Acara kelab kereta Puma yang sulung di Asia Tenggara terima sambutan meriah

ACARA kelab kereta Puma yang sulung di Asia Tenggara yang diadakan pada Jumaat lalu menggabungkan unsur sukan permotoran, gaya hidup, hiburan dan gastronomi dengan penuh jaya.

Bertempat di Sentul Depot, Kuala Lumpur, acara tersebut dilihat sebagai bukti komitmen Puma terhadapan dunia sukan permotoran yang sentiasa berkembang, selain selari dengan slogan jenama sukan itu iaitu ‘Forever Faster’.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai persembahan daripada artis-artis ternama tempatan dan antarabangsa termasuk Hullera, Pop Shuvit, Toshrock dan DJ Ashley Lau.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menguji kemahiran memandu kereta berprestasi tinggi dalam permainan Gran Turismo 7 di reruai PlayStation serta mengimbau kembali zaman kanak-kanak di litar Tamiya yang disediakan.

Bagaimanapun, acara kemuncak sudah tentu kemunculan atlet MMA terkemuka Choo Sung-hoon yang lebih dikenali dengan nama jolokan ‘Sexyama’. Atlet kelahiran Jepun itu telah dilantik sebagai duta sukan permotoran Asia Tenggara Puma.

“MMA dan sukan permotoran memerlukan daya tumpuan yang tinggi untuk melakukannya dengan baik. Saya kini semakin berusia, tetapi saya akan terus bekerja keras. Berkerjasama dengan Puma, saya rasa saya boleh memberi inspirasi kepada mereka untuk terus menjadi ikon harapan untuk lelaki pertengahan usia,” kata Choo.

Turut hadir memeriahkan acara adalah beberapa pempengaruh daripada komuniti kereta seperti Jeremy Lim, Asep Ahmad Iskandar, Remus Chang, Dato’ David Gurupatham dan Huang Ean Hwa.

Puma turut mempamerkan koleksi pakaian terbaru mereka di acara itu. Ia boleh didapati di kedai Puma terpilih dan secara dalam talian dengan harga bermula dari RM159 hingga RM729.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *