fbpx

Borneo Safari 2023 bakal tampil dua unit Isuzu D-Max Single Cab

Borneo Safari monsters

ACARA kembara off-road Borneo Safari kembali untuk tahun 2023 dengan Isuzu Malaysia sebagai Penaja Berlian buat sekian kalinya.

Di samping tiga unit Isuzu D-Max X-Terrain, acara tahun ini akan menampilkan dua unit Isuzu D-Max 1.9L Single Cab yang telah dipilih untuk berkhidmat sebagai kenderaan sokongan untuk kegunaan pihak media.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe, versi Single Cab dipilih untuk menggalas peranan sokongan dalam acara ini kerana kebolehannya sebagai jentera yang kental dan serba boleh.

“Untuk menakluki acara seperti Borneo Safari yang menghamparkan laluan sukar dalam hutan, ia tidak hanya memerlukan kenderaan dengan sistem 4×4 yang mantap, tetapi juga perlu dihadirkan dengan kemampuan yang sangat tinggi untuk memastikan ia berhasil melepasi cabaran lapan hari dalam keadaan yang ekstrim seperti itu.

“Dengan warisan panjang Isuzu D-Max sebagai sebuah trak pikap, ia tidak disangkal lagi menjadi salah kenderaan media yang paling boleh diharap sepanjang edisi terdahulu acara ini, dan telah berhasil mengangkut media dan peralatan mereka menempuhi pelbagai situasi dan keadaan setiap tahun sejak sedekad lalu,” ujar Okazoe.

Borneo Safari tahun ini memasuki penganjurannya bagi tahun ke-31 dan diiktiraf sebagai satu daripada cabaran off road paling sukar di dunia. Acara ini bakal dilepaskan di hadapan pejabat Lembaga Pelancongan Sabah pada Ahad, 29 Oktober 2023 dan akan menjelajahi kawasan pergunungan Sook dan Ranau sebelum kembali ke Kota Kinabalu selepas seminggu.

Sebagai Penaja Berlian bagi acara ini, Okazoe menyerahkan dokumen penajaan dan kunci bagi kenderaan rasmi media berkenaan kepada Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah, Faez Nordin.

Isuzu Malaysia sekali lagi akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sabah serta Red Springs Sdn Bhd untuk menerbitkan siri video web yang mempromosikan acara ini khususnya, dan Sabah umumnya sebagai destinasi pengembaraan.

Melalui siri video berkenaan, penonton akan dapat menyaksikan pelbagai cabaran yang dilalui di sepanjang berlangsungnya Borneo Safari serta berpeluang memenangi cenderahati eksklusif dengan menyertai peraduan ‘Tonton dan Menang’ yang akan berlangsung selepas acara berkenaan selesai.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved