Lori jatuh laut, pemandu berusia 20 tahun ditemui lemas

Seorang lelaki ditemui lemas apabila lori yang dipandunya terjunam ke dalam laut di jeti Lumut Maritim Terminal, Lumut Port, Kampung Acheh, Sitiawan semalam (5 April).

Mangsa, Aqil Rasydan Razmi, 20, ditemui di dalam kabin tempat duduk pemandu lori tersebut apabila kenderaan itu berjaya dinaikkan kira-kira pukul 9.45 pagi, lebih kurang empat jam selepas kejadian itu dipercayai berlaku.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd. Azizi Zakaria, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.30 pagi mengenai kejadian itu.

“Ia berlaku ketika air pasang menjadikan kedalaman tempat kejadian dianggarkan 15 meter dan sepasukan anggota BBP diketuai saya dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pulau Pangkor bergegas ke situ,” katanya.

Tambah beliau lagi, maklumat daripada pihak pelabuhan mengesahkan hanya seorang mangsa terlibat dan kapal berdekatan pelabuhan telah ditarik bagi memudahkan operasi penyelamatan.

Azizi berkata pihaknya menggunakan dua kren untuk menarik lori tersebut ke jeti dan berjaya dilakukan ketika air mulai surut dengan kedalaman antara 10 hingga 11 meter.

Beliau memaklumkan, mangsa telah disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *