LIMA 2023: Pasukan aerobatik dari lima negara bakal hiasi ruang udara Langkawi


RUANG udara Langkawi bakal dihiasi dengan pertunjukan pasukan aerobatik dari lima negara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) pada 23 Mei ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, antara negara yang mengambil bahagian adalah pasukan aerobatik udara dari Rusia, China, Indonesia, Korea Selatan, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ini bermaksud penyertaan dari pasukan-pasukan aerobatik seperti Russian Knights, Black Eagles, Jupiter, dan Al Fursan.

“Kita jangka LIMA 2023 tahun ini untuk segmen pertunjukan udara adalah amat meriah kerana biasalah kalau ada lima negara buat sekali… kita boleh nampak semangat bertanding antara mereka.
“Kita akan dapat satu pertunjukan yang menggerunkan dan diharap cuaca tidak hujan adalah bonus,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Wisma Perwira, Langkawi.
Menurutnya, cuaca panas berpanjangan ketika ini dilihat tidak mengganggu persiapan khususnya bagi pasukan pertunjukan udara, namun ruang untuk pengunjung mungkin terhad berikutan suhu tinggi di sekitar landasan kapal terbang.

Katanya, lebih 600 syarikat dari 60 negara akan mengambil bahagian dalam LIMA 2023 ini berbanding 400 syarikat pada edisi terakhir sebelum ini.
“Saya berharap cuaca baik dan suhu menurun sedikit bagaimanapun keadaan cuaca ini di luar kawalan kita.
“Bagaimanapun, saya pasti orang ramai dahagakan untuk melihat pertunjukan ini selepas kali terakhir diadakan pada 2019,” katanya.

Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.