fbpx

Ini harga rasmi Kia Carnival 2022 – RM196k untuk MPV 11 tempat duduk dengan 199hp

kia grand carnival 2022 01

DINAMIKJAYA Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Kia di Malaysia telah mengumumkan harga rasmi Carnival 2022 serba baharu iaitu bermula pada RM196,340.80.

Kia Grand Carnival ini ialah MPV saiz penuh dengan kapasiti 11 penumpang, kini dalam generasi keempat.

Model 2022 ini membawakan gaya hampir menyerupai SUV dengan tiang-A dan hud depan hampir rata. Kemudian dipadankan dengan banyak elemen perincian pada rekaan yang memberikan rupa lebih rugged dan bergaya.

Seperti model-model Kia lain, Carnival 2022 juga mendapat gril ‘Tiger nose’ yang menjadi identiti mereka, dan diapit oleh lampu LED quad projektor serta DRL LED yang memaparkan bentuk lebih menonjol dan unik.

Bahagian tepi menampilkan garisan tunggal dari hud depan hingga ke pembuka pintu hingga rel pintu belakang, selain warna hitam pada tiang-A dan D untuk menampakkan gaya ‘bumbung terapung’.

Di bahagian dalam, Kia Carnival dilengkapi skrin infotainmen 12.3-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, manakala untuk pemandu, kluster instrumen dengan skrin 4.2-inci. Tujuh soket USB dan sambungan Bluetooth juga adalah standard.

11 tempat duduk Carnival ini disusun dengan konfigurasi 4 barisan 2-3-3-3. Tempat duduk tengah barisan kedua dan ketiga adalah lebih kecil dan boleh dilipat untuk memudahkan keluar masuk ke baris keempat.

Untuk dimensi, Kia Carnival ini bersaiz 5,155mm panjang, 1,995mm lebar dan mempunyai jarak roda 3,090mm.

Enjin 2.2-liter turbodiesel dikekalkan dari sebelum ini, cuma kini menggunakan nama Smartstream D2.2. Ia menjana 190hp pada 3,800rpm dan 441Nm tork pada 1,750 hingga 2,750rpm. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 8-kelajuan.

Berminat? Anda sudah boleh menempah Kia Carnival ini dan ia hadir dengan jaminan 5-tahun atau 100,000km.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved