Gemilang International Ltd (GML) turut membekalkan bas kepada negeri Sarawak. - Foto ihsan Facebook/GML

Gemilang raih tempahan bekal kit badan bas ke Uzbekistan

GEMILANG International Ltd (GML) berjaya meraih tempahan tunggal terbesar dari Uzbekistan membabitkan pembekalan 190 kit badan pengangkutan itu.

Syarikat pengeluar bas dan badan bas berpangkalan di Johor itu menyifatkan kontrak tersebut berupaya mengukuhkan kedudukannya di Asia Tengah.

Pada masa sama, ia juga membantu syarikat tersebut menembusi negara-negara jiran seperti Belarus dan Kazakhstan.

“Kontrak bagi penghantaran190 kit badan bas menerusi pemasangan tempatan (CKD) sepenuhnya telah diterima pada Februari 2022 dan dijangka siap pada Oktober.

“Kami menjangkakan kontrak baharu ini dapat menjadi penyumbang utama ke atas pendapatan bagi tahun ini,” memetik satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, GML mendapat tempahan terbesar bagi penghantaran bas sekolah elektrik sepenuhnya ke California, Amerika Syarikat (AS).

Terdahulu, GML juga yakin terus meraih manfaat daripada pembangunan infrastruktur di Uzbekistan berdasarkan kelebihan rekod pencapaiannya.

Kontrak terbaharu itu juga merupakan tempahan berulang dari Uzbekistan yang dilihat sebagai peluang pertumbuhan berikutnya.

Ketika ini, GML aktif dalam usaha mendapatkan projek-projek baharu di enam negara iaitu Malaysia, Uzbekistan, AS, Australia, Singapura dan Hong Kong.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *