fbpx

Masih banyak pengecas EV belum ada kelulusan SIRIM

Gentari EVC hab pengecas 01

MASIH banyak pengecas kenderaan elektrik (EV) di negara ini yang tidak mempunyai kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Menurutnya, banyak syarikat penyedia stesen pengecas EV belum tampil memohon kelulusan daripada SIRIM untuk memastikan peralatan digunakan selamat dan boleh dipercayai.

Menurut Ahmad Sabirin, walaupun bukan mandatori, pihaknya menasihatkan syarikat berkenaan membuat permohonan supaya peralatan yang digunakan untuk stesen pengecas EV diuji terlebih dahulu bagi tujuan keselamatan.

Katanya, untuk menggalakkan lebih ramai tampil memohon, pihaknya memudahkan proses berkaitan, antaranya dengan memendekkan tempoh permohonan apabila syarikat berkenaan boleh memperoleh keputusan dalam masa dua bulan.

“Sebenarnya, SIRIM dalam ekosistem EV mempunyai peranan yang amat penting. Kita akan memberi (kelulusan) sebelum (pembinaan) sebarang infrastruktur EV seperti stesen pengecas EV dan EV yang masuk ke Malaysia.

“Ia mesti mendapatkan satu kelulusan, contohnya dari segi reka bentuk oleh agensi di bawah SIRIM. Selepas itu, ia mesti diuji dan disahkan oleh SIRIM untuk memastikan bateri yang menjadi komponen penting buat kenderaan selamat digunakan.

“Yang penting adalah kita hendak mengharmonikan penggunaan stesen pengecas (EV) itu dari Singapura sampai ke negara Asia Tenggara (yang lain) dengan menggunakan (sistem) pengecasan yang sama.

“Maksudnya, anda boleh memandu EV ke mana-mana saja dan boleh cas EV di mana-mana juga. Maksudnya ada standardlah,” katanya.

Tambah Sabirin, “Memang sekarang ini ada pelbagai EV. Tetapi kita nak pastikan semuanya mempunyai satu standard yang telah ditetapkan oleh badan antarabangsa serta perlu mematuhi standard. Kita juga nak pastikan pengguna di jalan raya selamat menggunakan EV masing-masing.”

Sementara itu, mengikut laporan 20 Mac lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jumlah pengecas EV di negara ini sudah melebihi 2,000 stesen, setakat Februari lalu.

Tengku Zafrul juga optimis jumlah itu akan bertambah dengan menyasarkan sebanyak 10,000 stesen pengecas EV akan beroperasi di negara ini pada 2025.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved