Van elektrik warga Singapura dilihat curi-curi caj di stesen DC Shell Recharge

DALAM episod Warga Singapura Buat Hal Apa Hari Ini, selepas isi ‘mencuri subsidi’ dengan mengepam petrol RON95 secara haram, kini ada hal terbaharu mereka lakukan.

Sebuah van elektrik dengan nombor pendaftaran negara itu dilihat mengecaj di stesen pengecaj pantas DC Shell Recharge di Tangkak, Johor.

Menurut gambar yang dikongsi Pak Cik Shell di laman Instagram beliau, van BYD T3 itu menggunakan kemudahan itu secara haram.

Shell Recharge merupakan fasiliti mengecaj kenderaan elektrik berbayar. Anda perlu membayarnya terlebih dahulu menggunakan aplikasi ParkEasy sebelum penghadang di petak parkir diturunkan.

Dari gambar yang dikongsi, van tersebut tidak diparkir dengan betul dengan penghadang masih belum diturunkan, menandakan ia dicaj secara curi-curi.

Fasiliti Shell Recharge mengenakan bayaran pengesahan RM4, dan RM20 untuk setiap lima minit bagi 25 minit pertama. Kemudian caj bertukar kepada RM20 untuk setiap lima minit seterusnya.

Ini bermakna anda akan dikenakan caj RM244 sejam tanpa henti untuk penggunaan biasa.

Shell Recharge merupakan jaringan pengecas pantas yang disediakan di sepanjang laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dengan dua lokasi permulaan yang terletak di Shell Tangkak Lay-by (arah Selatan) dan Shell R&R Pagoh (arah Selatan).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *