MotoGP: RNF Racing guna jentera Yamaha, WithU penaja utama

PERSOALAN mengenai isu tajaan pasukan MotoGP RNF Racing bagi musim depan terjawab dengan WithU disahkan menjadi penaja utama.
Masih menggunakan jentera Yamaha, RNF Racing turut memberi kejutan apabila mengumumkan barisan pelumbanya bagi musim depan, semalam.
Memetik kenyataan dikeluarkan, pelumba kelahiran Itali Andrea Dovizioso dan Darryn Binder dari Afrika Selatan telah diumum sebagai pelumba utama bagi musim depan.

Musim ini, RNF Racing masih dikenali dengan nama Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) dan diwakili Valentino Rossi serta Franco Morbidelli.
Pelbagai peristiwa berlaku sepanjang musim ini termasuk penamatan kerjasama tajaan Petronas dengan pasukan Yamaha SRT bagi musim depan.
Terdahulu, Pengasas dan Prinsipal Pasukan RNF Racing Datuk Razlan Razali mengesahkan pasukan itu masih menggunakan jentera Yamaha pada musim akan datang.

Razlan mengucapkan terima kasih kepada Yamaha selain berharap kerjasama berterusan di masa depan.
“Kami telah mencapai satu tahap yang amat membanggakan. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Yamaha kerana masih memberi kepercayaan untuk meneruskan kerjasama.
“Semua kejayaan yang dikecapi selama perlumbaan sebelum ini akan terus terpahat sebagai sejarah sentiasa dikenang,” katanya.
Ketika ini, pasukan Petronas Yamaha SRT berada pada tangga kesebelas carta keseluruhan MotoGP dengan mengumpul 72 mata.
Wartawan yang masih menabung demi sebuah Aventador