Proton jual 154,611 unit kereta pada 2023, terbaik sejak 2012
PROTON mengakhiri tahun 2023 dengan jualan sebanyak 12,711 unit pada Disember, membolehkan syarikat itu mencapai jumlah jualan keseluruhan sebanyak 154,611 unit bagi tahun lalu.
Jumlah jualan tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 9.3 peratus berbanding 141,432 unit yang dijual pada 2022.
Angka tersebut juga bermakna Proton berjaya mencatatkan prestasi jualan terbaiknya sejak 2012 serta mencapai pertumbuhan jualan bagi lima tahun berturut-turut.
Pegangan pasaran keseluruhan syarikat dijangka sebanyak 19.4 peratus dari jumlah volum industri yang dianggarkan 794,948 unit, kira-kira 10.3 peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.
Ini membolehkan Proton menamatkan tahun 2023 di tempat kedua dalam jualan keseluruhan untuk tahun kelima berturut-turut.
Menurut syarikat itu, peningkatan permintaan yang ditunjukkan unutk model PIES (Persona, Iriz, Exora dan Saga) menjadi pemacu prestasi jualannya pada tahun lalu.
Saga kekal sebagai model Proton terlaris dengan jualan sebanyak 70,184 unit, yang merupakan prestasi terbaiknya sejak 2012. Ini meletakkannya sebagai kenderaan keempat terlaris di Malaysia untuk tahun 2023.
Sementara itu, Persona mencatatkan pertumbuhan terbesar dalam rangkaian model Proton apabila jualannya meningkat sebanyak 48.9 peratus berbanding tahun lalu kepada 24,362 unit.
Iriz yang turut terjejas oleh isu cip tahun lepas mencatat jualan sebanyak 7,639 unit, 33.8 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Exora pula mengakhiri pengeluarannya dengan kenaikan jualan sebanyak 4.6 peratus iaitu 4,473 unit terjual. Sejak pelancarannya pada 2009, Proton telah berjaya menjual lebih 194,000 unit Exora, menjadikannya MPV segmen C paling berjaya dalam sejarah automotif tempatan.
Bagi model-model SUV, permintaan untuk X50 kekal kukuh dengan 31,829 unit terjual di Malaysia dan luar negara sepanjang tahun lalu. Ini diikuti dengan X70 dengan 11,200 unit dan X90 dengan 4,815 unit.
Bagi S70 pula, Proton berkata penghantaran akan bermula pada tahun 2024 dan sehingga kini, lebih 5,00 tempahan telah diterima.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.