fbpx

Harga rasmi Mercedes-Benz C350e diumumkan – RM338,888

Mercedes-Benz C350e 01

MERCEDES-Benz Malaysia telah mengumumkan harga jualan rasmi bagi Mercedes-Benz C350e yang dipertontonkan buat pertama kali pada Februari lalu.

Dipasang secara tempatan di Pekan, Pahang, C350e dijual pada harga RM338,888 atas jalan tidak termasuk insuran. Ia lebih rendah berbanding harga anggaran yang dilaporkan sebelum ini iaitu RM355,000.

Untuk pengetahuan, model ini menggantikan C300 AMG Line yang dilancarkan bersama dengan C200 Avantgarde pada 2022.

Ia dikuasakan oleh enjin petrol 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 204 hp pada 6,100 rpm dan 320 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm.

Enjin itu dibantu oleh sebuah motor elektrik yang menjana 95 kW dan 440 Nm, memberikan sedan ini kuasa keseluruhan sebanyak 313 hp dan 550 Nm.

Dengan transmisi 9G-Tronic yang memacu roda belakang, C350e boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 245 km/j.

Bateri berkapasiti 25.4 kWj yang dibangunkan sendiri oleh Mercedes-Benz membolehkan sedan ini dipandu sejauh 117 km dan mencapai kelajuan maksimum 140 km/j dengan kuasa elektrik sahaja. Bateri berkenaan mengambil masa dua jam untuk penuh menggunakan pengecas AC berkapasiti 11 kW.

Untuk bahagian luaran, C350e menampilkan pakej penggayaan AMG Line, rim aloi AMG berukuran 18 inci dan Night Package yang mengandungi elemen-elemen hitam berkilat seperti apron hadapan, bingkai tingkap dan cermin sisi.

Varian ini didatangkan standard dengan lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, bumbung suria panoramik dan sistem pencahayaan ambien.

Di dalam, anda akan menemui trim AMG Line, stereng sport yang dibalut kulit Nappa, karpet kaki AMG, dan tempat duduk sport yang dibalut upholsteri kulit Artico dalam warna hitam.

Sistem infohibur MBUX terdiri daripada panel instrumen digital berukuran 12.3 inci, skrin sentuh 11.9 inci yang dihalakan 6 darjah ke arah pemandu dan pengecas wayarles.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada kamera 360 darjah, Blind Spot Assist, Active Brake Assist, Active Parking Assist dengan Parktronic, Guard 360° dan Pedestrian Protection.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved