fbpx

Hyundai Palisade SUV saiz Amareka, pilihan 3.8 petrol dan 2.2 diesel, dari RM369k

hyundai palisade 2023 09

HYUNDAI-Sime Darby Motors mengumumkan bahawa Palisade 2023 kini berada di Malaysia. Ia merupakan model facelift bagi SUV bersaiz besar itu, dan Palisade ini hadir dengan model import sepenuhnya (CBU), dipasang di kilang Ulsan, Korea Selatan.

Seperti yang sesetengah dari anda sudah tahu, Hyundai Palisade ialah SUV saiz penuh yang bersaing dengan model-model seperti Kia Telluride, Volkswagen Atlas, Toyota Highlander, Ford Explorer dan Nissan Pathfinder.

Model-model ini memfokus kepada pasaran-pasaran seperti Amerika Utara (Amerika Syarikat dan Kanada) serta Timur Tengah. Model yang kita perolehi adalah mengikut spesifikasi Eropah.

Hyundai Palisade 2023 facelift ini ditawarkan dalam empat varian dengan harga seperti berikut:

Palisade Executive 2.2: RM368,888
Palisade Executive 3.8: RM378,888
Palisade Luxury 2.2: RM389,888
Palisade Luxury 3.8: RM399,888

Seperti disenaraikan di atas, Palisade 2023 mempunyai dua pilihan enjin iaitu 3.8-liter petrol V6, menghasilkan 295hp dan 355Nm tork. Palisade 2.2 pula menggunakan enjin diesel turbo CRDi dengan output 200hp dan 440Nm tork.

Kesemua varian mendapat kotak gear automatik 8-kelajuan, tetapi model 3.8 petrol menggunakan pacuan roda-depan (FWD) manakala model 2.2 diesel adalah pacuan semua-roda (AWD).

Hyundai Palisade didatangkan dengan empat mod pemanduan iaitu Comfort, Eco, Sport dan Smart. Varian diesel dengan AWD mendapat mod tambahan Snow, Mud dan Sand.

Dari segi rupa luaran, Palisade 2023 menampilkan beberapa perubahan kosmetik dari segi susunan lampu depan, rekaan baharu gril, bampar depan, rim, dan bampar belakang.

Palisade Executive dilengkapi dengan konfigurasi tempat duduk 2-3-3, dengan ciri seperti pelasaran kuasa untuk baris depan lengkap dengan memori, butang satu sentuhan pada tempat duduk baris kedua untuk masuk ke baris ketiga, dan ciri pemanas serta pendingin hawa pada dua baris tempat duduk depan.

Palisade Luxury pula menampilkan konfigurasi 2-2-3 yang lebih mewah, dengan tempat duduk barisan kedua jenis Captain Seats.

Ciri teknologi lain pada Palisade termasuklah kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin infotainmen 12.3-inci dengan Apple Carplay dan Android Auto, cermin pandang belakang elektrokromik, enam soket USB type-C, bumbung suria depan, dan bumbung panoramik belakang.

Untuk keselamatan pula, Palisade 2023 mendapat ciri Hyundai SmartSense seperti Smart Cruise Control, Blind-spot Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Lane Following Assist, Forward Collision-Avoidance Assist, High Beam Assist, dan Safe Exit Alert.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved