Perodua Axia 2023 rasmi dilancarkan – 4 varian, harga bermula dari RM38,600

SELEPAS tempahannya dibuka dua minggu lalu, Perodua Axia 2023 akhirnya telah dilancarkan secara rasmi ke pasaran.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, model generasi kedua yang turut dikenali dengan kod D74A itu ditawarkan dalam empat varian iaitu G, X, SE dan AV. Harga tidak termasuk insuran adalah seperti berikut:

  • Axia G – RM38,600
  • Asia X – RM40,000
  • Axia SE – RM44,000
  • Axia AV – RM49,500

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin berkata daripada 44,000 tempahan sedia ada, pihaknya berjaya meyakinkan 13,500 pelanggan untuk bertukar kepada model baharu.

Digabung dengan lebih 6,500 tempahan baharu yang diterima sejak 31 Januari lalu, Perodua kini mempunyai jumlah tempahan sebanyak 20,100 unit.

Keempat-empat varian Axia menampilkan enjin 1.0-liter empat silinder dan transmisi jenis D-CVT. Gabungan ini memberikan kadar penggunaan bahan api 25.3 km/l bagi varian G dan X, dan 27.4 km/l bagi SE dan AV yang dilengkapi dengan Eco Idle.

Menurut Perodua, angka berkenaan adalah berdasarkan Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC) yang mengikut keadaan jalan raya tempatan dan corak pemanduan.

Mengenai Axia manual, Dato’ Sri Zainal dalam satu sidang media yang diadakan sebelum ini telah mengesahkan bahawa ia akan dilancarkan selepas Hari Raya tahun ini.

Untuk model 2023, Axia diberikan pembaharuan secara menyeluruh yang merangkumi platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan juga reka bentuk yang lebih segar.

Bergantung kepada varian, Axia didatangkan dengan lampu LED automatik dan lampu nyalaan siang LED, serta cermin sisi elektrik yang boleh dilipat secara automatik. Terdapat lima pilihan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver, Lava Red, Granite Grey dan warna baharu Coral Blue.

Sekali imbas, rekaan ruang kabin Axia tidak ubah seperti kabin Ativa, dengan beberapa elemen yang sama termasuk stereng, paparan TFT 7.0-inci dan skrin sentuh 9.0 inci (varian AV sahaja).

Malah, jika diperhatikan dengan lebih teliti, kedua-dua model ini juga didapati berkongsi rekaan tuil gear dan panel kawalan pendingin hawa.

Varian SE dan AV didatangkan dengan kerusi separa bucket yang dibalut upholsteri separa-kulit dua tona, manakala G dan X mendapat kerusi standard dan upholsteri fabrik.

Dari segi keselamatan pula, semua varian Axia didatangkan standard dengan ABS dengan EBD dan BA, Vehicle Stability Control, Hill-Start Assist dan Traction Control.

Tetapi sebagai varian tertinggi dalam barisannya, Axia AV mendapat kelengkapan tambahan berupa enam beg udara (pemandu, penumpang, sisi dan tirai) dan Perodua Smart Drive Assist.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *