fbpx

Kerajaan pertimbang guna kereta elektrik dan hibrid sebagai kenderaan rasmi

04. The New BMW iX xDrive50 Sport

KERAJAAN kini dalam pertimbangan untuk menggunakan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid sebagai kenderaan rasmi jabatan dan jawatan, lapor Sinar Harian.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong semasa sesi jawapan lisan Dewan Rakyat pada Isnin.

Tambah beliau, perkara ini sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan dalam usaha untuk meningkatkan jumlah penggunaan kenderaan tersebut.

“MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) juga mencadangkan supaya pengecualian sepenuhnya cukai jualan bagi EV yang dipasang secara tempatan serta pelepasan cukai pendapatan individu untuk langganan kemudahan atau pemasangan sistem pengecasan EV.

“Kesan daripada inisiatif ini dapat dilihat dengan peningkatan yang ketara dalam permintaan terhadap EV kepada lebih 3,400 unit pada 2022 berbanding 300 unit secara purata setiap tahun sebelumnya,” katanya.

Menurut Chin Tong lagi, usaha menarik pelabur untuk memasang infrastruktur pengecas juga berkesan di mana jumlah stesen pengecasan meningkat 51 peratus pada 2022 berbanding pada 2020. Ini menjadikan jumlah pengecasan sebanyak 902 unit pada ketika ini.

Dalam pada itu Chin Tong memaklumkan, kerajaan akan mewujudkan pasukan petugas EV bagi meneliti dasar memperbanyakkan lokasi pengecasan di seluruh negara untuk mengimbangi permintaan pengguna.

“Untuk masa akan datang memang kita akan lihat lebih banyak lokasi pengecasan dan pasukan petugas akan menggariskan dasar, insentif dan inisiatif bagi membantu wujudkan lokasi pengecasan bervoltan tinggi.

“Kalau ada lebih banyak lokasi pengecasan ini, kita tidak akan menghadapi masalah permintaan lagi dan bagi dasar cukai jalan EV pula akan diuruskan oleh jemaah menteri nanti,” katanya.

Ching Tong memaklumkan, jumlah sedia ada untuk unit EV dan hibrid di negara ini mencecah 21,659.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved