fbpx

Honda CR-V generasi ke-6 dilancarkan – harga dari RM159,900

Honda CR-V 2024 01

HONDA CR-V generasi keenam secara rasminya telah dilancarkan ke pasaran Malaysia hari ini, sebulan selepas ia dibuka untuk tempahan.

Menurut Honda Malaysia, SUV itu telah menerima lebih 2,000 tempahan dalam tempoh tersebut. Syarikat itu mensasarkan untuk menjual 1,000 unit CR-V sebulan.

CR-V ditawarkan dalam empat varian, dengan harga jualan seperti berikut:

  • 1.5L S – RM159,900
  • 1.5L E – RM169,900
  • 1.5L V – RM181,900
  • 2.0L e:HEV RS – harga akan diumumkan kemudian

Varian tertinggi iaitu e:HEV RS hanya akan dilancarkan pada awal tahun hadapan, jadi harganya akan diumumkan lebih dekat dengan tarikh pelancaran.

Sempena dengan ulang tahun Honda yang ke-75 dan 20 tahun CR-V sebagai model pengeluaran pertama dari kilang Honda Malaysia di Melaka, syarikat itu menawarkan harga istimewa RM157,900 untuk CR-V 1.5L S untuk 750 pelanggan terawal.

Jika dibandingkan dengan versi terdahulu, model baharu ini mempunyai ukuran saiz yang lebih besar dengan ukuran panjang 4,691 mm, lebar 1,866 mm, tinggi 1,681 mm dan jarak roda 2,701 mm.

Varian e:HEV RS dikuasakan oleh gabungan enjin 2.0-liter empat silinder dan motor hibrid (Hybrid Traction Motor) yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 184 PS dan 335 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi e:CVT.

Tiga varian lagi menampilkan 1.5 liter VTEC Turbo dengan 193 PS dan 243 Nm tork, serta transmisi jenis CVT. Varian S dan E adalah pacuan roda hadapan (2WD), manakala varian V menggunakan sistem pacuan semua roda Real Time AWD.

Dari segi kelengkapan, semua varian CR-V didatangkan standard dengan lampu hadapan dan belakang LED, dan lampu isyarat membelok berjujukan. Lampu kabus LED pula hanya tersedia dari E ke atas.

Saiz rim aloi pula bermula dari 17 inci untuk S, hingga 18 inci untuk E, V dan RS. Sebagai varian paling sporty, rim RS didatangkan dalam warna hitam.

Di dalam, CR-V (kecuali varian S) didatangkan dengan upholsteri kulit, fungsi memori kerusi pemandu, pelarasan kuasa lapan hala untuk pemandu dan empat hala untuk penumpang, tambahan port USB Type C, pengecas wayarles 15W, paparan audio sembilan inci dan paddle shifter.

Varian V menambah pencahayaan ambien, manakala varian RS pula mendapat kad kunci pintar, meter digital 10.2 inci, Head-Up Display, suis mod pemanduan, Active Sound Control dan sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.

Dari segi keselamatan, Honda Sensing kini tersedia pada semua varian. Ia merangkumi sembilan ciri iaitu:

  • Adaptive Cruise Control
  • Forward Collision Warning
  • Lane Departure Warning
  • Road Departure Mitigation
  • Lane Keep Assist System
  • Collision Mitigation Braking System
  • Lead Car Departure Notification System
  • Low Speed Follow
  • Adaptive Driving Beam (RS sahaja)

Sementara itu, Honda LaneWatch tersedia pada E, V dan RS, manakala kamera 360 darjah tersedia pada V dan RS sahaja.

CR-V boleh didapati dalam lima warna iaitu Canyon River Blue, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Meteroid Gray Metallic dan Ignite Red Metallic.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved