fbpx

Skuter keluaran Malaysia ES-11 dilengkapi sistem BMS, harga RM14,000

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba melancarkan motosikal elektrik ES-11. - Foto ihsan Bernama
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba melancarkan motosikal elektrik ES-11. - Foto ihsan Bernama

SKUTER ES-11 keluaran NanoMalaysia Bhd (NMB) dan Eclimo Sdn Bhd yang dilancarkan pada Khamis ternyata mempunyai keistimewaan tersendiri.

Dijana dengan kuasa elektrik, skuter ini didatangkan dengan sistem pemantauan bateri (BMS) berstruktur nano.

Apakah itu BMS?

BMS merupakan sistem yang memantau keadaan bateri dan menghantar makluman apabila voltan mula menurun.

ES-11 juga dilengkapi dengan sistem pengesan dan perkhidmatan berdasarkan lokasi (geo-fencing) yang boleh dikawal melalui aplikasi mudah alih.

Sementara itu, ES-11 juga mempunyai sistem pengecasan soket palam tiga pin yang mudah.

Secara tidak langsung, ia menyelesaikan masalah sering berlaku pada kenderaan elektrik (EV) iaitu kekurangan infrastruktur dan stesen pengecasan.

Terdahulu, Pengarah Eksekutif Eclimo Datuk Dennis Chuah berkata, ES-11 mampu bergerak sejauh 100 kilometer dengan pengecasan penuh.

“Sel bateri litium-ion berasaskan nano mempunyai kitaran hayat sebanyak 1,000 cas.

“Setiap pengecasan akan membolehkan jarak perjalanan sejauh 100 kilometer dan akan menjimatkan pelepasan karbon dioksida sehingga tujuh kilogram,” katanya.

Setakat ini, ES-11 juga telah dipasarkan Thailand dan sedang diusahakan untuk dibawa masuk ke pasaran negara lain di rantau ini.

Di Malaysia, ES-11 dijual pada harga RM14,000 sahaja.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berbangga dengan kejayaan menghasilkan motosikal elektrik hasil kepakaran anak tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kementeriannya percaya pelancaran motosikal itu dapat membantu usaha negara menyertai industri kenderaan elektrik (EV).

Langkah itu secara tidak langsung dapat membantu memulihkan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved