4,303 tempahan dalam 9 hari, Perodua Myvi facelift 2022 akan terus kekalkan takhta King?

PERODUA mencatatkan 4,303 tempahan untuk Myvi baharu (setakat 18 November 2021) hanya dalam masa sembilan hari selepas tempahan dibuka.

Menurut Perodua, Myvi facelift 2022 itu menelan belanja RM50 juta untuk dibangunkan. Ia menampilkan rekaan yang diperbaharui, perubahan teknikal pada transmisi, dan panambahan ciri keselamatan terkini.

Hasilnya, Perodua Myvi facelfit 2022 ini lebih canggih, lebih praktikal, mempunyai prestasi pecutan lebih baik, tetapi pada masa yang sama lebih menjimatkan bahan api.

Perkara ini banyak disumbangkan oleh transmisi D-CVT baharu, yang sama digunakan pada Ativa. Ini kali pertama Myvi menggunakan kotak gear CVT, manakala kotak gear manual tidak lagi ditawarkan.

D-CVT di sini bermaksud Dual Mode CVT, kerana ia mempunyai dua cara menyampaikan kuasa. Tidak seperti CVT konvensional dengan tali sawat (belt) atau rantai (chain), D-CVT ini menggunakan kombinasi rantai besi dan set planetary gear.

Dalam satu mod, ia akan menghantar kuasa menggunakan sistem CVT seperti biasa. Tetapi dalam satu mod lagi, ia membolehkan kuasa dihantar melalui gear fizikal.

Set planetary gear ini digunakan untuk ‘membantu’ memberikan rasa lebih telus kepada CVT. Ini juga secara teori pasti mengurangkan rasa ‘lemau’ CVT konvensional, terutamanya dalam halaju tinggi atau mula memecut.

Perodua Myvi 2022 ditawarkan dalam lima varian dengan harga jualan bermula RM45,700 untuk 1.3 G hingga RM58,800 untuk 1.5 AV.

Dari segi keselamatan, Myvi baharu menampilkan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA), yang direka dengan mengambilkira keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

Untuk maklumat lebih terperinci mengenai spesifikasi Myvi facelift 2022, anda boleh baca laporan pelancaran di sini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *