Keadaan banjir di ibu negara yang menyaksikan kenderaan ditenggelami banjir. - Foto ihsan Facebook/Impiana

Hujan lebat lebih dua jam, beberapa kawasan di Lembah Klang banjir

HUJAN lebat menyaksikan beberapa kawasan sekitar Lembah Klang dilanda banjir sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Pemerhatian di ibu negara mendapati Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Pudu, Jalan Ampang dan Jalan Cheras antara terjejas.

Banjir sekitar kawasan Kuchai Lama, Kuala Lumpur. – Foto ihsan Facebook/Hisham Din

Selain itu, beberapa lebuh raya turut dinaiki air antaranya Besraya Expressway.

Memetik kenyataan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di media sosial, terdapat beberapa kawasan di sepanjang laluan Besraya Expressway telah dinaiki air.

Selain itu, Lebuhraya Kesas turut terkesan sehingga menyebabkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat.

Pada masa sama, hanya satu lorong sahaja boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan SUKOM.

Orang ramai dinasihati berhati-hati ketika melalui kawasan banjir atau menggunakan jalan alternatif untuk ke destinasi masing-masing.

Hujung tahun lalu, beberapa kawasan sekitar Lembah Klang teruk terjejas akibat banjir.

Antara kawasan terjejas adalah di Shah Alam, Klang dan beberapa kawasan lain yang menyaksikan kerosakan harta benda termasuk rumah dan kenderaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *