Tiga unit Kia Carnival 2022 diserah kepada FAM untuk skuad Harimau Malaya

KIA menerusi syarikat pengedarnya, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJM), anak syarikat kepada Bermaz Auto Berhad (BAuto) telah menyerahkan tiga unit Kia Carnival 2022 baharu untuk kegunaan barisan jurulatih skuad Harimau Malaya.

Penyerahan itu adalah sebahagian dari kerjasama strategik antara jenama itu dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

MPV-MPV itu akan memudahkan urusan kerja Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon melakukan pemerhatian terhadap pemain-pemainnya di seluruh negara selain digunakan untuk melancarkan kerja-kerja logistik Unit Pentadbiran FAM.

Menurut Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, kerjasama bersama DJM ini telah bermula pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu namun kerjasama berkenaan ketika itu khusus untuk tempoh kejohanan sahaja.

“Menerusi kejayaan serta persembahan berkualiti Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia berjaya menarik perhatian DJM untuk meneruskan jalinan kerjasama bersama kami sekali gus menjadi rakan rasmi automotif FAM dan Harimau Malaya.

“Sebagai presiden FAM, sudah tentu jalinan kerjasama ini adalah pencapaian yang amat membanggakan di mana FAM dapat meluaskan lagi hubungan strategik bersama syarikat-syarikat gergasi di luar sana,” kata Datuk Haji Hamidin.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Prima Auto Sdn Bhd/Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Dato Amer Hamzah Ahmed berkata: “DMJ komited terhadap pembangunan sukan di Malaysia di mana sukan adalah salah satu medium untuk mencipta serta menggalakkan persekitaran yang sihat demi membangunkan negara.”

Kia Carnival 2022 merupakan versi CKD yang dipasang di fasiliti Inokom di Kulim, Kedah, dan hadir dengan varian 7 dan 8 tempat duduk. Ia dijual pada harga antara RM231,228.80 hingga RM261,228.90.

Carnival 2022 dipacu oleh enjin 2.2-liter turbo diesel dengan output 199hp dan 440Nm tork, dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan.

One thought on “Tiga unit Kia Carnival 2022 diserah kepada FAM untuk skuad Harimau Malaya”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *