fbpx

BMW iX2 xDrive30 kini dibuka untuk tempahan – RM283k

BMW iX2 xDrive30 01

BMW Malaysia hari ini mengumumkan model Sports Activity Coupe Elektrik iaitu BMW iX2 kini boleh ditempah dengan harga bermula dari RM282,800.

Untuk pasaran Malaysia, iX2 didatangkan dalam varian xDrive30 yang menyaksikan ia menerima satu motor elektrik pada setiap gandar.

Gandingan berkenaan menghasilkan 313 PS (230 kW) termasuk boost sebanyak 7 PS (5 kW), membolehkan crossver elektrik ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.

Bateri voltan tinggi berkapasiti 66.5 kWj yang diletakkan di bahagian lantai menawarkan jarak pandu sejauh 449 km. Pengecas AC 11 kW membolehkan bateri dicas dari 0 hingga 100% dalam 6 jam 30 minit, manakala pengecas DC yang boleh menampung maksimum 130 kW memerlukan 29 minit sahaja.

iX2 mendapat wajah yang garang menerusi gril kidney dengan rekaan tertutup, gril mesh hitam, bingkai hitam berglos tinggi dengan pencahayaan dan lampu hadapan LED adapatif dengan pancaran BMW Selective.

Selain itu, penampilannya diserlahkan lagi menerusi trim M high-gloss Shadow Line dan rim aloi M dwi warna berukuran 20 inci.

Seperti model-model iX yang lain, ruang dalaman iX2 menampilkan paparan melengkung BMW Curved Display yang dikuasakan oleh BMW Operating System 9. Ia terdiri daripada dua skrin iaitu kluster instrumen digital 10.25 inci dan skrin tengah 10.7 inci.

Sistem ini menampilkan paparan BMW iDrive dengan BMW Intelligent Personal Assistant dan sistem kawalan dengan fungsi QuickSelect yang berasaskan Android Open Source Project (AOSP).

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk pengecas wayarles dengan sistem penyejukan, panel kawalan integrasi pada perehat tangan, pintu but automatik dan sistem audio Hi-Fi Harman Kardon.

Melengkapkan ruang kabin iX2 adalah tempat duduk sport untuk pemandu dan penumpang hadapan, tempat duduk konfigurasi 40:20:40 di belakang, serta stereng multifungsi M yang dibalut kulit.

Menurut BMW, iX2 menggabungkan ciri sporty dan keselesaan dengan galas penstabil yang dinaik taraf, anti-roll bar, sistem suspensi adaptif M, stereng M Sport dan sistem brek M Sport.

Dari segi sistem bantuan pemandu pula, terdapat ciri-ciri seperti Active Guard Basis, Driving Assistant Plus dan Parking Assistant Plus. Attentiveness Assistant turut disertakan.

Active Guard Basis menawarkan sistem Lane Departure, Front Collision dan Left Turning Warnings, dengan intervensi stereng aktif dan fungsi pembrekan.

Sementara Driving Assistant Plus yang berasaskan kamera dan radar membawakan Active Cruise Control, Steering and Lane Control Assistant, Speed Limit Info and Assist, dan Lane Departure Warning. Parking Assistant Plus pula dilengkapi dengan paparan 3D jarak jauh, perakam pandu dan anti-kecurian.

iX2 xDrive30 boleh didapati dalam warna Alpine White, Black Sapphire, Skyscraper Grey, Cape York Green, Fire Red, M Portimau Blue, dan M Brooklyn Grey.

Untuk ruang dalaman, pelanggan boleh memilih upholsteri alternatif kulit Veganza dalam warna hitam M Alcantara dan sulaman berkontras biru, Perforated Black, Perforated Coral Red/Black, Perforated Atlas Grey/Smoke White, dan Perforated Mocha.

Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan pakej tambahan Inklusif Servis & Pembaikan BMW yang meliputi pakej servis dan waranti lima tahun pada harga RM14,200.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved