fbpx

Tol percuma dan diskaun hingga 50 peratus untuk pengguna lebuh raya PLUS dan LPT

Walau apa jua isu melibatkan penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), ia diharap dapat diselesaikan dengan bijak demi kepentingan pengguna. - Foto ihsan PLUS

KERAJAAN meluluskan untuk memberikan tol percuma serta potongan harga hingga 50 peratus kepada pengguna lebuh raya utama negara bermula jam 12 tengah malam Sabtu ini hingga 11:59 malam Ahad ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata persetujuan yang dicapai selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya itu bakal membabitkan manfaat keseluruhan RM77.11 juta. Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi.

Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) tetap dijangka sibuk menjelang Aidilfitri di sebalik arahan larangan rentas negeri dikuatkuasa

Ismail Sabri berkata, langkah kerajaan memperuntukkan dana untuk tol percuma dan diskaun itu selaras fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu dan sempena sambutan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei depan.

“Pemberian tol percuma membabitkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Ismail Sabri berkata pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara–Selatan dan LPT juga akan diberikan ketika orang ramai dalam perjalanan pulang ke kediaman masing-masing.

“Sementara itu, tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan,” tambahnya.

Ismail Sabri berharap dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama-sama orang tersayang.

Tambah beliau, “Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Pada masa sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba ini. Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya,” katanya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved