Maritim Malaysia terima pengiktirafan 15 tahun operasi helikopter AS365 N3

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima pengiktirafan 15 tahun dalam mengoperasikan helikopter Airbus AS365 N3.

Dalam majlis yang diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi itu, Maritim Malaysia berkata, pengiktirafan tersebut diberikan Syarikat Airbus Sdn. Bhd. atas kebolehan pesawat milik Maritim Malaysia kendalian Bahagian Operasi Udara (BOU).

Ujarnya, itu termasuk usaha mencari dan menyelamat (Carilamat), pengawasan maritim, penguatkuasaan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), Operasi Khas dan lain-lain.

Airbus AS365 N3 Dauphin. Gambar oleh: Jetphotos

“Melalui penggunaan enjin Airbus, BOU Maritim Malaysia telah berjaya meningkatkan jangkauan operasi udara serta memperkuatkan keupayaan dalam menjaga keselamatan maritim melalui tugas-tugas penguatkuasaan di perairan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Anugerah Pencapaian 15 tahun pengoperasian helikopter Airbus AS365 N3 daripada Syarikat Airbus Sdn. Bhd. itu disampaikan MIEC bersempena penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23).

Anugerah berupa plaka dan lencana telah diterima Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) selaku pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim; Pengarah Bahagian Operasi Udara, Kepten Maritim Syed Islam Shahajam serta wakil ketua skuadron dan juruterbang AS365 N3, Leftenan Komander Maritim Tengku Nizam Tengku Zakaria.

Gambar oleh: Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *