Steady! Ibu berusia 57 tahun pandu lori treler 18 tayar untuk sara anak-anak

KITA tahu kebanyakan pemandu lori besar adalah lelaki. Tetapi hari ini kami ingin kongsikan kisah seorang wanita berusia 57 tahun yang menggalas cabaran menjadi ‘pilot darat’.

Perkenalkan Rosalekka Salim, seorang ibu tunggal kepada dua orang anak lelaki. Beliau juga lebih mesra dipanggil sebagai ‘Kak Lori’.

Rosalekka sebelum ini seorang pekerja kilang selama 18 tahun, kini memandu lori treler 18 tayar, menghantar kontena dari Pelabuhan Pulau Pinang.

Beliau mambuat kira-kira 150 trip atau perjalanan setiap bulan, mengambil kontena dari kapal-kapal di Pelabuhan Pulau Pinang dan menghantarnya ke depot untuk dibaiki.

Menurut Rosalekka, menjadi seorang pemandu treler tidaklah sesukar yang digambarkan. Sebaliknya, kerjanya sebagai pekerja kilang lebih sukar.

“Kerja dulu lebih sukar dan membuatkan kita tertekan, lebih-lebih lagi bila bos marah, kini memandu treler lebih mudah dan boleh menjana pendapatan yang dikira lebih tinggi,” katanya kepada SAYS.com.

Oh ya, ada masa Rosalekka juga memandu dengan memakai baju kurung!

Mungkin ada yang tertanya berapa pendapatan Rosalekka. Menurutnya, dia tidak memperoleh gaji ‘basic’ atau pokok kerana jenis pekerjaannya itu. Sebaliknya, Rosalekka bekerja dalam waktu flexi, bermakna dia menjadi bosnya sendiri.

Pada 2017, Rosalekka memperoleh RM7,000 sebulan termasuk elaun makanan, komisen, dan bonus. Kerja waktu flexi juga membolehkannya mendapat lebih pendapatan dengan membuat lebih trip.

Ibu kepada dua anak lelaki itu berharap pekerjaannya mampu memberi inspirasi kepada generasi muda agar tidak terlalu bergantung kepada ibu bapa masing-masing. Pada masa yang sama, berharap agar pekerjaan itu tidak mempunyai persepsi negatif oleh orang awam.

“Ramai graduan yang memilih untuk tidak bekerja, padahal ada banyak peluang pekerjaan termasuk pemandu lori. Cubalah, dan jangan terlalu bergantung dengan wang ibu bapa,” nasihatnya.

Sumber gambar: Facebook Rosalekka Salim, Instagram Rosalekka Salim

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *