fbpx

Audi RS3 Sedan kini masuk pasaran Malaysia – harga dari RM646,990

Audi RS 3 Sedan

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) secara rasminya melancarkan satu lagi model berprestasi tinggi dari Audi iaitu RS3 Sedan, kira-kira lima bulan selepas tempahannya dibuka.

Harga jualan (termasuk duti dan cukai) sedan ini bermula dari RM646,990 atau RM655,990 dengan Audi Assurance Package.

Memacu RS3 Sedan adalah enjin TFSI 2.5-liter lima silinder yang menghasilkan 400 PS dan 500 Nm. Dengan transmisi S tronic tujuh kelajuan dan sistem pacuan quattro, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat, 0.3 saat lebih pantas berbanding model terdahulu.

Kehebatannya telah pun terbukti apabila ia berjaya membuat catatan masa 7 minit 40.478 saat di litar Nurburgring Nordschleife pada 2021.

Buat pengetahuan anda, RS3 Sedan merupakan kereta Audi pertama yang menampilkan teknologi RS Torque Splitter. Ia berfungsi untuk mengagihkan tork antara tayar kiri dan kanan pada gandar belakang bagi memberikan kestabilan.

Sementara itu, sistem AWD  quattro pula memastikan kereta ini sentiasa mempunyai cengkaman optimum dalam apa jua situasi pemanduan dengan mengagihkan kuasa antara gandar hadapan dan belakang.

Turut disertakan adalah sistem suspensi adaptif yang dikatakan dapat memberikan pengendalian yang lebih lincah terutamanya di selekoh.

Dari segi penampilan, RS3 Sedan boleh dibezakan dari model A3 menerusi sayap pada bampar hadapan, liang udara yang besar serta kemasan hitam pada logo Audi, serta bingkai dan motif honeycomb pada gril.

Ia juga dilengkapi dengan lampu Matrix LED gelap lengkap dengan lampu nyalaan siang digital serta jujukan lampu dinamik dan lampu Coming Home/Leaving Home yang unik untuk model RS.

Untuk pasaran Malaysia, model ini boleh didapati dalam warna Kyalami Green, Kemora Grey, Glacier White, Mythos Black, Python Yellow dan Daytona Gray.

Ruang dalaman pula menampilkan upholsteri kulit Nappa berwarna hitam yang dikontraskan dengan trim hitam, merah atau hijau, jahitan honeycomb RS serta stereng eksklusif RS.

Selain itu, terdapat juga kokpit maya yang menampilkan maklumat penting mengenai kenderaan dan prestasi. Mod pemanduan pula boleh dipilih menerusi ciri Audi Drive Select.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved