BAJET 2023 telah pun dibentangkan petang tadi oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Berikut adalah antara hal berkaitan sektor automotif dan pengangkutan yang telah diumumkan:
– Geran one-off bernilai RM1,000 untuk semua syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan pemandu teksi berdaftar. Bantuan ini dijangka memanfaatkan seramai satu juta penerima.
– Peruntukan hampir RM400 juta untuk menambah baik perkhidmatan bas henti-henti, pengangkutan udara dan feri di beberapa negeri.
– Ini termasuk RM180 juta untuk menambah baik capaian bas awam di Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.
– Menggantikan 18 bas henti-henti kendalian MARA di Kedah.
– Peruntukan sebanyak RM10 juta dalam bentuk baucar perjalanan untuk orang kurang upaya (OKU) melalui perkhidmatan e-hailing.
– Kerajaan akan menanggung kos mendapatkan lesen teksi, bas dan perkhidmatan e-hailing menerusi program MyPSV.
– Kerajaan juga akan menanggung kos bayaran ujian memandu untuk mendapatkan lesen motosikal kelas B2.
– Skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan dengan dana RM10 juta bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.
– Pengecualian duti import dan eksais untuk kenderaan elektrik (EV) jenis CBU dilanjutkan sehingga 31 Disember 2024.
– Pengecualian fi Approved Permit (AP) untuk pengimportan EV sehingga 31 Disember 2023.
– Pengilang peralatan pengecasan EV diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk pendapatan cukai berkanun tahun taksiran 2023 hingga 2032.
– Elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus untuk pengilang peralatan pengecasan EV.
– Rebat jualan sehingga RM4,000 kepada pengusaha motosikal sewa yang menggantikan motosikal sedia ada kepada motosikal EV di Pulau Tuba, Langkawi.
– Peruntukan sebanyak RM20 juta pembangunan Litar Drag bagi menggalakkan belia menceburi sukan permotoran di platform yang betul.
Laporan pembentangan Bajet 2023 ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.