan.

Bukan itu sahaja, ia juga berada tidak jauh dari Pelabuhan Klang yang merupakan pelabuhan paling sibuk Malaysia dan yang kedua terbesar di Asia Tenggara, meningkatkan lagi tahap kesediaan syarikat itu untuk mengeksport ke rantau ASEAN pada masa depan.

Pengerusi Chery Automobile Co. Ltd, Yin Tongyue berkata, “Malaysia ialah sebuah pasaran yang sangat penting bagi Chery. Wawasan kami bagi pasaran Malaysia ialah untuk melangkah maju seiring rakan-rakan tempatan dan pelanggan dalam jangka panjang.”

Mengenai pasaran kenderaan cekap tenaga yang sedang berkembang pesat, Yin menambah pihaknya teruja untuk menyokong pertumbuhan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Sebelum ini, syarikat itu telah memberikan gambaran awal portfolio EV masa depannya dengan mempertontonkan Chery Tiggo 8 Pro PHEV, Jaecoo JV PHEV dan Jaecoo J6 di Malaysia Autoshow 2024 pada Mei lalu.

Sehingga kini, Chery bertanggungjawab mencipta lebih daripada 1,000 peluang pekerjaan di Malaysia menerusi operasi tempatannya. Jenama ini juga mempunyai rangkaian 100 pusat jualan dan servis di seluruh negara.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved